Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

Kedai kejiranan cuba bertahan waktu pandemik

Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN

Kedai kejiranan cuba bertahan waktu pandemik

Pekedai kongsi rasa perit
Nov 10, 2020 | 05:30 AM

WALAUPUN banyak perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa di Singapura, ada yang masih bergelut untuk bertahan dalam pandemik Covid-19.

Ini terutamanya bagi pemilik perniagaan kecil di kawasan kejiranan.

Keperitan yang ditanggung oleh ramai peniaga amat besar dan membuat proses pemulihan lebih lama berbanding syarikat besar.

Beberapa pemilik perniagaan kecil yang ditemui Berita Harian berkongsi bahawa ia sangat sukar untuk bertahan dalam tempoh mencabar ini walaupun sudah mendapat beberapa bantuan daripada pemerintah.

Untuk terus mengekalkan perniagaan, ada antara mereka terpaksa mengurangkan kakitangan, beralih ke dalam talian dan mencari peluang baru untuk menjual produk lain.

NAELOFAR ELEGANCE

Sebelum penularan Covid-19, Naelofar Elegance, kedai yang menjual tudung, selalunya mempunyai dua pekerja sambilan.

Namun, untuk mengurangkan kos secara keseluruhan semasa tempoh ini, pengurus Naelofar Elegance, Cik Noreen Omar, kini mengendali kedai itu sepenuh masa.

"Pada awal tahun ini, saya mula mengendali kedai ini sepenuh masa sendiri. Sebelum ini, saya hanya berada di kedai sekiranya pekerja sambilan saya sakit atau tidak dapat bekerja.

"Kalau mereka tidak dapat bekerja, kadangkala kedai perlu ditutup dan ia bermakna kita tidak dapat berniaga. Jadi dengan pemberhentian mereka, kami dapat mengurangkan kos operasi.

"Sekarang adalah masa untuk kami berjimat kerana banyak lagi kos lain yang perlu ditampung, bukan hanya kedai," kata beliau.

Cik Noreen, 50 tahun, berkata beliau perlu melakukan demikian untuk terus menyara anak perempuannya yang masih belajar di peringkat universiti.

Dengan tidak ramai pelanggan datang ke kedai di Blok 201D, Tampines Street 21 itu, Cik Noreen berkata beliau memberi lebih tumpuan kepada penjualan di laman Instagram naelofar-elegance.spore.

Menurutnya, dengan wadah dalam talian itu, beliau dapat mendekati pelanggan setianya untuk terus menawarkan perkhidmatan dan barangan terbaru.

"Semasa tempoh pemutus litar memang agak sukar kerana tidak dapat sangat menjual stok yang ada kerana kami tidak dapat beroperasi.

"Jadi jualan dalam talian ini dapat membantu kami menebus kehilangan pendapatan semasa tempoh itu," katanya.

GLOBAL SERVICES

Dengan keadaan yang tidak menentukan, Global Services, syarikat stokis, terpaksa meneroka barangan lain.

Sejak penularan Covid-19, pengurus bersama, Cik Sarina Hatijah Mohamed Akib, berkata ramai yang menjadi lebih cermat dari segi perbelanjaan.

Oleh itu beliau kini menawarkan beberapa barangan baru bagi pelanggannya seperti cadar, selimut dan makanan ringan seperti keropok.

"Kami sebenarnya baru sahaja membuka syarikat ini tahun lalu. Tetapi malangnya, dengan keadaan sekarang, tidak dapat teruskan perniagaan seperti biasa. Semasa tempoh ini kami memantau trend. Sekiranya terdapat permintaan untuk sesuatu barangan, kami akan menjualnya kerana kami masih perlu menampung kos sewa pejabat dan bil elektrik," jelas beliau.

Meski banyak syarikat lain sepertinya ditutup kerana tidak dapat bertahan, Cik Sarina, 71 tahun, berkata beliau berasa adalah sia-sia sekiranya mereka terpaksa menutup syarikat itu.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata semasa tempoh yang tidak menentukan ini, adalah penting menyesuaikan diri mengikut keadaan.

"Kami memang tidak meraih banyak untung daripada jualan kecil ini. Kalau kami jual barangan ini pun, kami naikkan sedikit sahaja harganya.

"Buat sementara, kami tidak tahu bila kami dapat teruskan perniagaan seperti biasa tetapi yang penting adalah kita mempunyai sikap positif untuk mengatasi masalah ini," ujar Cik Sarina.


APA KATA PENIAGA

"Semasa tempoh pemutus litar memang agak sukar kerana tidak dapat sangat menjual stok yang ada kerana kami tidak dapat beroperasi. Jadi jualan dalam talian ini dapat membantu kami menebus kehilangan pendapatan semasa tempoh itu."
- Cik Noreen Omar, pengurus Naelofar Elegance.

"Buat sementara, kami tidak tahu bila kami dapat teruskan perniagaan seperti biasa tetapi yang penting adalah kita mempunyai sikap positif untuk mengatasi masalah ini,"
- Cik Sarina Hatijah Mohamed Akib, pengurus bersama Global Services.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3