Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

ANALISIS BERITA

Perlu sekat rasuah agar tidak jadi budaya di Malaysia

Feb 18, 2021 | 05:30 AM



PADA April 2019, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpaksa mendapatkan perkhidmatan bas untuk mengangkut lebih 25 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.



Pada September tahun sama, Malaysia dikejutkan oleh penangkapan 20 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pulau Pinang kerana menjual dokumen pengenalan diri negara itu kepada warga asing pada bayaran antara RM100,000 ($32,000) hingga RM600,000.



Setahun selepas itu, 39 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor ditahan melalui Op Selat kerana memberi khidmat kepada majikan yang mahu pekerja asing mereka terus berada di negara itu atau pulang ke negara asal.



Para pegawai dan kakitangan itu dipercayai beroperasi di pintu utama negara, termasuk KLIA, KLIA2, dan Komplek Kastam dan Kuarantin di Bangunan Sultan Ismail (BSI) di Johor Bahru.



Berdasarkan statistik tangkapan SPRM 2015-2020 pula, kira-kira 5,652 tangkapan dibuat dan daripada jumlah itu 2,683, atau 47.5 peratus, terdiri daripada penjawat awam.



Seramai 1,622, atau 28.7 peratus, merupakan orang awam dan bakinya pelbagai kategori.



Menurut Transparency International (TI), Malaysia mencatat kehilangan hampir RM1.8 trilion antara 2004 dengan 2014. Ketirisan yang dicatat itu sekitar 4 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).



Terbaru, mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi 2020, Malaysia jatuh ke kedudukan 57 daripada tangga 51 pada 2019.



Mengikut laporan itu, daripada 180 negara, Malaysia mencatat skor 51 daripada sejumlah 100, berbanding skor 53 pada tahun sebelumnya.



Berdasarkan senario di atas mengenai gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di Malaysia, ia ibarat barah yang dikhuatiri akan memusnahkan institusi kerajaan secara perlahan-lahan.



Difahamkan bahawa ketirisan banyak berlaku dalam sektor awam, khususnya melibatkan mereka yang berkuasa dalam membuat keputusan berkaitan perolehan kerajaan, yang popular dengan panggilan 'lubuk duit' dalam kalangan penjawat awam.



Yang terlibat sebenarnya hanya satu jumlah yang amat kecil berbanding seramai 1.6 juta penjawat awam Malaysia, tetapi kerakusan mereka memberi kesan besar yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, terutama perbuatan itu menyebabkan imej kerajaan menjadi buruk dan, yang lebih utama, keselamatan negara boleh dijual beli.



Contoh jelas ialah apabila pegawai dan kakitangan imigresen memberi khidmat kepada majikan yang mahu pekerja asing mereka terus berada di Malaysia atau pulang ke negara asal.



Tindakan mereka itu menyebabkan kerajaan kehilangan data penting berhubung keluar masuk pekerja asing dan mereka kini menyelusup di pelosok negara tanpa sebarang pemantauan oleh penguat kuasa keselamatan.



Impak nyata dapat dilihat semasa pandemik Covid-19 menular ke seluruh negara apabila pekerja asing gagal dikesan disebabkan ketiadaan data mereka.



Begitu juga tindakan penguat kuasa sempadan negara yang 'menutup mata' akibat menerima bayaran tertentu daripada penyeludup yang bergerak bebas melakukan perbuatan jenayah mereka seolah-oleh kawasan sempadan 'syurga' bagi mereka.



Lebih malang apabila penguat kuasa kenyang dengan wang suapan begitu alpa akan tugas hakiki mereka menjaga keselamatan sempadan menyebabkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand maut, dipercayai akibat ditembak manakala seorang anggota parah pada November lalu.



Kenapa perbuatan rasuah terus berlaku sedangkan mereka tahu hukuman yang bakal diterima agak berat?



Kenapa pula penjawat awam enggan membuka mulut mengenai perbuatan salah ketua atau rakan sekerja mereka?



Tidakkah mereka berasa hairan rakan sekerja mereka mampu memiliki kereta mewah Roll Royce Phantom, Mustang dan Range Rover serta Audi.



Menurut SPRM, punca utama rasuah berlaku dalam kalangan penjawat awam ialah keinginan meluap-luap mereka hidup mewah, selain cenderung menjalani gaya hidup di luar kemampuan.



Berikutan itu, perbuatan rasuah menjadi jalan amat mudah untuk memperoleh pendapatan tambahan, selain tidak dinafikan bahawa perkhidmatan awam salah satu sektor yang terdedah kepada perbuatan makan suap.



Difahamkan bahawa kebanyakan penjawat awam mendiamkan diri dan melaporkan perbuatan rasuah dalam kalangan mereka kerana ada kalanya orang lain yang melakukan kerja keji untuk ketua mereka, dan tindakan mereka melaporkan perbuatan rasuah itu dianggap satu kesalahan kerana boleh mencemarkan nama baik jabatan atau agensi.



Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), ada anggotanya yang melaporkan perbuatan rasuah ditukar, diberi kerja bukan kerja asal, ditukar skop kerja atau 'disejukbekukan' kerana membuat laporan.



Jadi, apabila Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, baru-baru ini meminta penjawat awam mengamalkan sikap 'jaga tepi kain orang' tentang perbuatan rasuah dalam kalangan mereka, ia dianggap sebagai satu isyarat bahawa pihak atasan sedia mendengar aduan kakitangan bawahan.



Selain itu, jika penjawat awam itu tidak begitu yakin untuk membuat aduan, mereka boleh memilih menjadi pemberi maklumat dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sekiranya dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan menyusuli pendedahan yang dibuat kepada SPRM.



Sebenarnya, gejala rasuah Malaysia boleh disifatkan sebagai satu wabak yang menular bukan dalam kalangan penjawat awam sahaja, bahkan sektor swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan anak syarikat kerajaan.



Menurut Institut Integriti Malaysia (IIM), perkara ini berada pada satu tahap kritikal dan perlu tindakan drastik daripada semua ahli lembaga pengarah, pengurusan tertinggi dan ketua jabatan pertubuhan, kerana mereka bertanggungjawab dalam memastikan pertubuhan mereka ditadbir urus dengan baik dan mewujudkan budaya integriti tinggi.



Bagaimanapun, timbul persoalan apakah pertubuhan tersebut bersedia dan mempunyai iltizam berubah?



Sesuatu perubahan itu tidak memerlukan kos tinggi dan bukanlah agak sukar untuk dilaksana.



Yang penting ialah langkah positif itu akan membendung ketirisan.



Sudah sampai masanya wabak rasuah dikekang supaya tidak menular hingga ke akar umbi, kerana jika tidak, mungkin pada satu hari nanti masyarakat dan negara akan menerima secara terbuka perbuatan rasuah kerana ia sebahagian daripada budaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >