PARLIMEN telah menghentikan sementara penggalnya, atau diprorog, mulai hari ini dan akan dibuka semula selepas sebulan, dengan agenda baru.
Apabila Parlimen dibuka semula pada Isnin, 7 Mei nanti, Presiden Halimah Yacob akan memberi ucapan sebagai pembuka sesi Parlimen yang ke-13, menurut satu kenyataan pemerintah hari ini.
Dalam ucapannya itu, Puan Halimah dijangka mengumumkan keutamaan dasar dan program pemerintah bagi baki penggal pemerintah sekarang ini.
Ucapan Presiden itu akan dipantau rapat kerana ia adalah yang pertama dilakarkan oleh generasi keempat menteri.
Dalam ucapan Tahun Barunya yang lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah berkata pemerintah akan membentangkan agenda bagi baki penggal pemerintah ini dalam ucapan itu, yang dilakarkan pemerintah tetapi disampaikan oleh Presiden.
PM Lee menambah bahawa ucapan itu akan mencerminkan kepimpinan generasi keempat, yang akan menggalas tanggungjawab lebih besar dan mengetengahkan idea mereka buat Singapura.
Ucapan itu juga penting kerana ia adalah ucapan Presiden Halimah yang pertama, selepas dilantik sebagai presiden kelapan Singapura pada September tahun lalu.