PANDEMIK Covid-19 tidak pernah menjadi halangan kepada Encik Abdullah Ali daripada menjalani gaya hidup sihat dan meneruskan usahanya membantu golongan memerlukan di kejiranannya.
Dengan mematuhi langkah jarak selamat dan aturan sekatan bagi mengekang penularan pandemik, terutama dalam kalangan warga senja sepertinya, beliau tetap meneruskan rutin hariannya dan menghulurkan bakti kepada jiran-jiran, dengan berhati-hati.
"Pandemik ini tidak menghalang warga senja seperti saya daripada menjalankan pelbagai kegiatan untuk mengisi masa lapang, asal kita mematuhi langkah sekatan bagi mengekang penularan Covid-19 dan tahu menjaga diri, keluarga dan masyarakat.
"Kita sebenarnya boleh keluar, macam mana badan nak sihat kalau tak keluar?
"Tetapi kita perlulah bijak mengaturkan masanya supaya kita boleh keluar dengan memerhatikan langkah sekatan dan aturan selamat yang digariskan pemerintah.
"Kita boleh keluar untuk bersenam, pergi ke pasar bersama isteri, beriadah dan menjalankan kegiatan yang biasa kita lakukan pada masa-masa tertentu yang kurang sibuk, tidak ramai orang dan mengelak daripada bersesak-sesak.
"Sambil itu, kalau keluar, pakailah pelitup, salam 'cara mufti' (letak tangan kanan di dada) dan tahulah jaga diri agar kita tidak membahayakan diri dan keluarga serta masyarakat," jelas Encik Abdullah, 72 tahun, bapa lima anak dan enam cucu, yang aktif sebagai sukarelawan di kejiranan Woodgrove di Marsiling/Woodlands.
Malah, beliau masih terus mencurahkan bakti sebagai naib pengerusi Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 10 Woodgrove dan menjalankan tugas-tugas kemasyarakatan seperti duta generasi perintis, membahagikan makanan, menganjurkan sesi senaman dan gaya hidup sihat dan menziarah penduduk memerlukan di kejiranannya.
"Kami masih bergerak walaupun dalam suasana pandemik. Pada kebanyakan masa, kami adakan mesyuarat atau pertemuan menerusi Zoom.
"Ada kalanya, saya diperlukan menziarah penduduk, misalnya untuk menghuraikan masalah aduan antara jiran, atas arahan pengurus RC, dan jika terdapat permintaan daripada pihak majlis bandaran dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
"Sebulan sekali, saya dan rakan-rakan sukarelawan lain akan membantu membahagikan makanan kepada penduduk memerlukan - sama ada di pusat RC atau menghantarnya ke rumah mereka," terang Encik Abdullah, yang telah mencurah bakti sebagai sukarelawan sejak sekitar 28 tahun lalu.
Atas sumbangan dan tekad beliau - "aku tidak akan berpeluk tubuh dan hidup senang sendirian selagi ada jiranku yang melarat dan memerlukan bantuan" - serta dedikasinya dalam kerja akar umbi, Encik Abdullah dianugerahi Pingat Bakti Masyarakat (PBM) pada 2014.
Tidak cukup setakat itu, beliau juga membantu menguruskan sesi senaman zumba dan 'stretch back' yang dianjurkan di kejiranannya setiap petang Ahad dan malam Isnin.
Beliau juga, bersama pengurus RC, akan menziarah penduduk memerlukan seperti warga senja yang menghidap dementia dan sakit untuk mengetahui perkembangan mereka atas arahan pengarah kelab masyarakat kejiranan itu.
"Saya perlu memastikan saya berada dalam keadaan sihat untuk terus menjalankan 'tugas' ini.
"Untuk memastikan saya dapat terus menyumbang, saya perlu menjaga kesihatan saya dulu. Sebab itulah seminggu sekali saya akan berjalan pantas di taman terbuka, seperti Woodlands Waterfront, sama ada seorang diri atau bersama isteri saya.
"Kadang-kadang, apabila cucu saya datang, kami akan ke sana pada waktu yang tidak ramai orang.
"Kawasan itu pun luas dan terbuka, tetapi kami tetap memastikan jarak selamat dan mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan," tambah Encik Abdullah, mantan teknisyen kanan dengan Senoko Power.
Berkaitan langkah pemerintah meggesa warga senja supaya mendapatkan vaksinasi Covid-19, beliau menasihatkan warga senja seusianya supaya mendapatkan suntikan seperti yang disarankan.
"Pergilah... ini semua untuk kesihatan dan keselamatan diri kita dan orang-orang di sekeliling kita yang kita sayang. Lebih baik lagi kalau kita dapatkan suntikan penggalak atau booster.
"Saya sendiri sudah mendapat tiga suntikan, pertama pada Mac dan yang kedua pada April lalu. Saya mendapatkan suntikan booster pada September lalu.
"Seperkara lagi, kalau mahu ke tempat awam, pastikan tidak terlalu ramai orang, dua atau tiga orang bolehlah dan elak sembang-sembang. Nak borak-borak boleh pakai WhatsApp atau telefon, lagi selamat," ujar beliau.