Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MEMPERINGATI 2 DEKAD PENANGKAPAN JI DI S’PURA

Lari ke M’sia sebelum ke Thai...

Pertama kali tahu pelan hempas pesawat di Changi
Dec 04, 2021 | 05:30 AM



Hampir tiga bulan selepas serangan pengganas pada 11 September 2001, rakyat Singapura dikejutkan dengan berita bahawa terdapat pengganas tempatan yang di kalangan mereka. Pada 9 Disember 2001, enam lelaki dari kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) diberkas oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), dengan penangkapan selanjutnya dilakukan antara 15 dengan 24 Disember 2001. Hasil operasi itu, ISD telah menyoal siasat seramai 23 ahli kumpulan tersebut. 13 daripada mereka kemudian ditahan selepas didapati menjadi anggota JI aktif yang terlibat dalam mengenal pasti dan melakukan pengawasan terhadap sasaran untuk serangan pengganas selain terlibat dalam usaha memperolehi bahan membuat bom. Sementara itu, dua ahli kumpulan itu dibebaskan dengan Arahan Sekatan (RO). Kini 20 tahun sejak kejadian itu, kumpulan JI dan rancangan mereka untuk melakukan serangan di sini merupakan ancaman terbesar yang pernah dirasakan Singapura. BERITA HARIAN (BH) menemu ramah dua bekas tahanan JI Singapura tentang penglibatan mereka dalam kumpulan militan itu dan bagaimana usaha pemulihan membantu mereka, selain bertemu pegawai ISD yang terlibat dalam operasi ini, dalam bahagian pertama siri empat bahagian laporan khas 20 tahun sejak penahanan JI pertama.



PENGAKUAN JOHAN, BEKAS ANGGOTA JI YANG RANCANG RAMPAS PESAWAT DENGAN MAS SELAMAT



BELUM sempat beliau menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya, Encik Johan (bukan nama sebenar) terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anaknya yang masih bersekolah pada Hari Raya pertama 2001.



Keputusan itu dibuat menyusuli berita tentang penangkapan beberapa anggota Jemaah Islamiyah (JI) oleh pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Disember tahun itu.



Tanpa memberitahu isterinya perkara sebenar, Encik Johan melarikan diri ke Malaysia bersama beberapa anggota JI setempat, termasuk pemimpin kumpulan tersebut, Mas Selamat Kastari, yang telah menghubungi beliau awal sebelum itu.



"Pada ketika itu saya berasa marah, takut dan panik, kerana saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.



"Tidak lama kemudian kami mendapat arahan daripada Mas Selamat untuk lari ke Malaysia dengan segera.



"Sepanjang masa itu, saya hanya fikirkan bagaimana untuk mengelak daripada ditangkap. Saya tahu apa yang saya lakukan benar-benar melanggar undang-undang," kata Encik Johan, yang kini berusia dalam lingkungan awal 60-an.



Dari Johor, Mas Selamat telah membawa Encik Johan dengan tiga anggota lain untuk melakukan perjalanan ke Kelantan sebelum berangkat ke sempadan Thailand.



Di situlah pertama kalinya mereka diberitahu tentang rancangan Mas Selamat untuk merampas pesawat dari Thailand dan menghempaskannya di Lapangan Terbang Changi.



Tanpa sebarang senjata dan hanya berbekalkan wang sebanyak $1,000 seorang, mereka membuat perancangan lebih rapi bagi memastikan rancangan mereka itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, menurut Encik Johan.



"Mas Selamat menjelaskan bahawa tidak akan ada rancangan menyerah diri setelah kami merampas kapal terbang itu.



"Jika kami tidak dapat menghempas kapal terbang di menara kawalan Lapangan Terbang Changi, kami akan menghempasnya juga kerana tidak mahu ditangkap," kongsi beliau lagi.



Rancangan itu hampir membuahkan hasil setelah kumpulan itu berjaya membeli lima tiket kelas bisnes bagi penerbangan dari Bangkok ke Singapura.



Walau bagaimanapun, mereka terpaksa membatalkan rancangan itu selepas pihak berkuasa mendapat tahu tentang rancangan serangan tersebut dan nama Mas Selamat disiarkan dalam akhbar Thailand sebagai pengganas yang dikehendaki.



Dengan keadaan yang tidak menyebelahi mereka, mereka mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia menaiki bot privet sebelum berangkat ke Medan, Indonesia dan seterusnya ke Bali.



Bagi mengelak daripada dikesan, mereka berlima berpecah dan mengambil haluan berbeza dengan Encik Johan melarikan diri ke Jawa Tengah.



"Kami mendapat arahan daripada kumpulan JI di Indonesia bahawa mereka akan menyediakan dokumen palsu kami agar kami dapat terus tinggal di Indonesia," kata beliau.



Sekitar tiga bulan selepas itu, Encik Johan disatukan semula dengan keluarganya dan mereka berjaya menyewa sebuah rumah di Jawa Tengah. Beliau juga telah membuka perniagaannya sendiri menjual peralatan rumah dan barangan elektrik.



Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.



Pihak berkuasa berjaya mengesan dan memberkas beliau di Jakarta pada 2004 dan beliau diserahkan kepada ISD dan dibawa pulang ke Singapura pada 2006.



Ketika berada dalam tahanan, semua perkara yang pernah beliau dengar, seperti bagaiamana para tahanan dilayan dengan buruk dan diseksa, sama sekali tidak benar.



"Hanya selepas saya dibawa pulang ke Singapura, barulah saya sedar ia sebaliknya. Saya dilayan dengan penuh berperikemanusiaan.



"Selain itu, pegawai ISD, kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan pakar psikologi kerap datang melawat saya



"Ini banyak memberi manfaat kepada saya...dan di sinilah di mana saya dibimbing dan diberi pencerahan tentang pendekatan ajaran Islam yang sebenar," ujarnya.



Menyifatkan penangkapannya sebagai satu rahmat yang terselindung, Encik Johan menambah:



"Jika saya tidak ditangkap saya tidak akan dapat mengetahui tentang kebenaran yang telah ditunjukkan dan diajar kepada saya."




ARAHAN MAS SELAMAT: JANGAN SERAH DIRI



"Mas Selamat menjelaskan bahawa tidak akan ada rancangan menyerah diri setelah kami merampas kapal terbang itu.

Jika kami tidak dapat menghempas kapal terbang di menara kawalan Lapangan Terbang Changi, kami akan menghempasnya juga kerana tidak mahu ditangkap."
- Encik Johan (bukan nama sebenar).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >