Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Penjarakan...

Kau cuba memahami situasi di dalam ruang sempit ini. Ruang yang menyedut setiap jalur cahaya dan kudrat terakhir kau. Tetapi aneh... kau rasa bagaikan pernah bersinggah di tempat yang serupa suatu masa lampau dahulu. Bagai satu 'déjà vu'. Ini bukan rahim ibu kau, di mana kau membesar menyediakan diri untuk dunia luar. Namun, kau dapat merasakan satu persamaan: tempat ini akan mendewasakan kau kelak.
Jun 26, 2022 | 05:37 AM



MATA kau, yang sedari tadi terkebil-kebil tiba-tiba terbeliak luas. Kau rasai satu kehangatan memutik jelma, kemudian membundar dan membesar di sebalik bebola mata-mata itu. Kehangatan itu langsung cair menjadi basah hingga menyalut keputihan lensa jendela dirikau. Kepala kau berat dengan kekusutan keadaan. Tekak kau turut tidak nyaman, perit kekontangan.



Lembaga Serba Putih di hadapan muka kau tidak berganjak. Tidak dari segi kedudukannya, mahupun keputusannya. Satu tindakan meta-psikologikal untuk menunduk lawannya. Dan kau sememangnya seterunya.



"Tuan, pihak kami sudah buat keputusan. Tuan dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun!"



Kata-kata bak hempedu hampa itu dihunus bertubi-tubi ke liang telinga kau. Sedih. Pedih.



"Tapi... tapi, saya tidak bersalah, Puan!" kau cuba menegakkan benang kebenaran yang basah. "Saya mangsa situasi, Puan. Tidak pernah berniat saya terlibat sama!" Suara kau rayuan bertinta protes. Gagal. Lembaga Serba Putih itu sudah memekaktulikan dirinya. Benang kebenaran basah yang semakin terurai mendedahkan satu konspirasi.



"Tuan." Oh, Lembaga Serba Putih masih hidup rupa-rupanya, fikir kau. "Ya, pihak kami sudah meneliti fakta-fakta sekitar kes Tuan. Tuan tiada niat terjerumus dalam sengketa ini. Benar. Tuan tahu bahayanya sekiranya terlibat. Namun, Tuan tetap tidak mengambil langkah berjaga-jaga. Tuan tetap bergaul dengan mereka yang jelas terlibat. Tindakan Tuan yang sewenang-wenangnya membahayakan yang lain... Itulah kesilapan Tuan. Kami perlu ikut protokol, Tuan. Kami hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab."



"Puan," hati kau masih belum benar-benar puas dengan penjelasan yang diberi oleh Lembaga Serba Putih. "Bagaimana pula dengan nasib yang lain? Yang telah terlibat dahulu sebelum saya?"



Kebisuan panjang menjawab pertanyaan kau. Sebelum sepatah ayat memecahkan keheningan kekok: "Mereka telah dihukum mati."



Kau melopong tanpa suara. Kau tahu kau perlu menerima hukuman yang telah dijatuhkan ke atas diri kau. Tujuh tahun...



*****



Kau cuba memahami situasi di dalam ruang sempit ini. Ruang yang menyedut setiap jalur cahaya dan kudrat terakhir kau. Tetapi aneh... kau rasa bagaikan pernah bersinggah di tempat yang serupa suatu masa lampau dahulu. Bagai satu déjà vu. Ini bukan rahim ibu kau, di mana kau membesar menyediakan diri untuk dunia luar. Namun, kau dapat merasakan satu persamaan: tempat ini akan mendewasakan kau kelak.



Fikiran kau cuba menimba ilham dari perigi buta. Atau apa-apa sahaja cebisan kisah motivasi yang dapat membakar pelita hangat untuk menemani kau sepanjang lorong gelap ini. Mata kau melilau mengejar bebayang yang tidak pernah wujud; hanya imaginasi kau yang diracuni halusinasi.



HAMKA. Hah! Kau mendengus puas, setelah mendapat ilham yang kau dambakan. Dalam ruang sebegini, pemikir agung dari Indonesia itu mampu menghasilkan mahakarya beliau, buku tafsir tiga puluh juzuk Al Quran: Tafsir Al-Azhar. HAMKA tidak pernah kesal dengan keadaan diri, meskipun beliau juga mangsa situasi. Macam kau. Kau menghirup molekul kemenangan daripada sejarah, dan bertekad melawan apa jua yang tiba. Kau terasa berani seketika. Terasa gagah sementara. Tetapi... HAMKA hanya dipenjarakan selama dua tahun empat bulan. Kau jauh lebih lama. Tiga kali lebih panjang! Tujuh tahun (atau lima jikalau didapati berperangai baik, kata Lembaga Serba Putih). Kudrat kau kembali luruh.



Kepala kau berdenyut-denyut bisa, bagai disengat seribu tebuan tanah. Lahar mendidih bagai dicurah ke seluruh tubuhkau. Perkataan 'panas' tidak mampu menggambarkan jilatan api rakus yang kini menyelubungi diri. Kau terjelepok di lantai dingin, cuba mencari ketenteraman jiwa.



Otak kau menggapai lagi ke dalam perigi buta dalam misi mencari ilham. Hah: Nelson Mandela! 27 tahun beliau dipenjarakan, jauh lebih lama daripada kau. Bagaimana seorang insan biasa termampu bertahan sebegitu lama, di dalam ruang yang akan memamah erti dan tujuan kewujudan? Apakah beliau juga menimba dari ilham dari perigi buta? Kau menaringkan senyuman paksa. Kau akan berjaya seperti bapa Afrika Selatan Baru ini. Kau berjanji - bukan, bersumpah! - akan merangkak dan melutut sebelum kau diri dan terbang menguasai angkasaraya semula!



Pada masa ini, kau terasa badan semakin letih layu. Adakah kau disuntik dengan ubat pelali, kau fikir. Dinding dan tembok ialah teman-teman setia kau. Lagu-lagu D'lloyd menjadi pendodoi pengisi ruang. 'Hidup di Bui' dan 'Sepanjang Lorong Yang Gelap' berkumandang di gua telinga kau.



Gua!



Setogok ilham melimpah keluar dari perigi buta. Mata kau tercelik kembali. Kisah pemuda-pemuda dalam surah Al-Kahfi mengisi bekas otak minda kau. Hikayat mengenai tujuh orang pemuda bersama seekor anjing yang tidur di dalam sebuah gua selama 309 tahun. Dipelihara dari kepincangan yang bermaharajalela di dunia luar.



Mungkin... mungkin, ruang sempit ini gua kau; di sini peluang kau melarikan diri dari dunia penuh manusia bertopeng di luar sana. Entah. Amat angkuh sentimen itu, fikir kau.



Gerangan siapakah engkau? Kau bukan pemikir agung, sudah tentu bukan bapa revolusi. Jauh sekali umpama pemuda-pemuda teguh iman menentang penganiayaan pemimpin zalim. Mungkin anjing yang menemani Ashabul Kahfi lebih tinggi derajatnya daripada kau!



Kau hanya Engkau, insan marhaen yang banyak kesilapan, yang daif. Yang kerana kebodohan sendiri, telah mengakibatkan isteri dan anak-anak terpaksa menyara kehidupan tanpa tunggak keluarga. Kau insaf.



Sepanjang tujuh tahun ini, kau akan dihukum oleh swahina dan swacerca atas kesilapan-kesilapan kau selama ini. Kau terasa dayus amat.



Kegelapan memekat di dalam ruang sempit sekitar kau. Moga lena dapat menghilangkan kekusutan di jiwa...



*****



Entah berapa lama kau tidur, kau tak pasti. Entah satu jam, entah satu kurun. Masa tidak wujud di tempat ini. Tubuh kau masih panas, tekak kau masih kontang. Dunia tidak berubah dengan ketidakhadiran kau. Ayat pertama mahakarya belum digores, warga nusa belum dibangkitkan. Oh ya - kau lupa - kau bukan siapa-siapa yang sohor: kau Engkau.



Di sekeliling kau, ruang sempit tidak lagi dipenuhi bayang-bayang halusinasi. Kau sepetkan mata kau, cuba meneliti tembok-tembok kelabu dengan cakaran-cakaran grafitinya. Madah-madah eksistensialisme diconteng bagai penanda-bukti 'Aku Wujud!':



'Apabila kita tertidur di dunia ini, kita sebenarnya tercelik di dunia lain.' - Salvador Dali.



