Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengukir arca antara peserta Program Penempatan Seni

Seniman berpeluang masyarakatkan seni seiring karyawan kreatif antarabangsa pada program sulung Muzium Seni Singapura
Aug 04, 2021 | 05:30 AM



KEMBALINYA pengukir arca Aki Hassan ke Singapura sewaktu bermulanya pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu membuatnya bimbang akan mati kutu kerana kegiatan seni yang mungkin terhenti dek sekatan acara luar.



Tambahan pula, kerana banyak peralatan seninya masih tertinggal di Glasgow, Scotland, setelah empat tahun memburu ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Seni Halus di Sekolah Seni Glasgow, tidak dapat diluputkan keresahan yang mengasak fikiran.



Namun, rezeki tidak pernah salah alamat kerana Aki, 26 tahun, mendapati peluang buatnya terus berkarya malah merebut peluang melibatkan diri dalam program seni berprestij tetap terbentang.



Beliau adalah antara 18 seniman dan kolektif seni yang dipilih bagi Program Penempatan Seni Muzium Seni Singapura (SAM) yang buat julung-julung kalinya diperkenalkan buat penggiat seni antarabangsa.



Apabila panggilan terbuka bagi permohonan program ini dibuat pada Disember tahun lalu, lebih 1,000 orang memohon.



Seramai 15 penggiat seni bebas dan tiga kolektif seni kemudian dipilih bagi program penempatan seni berpangkalan di studio dalam empat kategori - Penempatan Seniman, Penempatan Masyarakat dan Pendidikan, Penempatan Berkenaan Kurator dan Penyelidikan serta EX-SITU: Penempatan Ruang Seni.



Peserta program datang dari Argentina, Denmark, India, Indonesia, Singapura, Afrika Selatan, Thailand, United Kingdom dan banyak lagi negara lain.



Setiap tempoh program berlangsung antara sebulan hingga enam bulan mulai Oktober ini.



Peserta dipilih mengikut rekod pencapaian seni, kerelevanan topik yang diteroka, kaedah inovatif atau eksperimental yang akan diambil serta keupayaan kerja seni mendekati masyarakat dan kelompok seni.



Topik yang diberi untuk dipilih seniman adalah keintiman, prasarana serta impak teknologi pada kehidupan kontemporari.



Jurucakap SAM, dalam kenyataannya, mengatakan program ini bertujuan menyokong proses bereksperimen dengan amalan seni yang inovatif serta menggalak kerjasama dan pertukaran idea.



Ketika dihubungi melalui Zoom, Aki menjelaskan beliau tidak menduga dipilih bagi Program Penempatan Seni SAM yang gah ini.



"Saya dapat tahu daripada seorang kurator mengenai program ini. Kebetulan, saya sedang mencari wadah mengetengahkan idea seni saya.



"Saya pulang ke Singapura sewaktu pandemik baru bermula. Niat di hati nak siapkan projek tahun akhir saya bagi acara fizikal, tetapi segalanya diubah menjadi pameran maya di ruang digital.



"Saya pulang dengan banyak idea tetapi tidak tahu bagaimana ingin mengetengahkannya. Saya tidak mahu terbiar buntu atau keliru, maka saya merasakan Program Penempatan Seni ini datang tepat pada masanya bagi membolehkan saya meneroka lagi dengan pelbagai idea baru dan menentukan arah tuju saya dalam dunia seni," jelas lulusan Sekolah Seni Singapura (Sota) itu.



Aki memilih topik keintiman untuk diteroka dalam kerja seni pemasangan berupa ukiran arca besi.



"Saya tertarik pada gagasan lebih luas tentang keintiman dan idea menghasilkan sempadan. Bagaimana manusia mewujudkan sempadan?



"Idea saya juga berlegar pada perihal sistem sokongan - apakah pengertiannya dalam menyokong orang lain?



"Ada perkara bercanggahan tentang memberikan sokongan sesuatu yang baik, tetapi akan timbul kesulitan jika ada bebanan fikiran daripada masa silam," tambahnya lagi.



Beliau juga ingin meninjau tentang simbolisme berkait dengan kerapuhan kerja seni arcanya yang mudah patah atau hancur, meskipun menggunakan bahan yang keras dan tahan lasak.



Mengenai cabaran sebagai anak seni yang dihadapinya, Aki berkata kebanyakan masa adalah dalam mencari ruang bagi menyiapkan karya seninya.



"Menyewa tempat atau ruang berseni mahal. Lantaran itu, saya bersyukur kerana diberi studio bagi membereskan kerja seni saya dalam program ini.



"Kadangkala saya juga terasa ingin kembali meninjau kerja seni saya yang pernah dihasilkan dahulu. Seni persembahan yang pernah saya sisipkan dalam karya saya tidak dapat dilakukan dalam keadaan jarak selamat dipentingkan sewaktu tempoh pandemik.



"Krisis kesihatan dunia ini benar-benar mencabar saya memikirkan cara baru bekerja dan berfikir tentang proses menjana seni.



"Kebanyakan masa terperuk di rumah tetapi tempoh sukar ini juga mengajar saya agar tangkas berfikir dan membuat penyesuaian yang diperlukan. Kita harus faham, ada hari kita memiliki ruang kerja. Sekelip mata sahaja, ruang itu boleh hilang dan kita terpaksa pulang kerana situasi seperti kesan pandemik ini," jelasnya lagi.



Aki kini memikirkan tentang cara menghasilkan kerja seni yang mudah dialihkan dan lebih dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian.



"Saya selesa dengan proses menyiapkan arca. Senang cakap, ia kerja lasak walaupun perlu kotorkan tangan.



"Di Glasgow, orang tak peduli kalau saya siapkan arca besi. Ia perkara biasa budak perempuan bikin arca besi, tetapi di Singapura, orang terkejut kalau saya katakan saya berada di tapak perindustrian kerana saya buat kerja mengukir arca besi.



"Pemandu Gojek akan tanya, 'Awak tak takut buat kerja-kerja lasak sebegini?" ceritanya lagi.



Seniman muda ini mengharapkan pembaharuan dan penjanaan idea seni. Pengalaman empat tahun di Glasgow membuka matanya tentang dunia yang lebih luas daripada tempat tinggalnya, pulau setitik kecil seperti Singapura.



"Apabila saya merantau, saya menyedari tentang budaya berbeza, kerencaman gaya hidup dan kepekaan yang perlu kita miliki terhadap perbezaan orang lain dan keupayaan menerima pandangan berbeza," jelasnya.




"Saya pulang dengan banyak idea tetapi tidak tahu bagaimana ingin mengetengahkannya. Saya tidak mahu terbiar buntu atau keliru, maka saya merasakan Program Penempatan Seni ini datang tepat pada masanya bagi membolehkan saya meneroka lagi dengan pelbagai idea baru dan menentukan arah tuju saya dalam dunia seni."
- Pengukir arca, Aki Hassan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >