Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Pegawai 'concierge' manfaat peluang dikerah ke hotel berbeza

Aug 24, 2021 | 05:30 AM



KETIKA Hotel Raffles ditutup bagi kerja-kerja baik pulih selama hampir dua tahun pada 2017, Encik Roslee Sukar dipindahkan untuk bertugas di hotel lain buat sementara waktu itu.



Meskipun sudah berpengalaman selama hampir tiga dekad berkhidmat di Hotel Raffles, Encik Roslee memerlukan beberapa minggu untuk menyesuaikan diri dengan peranan kerja baru dan persekitaran baru yang jauh lebih besar - hotel Swissotel the Stamford mempunyai 1,300 bilik, manakala Hotel Raffles mempunyai 103 bilik.



Di Hotel Raffles, dia seorang pegawai concierge sejarah yang berkongsi kisah warisan dan sejarah hotel itu kepada tetamu menerusi lawatan harian.



Bagaimanapun, apabila berpindah ke hotel Swissotel the Stamford - antara hotel dalam keluarga syarikat Accor yang termasuk Hotel Raffles - dia dikerahkan bertugas sebagai pegawai concierge pula.



Namun, Encik Roslee, 54 tahun, menerapkan gayanya yang tersendiri dan melengkapi dirinya dengan lebih banyak pengetahuan dan maklumat supaya dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada tetamu yang berlainan profil di Swissotel the Stamford.



Dia juga terdedah kepada sistem elektronik yang melatihnya dalam pelbagai aspek pentadbiran dan operasi yang berbeza.



Bertugas di meja penyambut tamu, dia berpeluang melakukan berbagai fungsi seperti membantu tetamu check-in ke bilik mereka, menguruskan penginapan tetamu kenamaan, mengongsi maklumat tentang program kesetiaan Accor dan mengendalikan sistem kad kunci.



"Pengalaman saya di Hotel Raffles, perhatian teliti kepada perincian dan menyimpan rekod, di samping latihan melalui bengkel mengenai teknik komunikasi yang efektif dan menangani keperluan tetamu telah membolehkan saya menyumbang dengan berkesan di Swissotel.



"Kemahiran insaniah utama yang saya gunakan ialah empati, satu nilai yang amat dikongsi di Raffles dalam setiap interaksi tetamu dan rakan sekerja," kata Encik Roslee yang sudah bertugas di Hotel Raffles sejak 1992.



Encik Roslee menambah bahawa sejak Hotel Raffles ditutup, pihak pengurusan kanan hotel itu sentiasa berhubung dengan kakitangan yang dipindahkan ke hotel lain untuk bertanyakan tentang kebajikan mereka.



Kakitangan juga terus menerima komunikasi dari hotel itu, termasuk apa saja yang akan menjejas mereka.



"Kami diundang kembali bagi acara dan sentiasa rasa bahawa kami sebahagian daripada keluarga ini," ujarnya.



Baru-baru ini, Hotel Raffles menerima Anugerah Perikatan Tiga Pihak 2021 dalam kategori amalan pekerjaan adil dan progresif.



Kategori anugerah itu mengiktiraf pertubuhan yang mempunyai amalan tempat kerja dan kakitangan berkesan yang secara proaktif memupuk budaya inklusif dan membina hubungan kakitangan yang kukuh.



Meskipun dipindahkan ke hotel lain, Encik Roslee tetap tidak lupa mempersiapkan dirinya bagi masa depan tatkala Hotel Raffles dibuka semula kemudian.



Pelbagai program latihan yang disertainya, seperti program transformasi budaya Heartist Day and Welcome to Accor untuk belajar mencipta pengalaman terbaik buat tetamu.



Semasa pandemik Covid-19 ini, Encik Roslee secara peribadi telah menyertai sesi latihan yang diadakan institut seperti Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec) yang melengkapinya dengan kemahiran dan ilmu tambahan dalam topik seperti keberkesanan peribadi dan menangani maklum balas pelanggan.



Encik Roslee berharap dapat terus mempertingkat ilmu dan kemahirannya dengan mengikuti lebih banyak kursus pada masa depan.



"Saya percaya dalam pembelajaran sepanjang hayat, tidak pernah ada usia atau masa yang sempurna untuk belajar kemahiran atau meraih kelayakan baru, dan saya berhasrat mengekalkan moto ini sedang saya meneroka beberapa pilihan bagi kursus sedia ada.



"Saya juga cuba mengongsi pengetahuan dengan rakan sekerja lebih muda sebagai mentor dan ini sering kali termasuk kemahiran hidup (insaniah) seperti empati dan kebaikan," katanya.




"Pengalaman saya di Hotel Raffles, perhatian teliti kepada perincian dan menyimpan rekod, di samping latihan melalui bengkel mengenai teknik komunikasi yang efektif dan menangani keperluan tetamu telah membolehkan saya menyumbang dengan berkesan di Swissotel...



..Kami diundang kembali bagi acara dan sentiasa rasa bahawa kami sebahagian daripada keluarga ini."
- Pegawai 'concierge', Encik Roslee Sukar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >