Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

MERAI WANITA MULIA

Pesan Mak

Oct 24, 2021 | 05:30 AM



AKU menguatkan diri apabila telefon bimbitku bernyala. Ia menunjukkan panggilan daripada nombor yang bukan pada kebiasaan waktunya diterima.



Esakan adik bongsu, Nani, mengesahkan kenapa aku harus kuat. Insan mulia yang kami panggil "Mak" telah berpulang.



Pada usia 86 tahun, Mak meninggalkan kami tujuh beradik - Haslinda, Hasbi, Hasmidah, Hafiz, Hannan, Haniff dan Nurhasni. Mak melahirkan lapan orang anak. Hafidzah telah berpulang awal.



Mak sebenarnya meninggalkan beratus lagi anak - barangkali beribu. Mereka adalah anak-anak murid Mak. Anak-anak murid Mak diajari dan dididiknya di serata Singapura, bermula di Madrasah Alsagoff.



Mak pernah bercerita si anu dan si anu anak murid Mak di madrasah lil banat itu. Anak perempuannya juga anak muridnya.



Anak-anak murid yang lain, yang kami panggil "pelajar", belajar dengan Mak di utara (Marsiling), selatan (Beach Road), timur (Bedok), barat (Jurong) dan tengah (Ang Mo Kio) Singapura.



Kalau Hari Raya, memang tidak menang tangan melayan anak-anak murid dan pelajar-pelajar Mak.



Kalau anak perempuan Mak adalah anak muridnya di Madrasah Alsagoff, anak-anak lelakinya dijadikan anak murid Madrasah Aljunied, melainkan seorang anak itu.



Mak sering kali ditanya: Kenapa hantar anak-anak ke madrasah? Jawab Mak ringkas tapi tegas: Supaya menjadi manusia dan anak-anak yang soleh.



Barangkali sebab itu pesan Mak kepada aku cuma satu: Jadilah anak yang soleh. Bila Mak disantuni setiap kali sebelum ke sekolah - baik sekolah rendah atau menengah - pesannya satu: Jadi anak soleh yang mendoakan Mak dan Bak.



"Bak" ialah panggilan untuk seorang lagi insan mulia kami, ayah.



Tidak dipesannya: Belajar pandai-pandai, dah besar boleh jadi doktor. Atau peguam. Atau jurutera. Atau akauntan.



Bila aku santuni Mak sebelum sambung "mengaji" ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pesannya tetap sama: Jadi anak soleh. Sedangkan aku mengaji ke UIA untuk jadi peguam. Aku kemudian menjadi peguam - sivil dan Syarie.



Pesan Mak tetap sama. Bila aku sambung mengaji ke peringkat yang lebih tinggi, pesan Mak tidak berubah juga: Jadi anak soleh yang mendoakan Mak dan Bak.



Aku pasti Mak bangga dengan aku, dulu peguam dan sekarang pensyarah. Aku pun pasti Mak sangat bangga dengan pencapaian anak-anaknya yang lain. Pencapaian mereka lebih hebat.



Tapi sama ada anak Mak seorang presiden atau mufti atau lulusan doktor falsafah atau peguam atau akauntan atau sepertinya juga seorang ustaz atau ustazah, Mak mahu anak-anaknya menjadi anak-anak soleh dan solehah yang mendoakannya dan Bak.



Hari ini dan hari-hari seterusnya sehingga aku pun berpulang, aku akan menjadi seorang anak soleh yang mendoakan Mak dan Bak.



"Ya Allah, ampunilah Mak dan Bak dan kasihanilah mereka. Sampaikanlah pahala seorang pendidik kepada Mak. Muliakan kepulangannya dan lapangkan tempat istirahatnya yang sementara ini. Terimalah amalan dan kebaikannya."



"Ya Allah, kasihanilah Bak dan berikanlah kekuatan kepadanya untuk menghadapi kehilangan Mak."



Buat Mak, Ustazah Hajah Kalsom Marwan, anak Mak akan terus mendoakan.



Seperti pesan Mak.




  • Penulis seorang pensyarah undang-undang di Malaysia. Beliau merupakan adik kepada Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan. Ibu mereka, Allahyarhamha Ustazah Kalsom Marwan meninggal dunia baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >