Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelakon 'Dilema Dania' tercabar emosi bawa watak pramugari trauma

Shenty Feliziana geli-geman baring tengah hutan sarat serangga
Nov 27, 2021 | 05:30 AM



Membina prop rumah Orang Asli di tengah hutan rimba di Singapura merupakan antara perkara yang menyeronokkan tetapi mencabar buat kru penerbitan drama Dilema Dania.Ini adalah kerana sekatan pandemik Covid-19 menghambat mereka daripada menjalani penggambaran di lokasi perkampungan Orang Asli di seberang Tambak. Apakah antara pengalaman menarik karyawan syarikat penerbitan Poetry In Motion serta pelakon utamanya? BERITA HARIAN melaporkan.



SELAMA ini, pelakon dan pengacara Shenty Feliziana Sudirman menyangka babak lakonan yang memerah tenaga akan menimbulkan kesukaran buatnya.



Tanpa diduga, babak pasang surut emosi yang membuak-buak sehingga menjejas kesejahteraan minda yang beliau perlu hidupkan dalam drama Dilema Dania merupakan yang paling mencabar dan sukar.



Shenty, 32 tahun, akui beliau sampaikan terbawa-bawa dengan watak murung dan serba resah ini hingga payah melepaskannya di luar set dan setelah tamat penggambaran.



Dania, dalam drama yang kini bersiaran antara Isnin dengan Khamis di saluran Mediacorp Suria dan boleh ditonton bila-bila masa di aplikasi meWATCH, adalah pramugari yang awalnya disangka mati dalam nahas pesawat terhempas tetapi tiba-tiba muncul lima tahun selepas itu.



Apabila dia pulang, keluarganya perlu menangani perkara yang tidak diduga. Pada saat itu, suami Dania sudah pun berumah tangga dengan sahabat baiknya Hanis. Anak Dania malahan memanggil Hanis 'Mama'.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Shenty, ibu seorang anak lelaki dan isteri kepada pelakon Indonesia, Reuben Elishama.



Soalan (S): Apakah perasaan anda apabila dipilih sebagai pelakon utama 'Dilema Dania'?



Shenty: Saya rasa sangat berbesar hati apabila diberi peluang keemasan oleh syarikat penerbitan Poetry In Motion untuk membawa peranan sebagai Dania.



Betapa bangganya saya kerana kedua-dua penerbit drama ini, Nusaibah Rahim dan Safiyuddin Razif, menyahut cabaran luar biasa bagi menerbitkan drama bermutu dengan pesanan yang memberi impak buat penonton.



Sejujurnya, saya rasa berdebar-debar juga kerana tanggungjawab menggalas watak utama ini sangat berat. Tambahan pula, saya digandingkan dengan barisan pelakon mapan seperti Kak Mastura Ahmad. Abang Azhar Noor Lesta, Suhaillah Salam, Izzat Yusoff dan Nurul Nabila Mohd Sani.



Sebagai pelakon utama, andalah teraju drama ini. Lakonan anda akan membuatkan drama ini berjaya atau merosakkan segalanya.



Isu-isu yang dipaparkan dalam drama ini berat. Justeru, penting bagi saya memahami peranan saya untuk memastikan apa jua pesanan dapat disampaikan kepada penonton.



Tekanannya malah lebih terasa apabila saya dapat tahu bahawa rancangan awal adalah untuk membuat penggambaran Dilema Dania ini di Amsterdam, Belanda, tetapi segalanya perlu diubahsuai kerana Covid-19. Jalan ceritanya juga perlu diubahsuai sejajar dengan kondisi sebegini.



Justeru, nahas pesawat terhempas di Amsterdam tak jadi dibuat penggambarannya di Belanda. Semuanya bikin di Singapura sahaja dalam keadaan musim panas yang berbahang antara Julai dengan Ogos lalu.



S: Apakah perkara baru yang anda pelajari atau terokai mengenai lakonan?



Shenty: Ingatkan lakonan dengan babak yang memerlukan kekuatan fizikal adalah yang paling sukar. Tak sangka lakonan yang memerlukan penghayatan emosi mental lebih mencabar dan amat memenatkan!



Sampaikan saya tak sedar, saya sebenarnya membawa pulang watak Dania ini ke luar set penggambaran.



Saya pernah dengar cerita atau perkongsian rakan artis bahawa mereka pernah lalui situasi terbawa-bawa dengan watak sampaikan mereka alami kemurungan kerana payah lepaskan watak itu setelah tamat penggambaran. Saya tak pernah menduga ia akan berlaku kepada saya juga.



S: Jelaskan watak Dania - apa persamaan dengan diri anda selain anda juga pernah menjadi pramugari selama enam tahun?



Shenty: Dania memiliki dua perwatakan berbeza iaitu pada waktu dahulu dan sekarang.



Namun secara keseluruhannya, beliau seorang wanita yang kuat dan berprinsip tinggi.



Dari segi persamaan antara kami pula, saya dan Dania adalah wanita berdikari yang bersemangat waja serta gemarkan kembara di samping berani mengambil risiko.



S: Apakah cabaran peranan ini? Apa yang anda pelajari?



Shenty: Pertama sekali, saya harus pelajari tentang kesihatan mental yang dikenali sebagai Gangguan Tekanan Pasca-Traumatik (PTSD) tetapi sukar bagi saya menggambarkan keadaan sebenar seorang pesakit PTSD di atas faktor privasi pesakit berkenaan dan kurangnya kesedaran mengenai kondisi ini.



Kedua, penggambaran dijalankan di tiga lokasi hutan rimba yang bukan dibuka buat riadah awam.



Saya tak pernah masuk hutan dan penggeli orangnya. Maka, saya selalu bayangkan tentang adanya ulat, ular dan bermacam binatang dan serangga.



Pendek kata, saya terpaksa mengatasi rasa takut saya sendiri demi menghidupkan watak Dania.



Saya geli-geman sebab sepanjang hidup saya, saya tidak pernah lihat bermacam jenis labah-labah, ulat dan serangga dengan pelbagai warna. Macam nak nangis apabila pengarah minta saya baring di tengah hutan, panjat pokok dan jalan dalam semak-samun berkaki ayam!



Bayangkan, semua itu perlu diulang berkali-kali bagi menghasilkan paparan terbaik buat tayangan tv.



Tak akan saya lupa detik di mana saya dah terlalu pasrah dan penat... maka saya berbisik kepada semut hutan yang berkeliaran banyak dan laju pergerakannya. Sambil berbaring di tanah, saya beritahu mereka: "Tolonglah, jangan dekat dengan aku. Aku hanya jalankan tugas. Geli betul sampai terasa nak balik!"



Selesai melakonkan watak Dania, saya benar-benar rasa simpati dengan pesakit PTSD dan berharap tiada yang merana dalam diam. Kalau anda mengalaminya, cuba dapatkan rawatan daripada pakar.



Sokongan masyarakat dan keluarga penting sebagai penawar. Sedih membaca pesanan langsung penonton drama ini di Instagram.



Ada yang meluahkan betapa mereka dapat merasakan penderitaan dan sakit yang Dania alami kerana mereka juga mengalami masalah kesihatan mental.



Mudah-mudahan, Dilema Dania sedikit sebanyak dapat membawa harapan buat mereka yang berjuang dengan penyakit mental di luar sana.




 • Dilema Dania disiarkan di Mediacorp Suria antara Isnin hingga Khamis mulai 9.30 malam. Ia juga boleh ditonton di aplikasi meWATCH. Episod terakhir pada Khamis depan.




"Saya tak pernah masuk hutan dan penggeli orangnya. Maka, saya selalu bayangkan tentang adanya ulat, ular dan bermacam binatang dan serangga.

Pendek kata, saya terpaksa mengatasi rasa takut saya sendiri demi menghidupkan watak Dania. Saya geli-geman sebab sepanjang hidup saya, saya tidak pernah lihat bermacam jenis labah-labah, ulat dan serangga dengan pelbagai warna. Macam nak nangis apabila pengarah minta saya baring di tengah hutan, panjat pokok dan jalan dalam semak-samun berkaki ayam!"

- Shenty Feliziana Sudirman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >