MASJID Haji Muhammad Salleh dan Makam Habib Noh umpama satu entiti yang tidak dapat dipisahkan.
Terletak saling berdekatan, Masjid Haji Muhammad Salleh telah dibina semula bersebelahan Makam Habib Noh di Palmer Road pada sekitar tahun 1903.
Menurut pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Encik Khalid Mohamad, Masjid Haji Muhammad Salleh telah dibina berdampingan dengan Makam Habib Noh oleh salah seorang sahabat baik Habib Noh sendiri, Haji Muhammad Salleh.
Perubahan lokasi tersebut sangat memudahkan orang ramai untuk menunaikan solat di masjid terlebih dahulu, sebelum menziarahi Makam Habib Noh.
Selepas melalui beberapa dekad perubahan dan cabaran, kedua-dua monumen ini masih kekal terbina sebagai tempat yang masih diingati dan bersejarah hingga ke hari ini.
Bagaimanapun, Encik Khalid berkata, struktur yang dianggarkan lebih daripada 100 tahun itu sudah mengalami beberapa kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.
"Beberapa struktur bahagian pembinaan di masjid berada dalam keadaan lemah. Oleh itu, kami usahakan kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian bagi mengatasi segala kerosakan yang berlaku.
"Untuk memulihkan bahagian terjejas dan menaik taraf tempat ini, ia akan menelan belanja kira-kira $3 juta.
"Memandangkan projek ini penting untuk disiapkan dengan segera dan melibatkan perbelanjaan yang besar, kami mengharapkan sokongan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi tujuan murni ini," kata Encik Khalid.
Tujuan projek peningkatan ini diadakan adalah demi keselamatan dan keselesaan para pengunjung yang merupakan keutamaan bagi pihak Masjid Haji Muhammad Salleh.
Encik Khalid menambah, antara projek naik taraf yang diperlukan ialah lif, kerja-kerja penggantian tembok, pengecatan dinding dan lain-lain.
Beliau menambah: "Kemudahan lif di masjid perlu dibaiki dengan segera kerana ia sering berdepan dengan masalah kebocoran, terutamanya pada musim hujan lebat.
"Kerosakan ini turut memaksa orang ramai menggunakan tangga untuk naik dan turun ke Makam Habib Noh.
"Perkara ini boleh membahayakan para pengunjung, khususnya warga emas. Selain itu, Makam Habib Noh yang dibina sejak tahun 1866 juga semakin uzur dan sudah lama tidak menerima sebarang peningkatan.
"Terdapat beberapa bahagian tembok yang mengalami rekahan, jubin yang terpasang mula rosak dan warna cat juga semakin lusuh.
"Justeru, pihak kami berusaha mengumpul dana yang diperlukan bagi memberi keselesaan serta kemudahan kepada pengunjung Makam Habib Noh dan para jemaah Masjid Haji Muhammad Salleh."
Sehubungan itu, Encik Khalid mengharapkan sokongan orang ramai untuk bersama-sama menjayakan projek peningkatan yang dijangka bermula pada awal atau pertengahan tahun hadapan.
"Kemurahan hati masyarakat Islam akan menjadi pencetus utama dalam memastikan kejayaan projek peningkatan yang bakal dijalankan nanti.
"Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk turut serta dalam usaha merancakkan lagi tabung peningkatan bagi merealisasikan perubahan yang lebih baik di Masjid Haji Muhammad Salleh dan Makam Habib Noh kelak.
"Segala sumbangan akan disalurkan kepada tabung infak masjid dan makam, yang akan memberi pahala berterusan kepada para penderma, selagi mana kemudahan ini digunakan oleh orang ramai," tambah Encik Khalid lagi.
"Kerosakan ini turut memaksa orang ramai menggunakan tangga untuk naik dan turun ke Makam Habib Noh. Perkara ini boleh membahayakan para pengunjung, khususnya warga emas. Selain itu, Makam Habib Noh yang dibina sejak tahun 1866 juga semakin uzur dan sudah lama tidak menerima sebarang peningkatan. Terdapat beberapa bahagian tembok yang mengalami rekahan, jubin yang terpasang mula rosak dan warna cat juga semakin lusuh. Justeru, pihak kami berusaha mengumpul dana yang diperlukan bagi memberi keselesaan serta kemudahan kepada pengunjung Makam Habib Noh dan para jemaah Masjid Haji Muhammad Salleh.''
- Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Encik Khalid Mohamad.
CARA MENYUMBANG
- Imbas kod QR yang disediakan di bawah ini atau PayNow ke S03MQ0039G
- Pemindahan wang ke akaun OCBC Semasa 59100798-400 di bawah nama akaun 'LPM HAJI MUHAMMAD SALLEH'. Sila nyatakan di ruang rujukan (reference) sama ada untuk derma masjid atau dana makam.
- Lungsuri laman www.hjmuhdsalleh.org.sg atau hubungi talian 6220-9257 untuk maklumat lanjut.