'Di manakah perginya kenangan, apabila ia tidak lagi dikenangi?' - Sigmund Freud.



'Semakin senyap dirikau, semakin akan kau dengar dengan jelas.' - Jalaluddin Rumi.



Kau senyapkan diri kau.



Derapan tapak kaki kedengaran dari luar ruang sempit kau. Siapakah itu, tertanya kau. Pelik. Adakah itu Lembaga Serba Putih, yang datang untuk membenarkan kau pulang? Tidak mungkin kau tidur selama tujuh tahun... Tapak kaki tadi berhenti di luar pintu. Cahaya samar-samar bergerak dari bawah celah pintu sebelum sekeping kad diselitkan masuk.



Kau bingkas bangun. Jantung kau berhenti di penjara rusuknya, sebelum kembali berdegap-degup lebih pantas. Jari-jari kau disalut lapisan keringat dingin. Dengan penuh berhati-hati, kau kutip kepingan kad itu dari lantai penjara. Kau duduk kembali di hujung katil. Kad yang diperbuat daripada kertas keras itu kemas dilipat dua. Tiada sebarang tanda di muka hadapan - kauter balikkannya - mahupun di belakang.



Kau menjarinya buka. Dan mula membaca isi kandungannya:



'Selamat Hari Bapa! Untuk Ayah yang kami cintai dan sanjungi. Terima kasih atas segala jasa Ayah untuk mendidik dan membimbing kami menjadi insan-insan yang sihat, berilmu dan beragama, agar kami dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing, untuk mendapat keredaan-Nya. Kami harap Ayah senang dan tenang sepanjang jangka masa Ayah berjauhan dari kami. Kami sentiasa berdoa untuk kesejahteraan Ayah. Daripada anak-anak dan isterimu, yang merinduimu, Adiwira kami.'



Setitik permata cair gugur dari ekor mata kau. Moga keinsafan ikhlas dapat menyucikan kekelaman di jiwa...



*****



Entah berapa lama kau tidur, kau tak pasti. Apabila kau bangun pagi tadi, dunia sudah berubah. Ya. Mungkin mahakarya belum terselesai; mungkin anak-anak bangsa masih mencari jati diri dalam mamai; mungkin juga masalah dan sengketa sejagat belum lagi terhurai. Yang pasti, dunia mikro kau jelas sudah berubah: tubuh kau terasa sihat seperti sediakala, dan segenap keraguan yang bergumpal di tangkai-tangkai neuron sudah larut hancur. Kau paling ke arah pintu.



Eh, separuh kuak? Adakah ini perangkap Lembaga Serba Putih? Sekadar satu lagi ujian untuk kau? Kau dekati pintu itu. Kedengaran suara-suara seronok di sebaliknya. Kau kenal mereka...



"Ayah!"



Pinggang kau dipeluk dan didakap mesra sebelum kau mampu ungkap apa-apa pun. Ternyata anak-anak kau dahagakan kasih sayang bapa mereka. Hati kau tersenyum hangat. Kemudian, wajah isteri kau menjelma, membahagiakan jiwa kau. Rindu amat. Kau lihat penuh kasih, dan permaisuri kau pula kau rangkul.



"Dinda rindukan Kanda."

"Sama. Berapa lama Kanda di dalam?"

"Enam..."

"Enam tahun?"

"Enam hari."

"Mana Nayla?" tanya kau, apabila sedari anak sulung kau tiada di situ.

"Dia pula diuji positif. Doktor kata dia perlu diasingkan. Kena penjarakan... sosial."




BIODATA PENULIS



Mohamed Naguib Ngadnan mula menulis sejak usia remaja di Sekolah Menengah Tanjong Katong.



Beliau penerima dua Anugerah Persuratan: Pada 1999, dengan cerpen bertajuk Satu Perjalanan (Penghargaan), dan pada 2013, dengan sajak bertajuk Kita Yang Dijilat Gincu Peluru.



Beliau juga finalis untuk Peraduan Menulis Cerpen Mencari Kristal 2016 anjuran BH/BM dan NAC.



Pada 2019, beliau dapat tempat pertama dalam sayembara Anugerah Pena Emas bagi kategori Cerpen dengan cerpen bertajuk Saudagar Pagar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >