Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PESTA PERDANA KE-16

Pelakon wanita matang terus dihargai di SG

Mar 10, 2021 | 05:30 AM



DENGAN usia yang meningkat, datang kematangan yang membolehkan seseorang pelakon menghadam watak yang diterajui dengan lebih berkesan.



Bagi sebilangan pelakon wanita di Nusantara, soalan yang sentiasa timbul dalam fikiran: "Masih lakukah saya pada usia melepasi 40 tahun?" atau "Ada peranan mencabar lagi ke setelah capai usia matang?"



Ramai yang akur, arena lakonan 'Dunia Melayu' tidak sama seperti di Hollywood yang menjulang pepatah 'Old is gold' (usia tua itu emas).



Beberapa tahun lalu, saya mewawancara dramatis Malaysia, Eira Syazira, kini 36 tahun, yang sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, walhal beliaulah wirawati paling 'in' suatu ketika dahulu.



"Susahlah kak sekarang ini. Dah terlalu ramai pelakon. Semakin ramai anak muda penuhi pasaran. Peluang dapat peranan yang baik dan watak utama semakin tipis sejurus kita melepasi usia 30 tahun. Jadi mak-mak sahaja nampaknya," kongsinya.



Di Barat, kita lihat pelakon matang yang terbukti hebat seperti Merryl Streep, 71 tahun, dan Helen Mirren, 75 tahun, masih laku dan ditawarkan watak mencabar yang membawa kepada kemenangan Anugerah Academy.



Streep begitu menyerlah sebagai mantan Perdana Menteri Britain, Cik Margaret Thatcher, dalam filem Iron Lady. Beliau juga meyakinkan sebagai editor majalah fesyen yang kepala angin dan sinis dalam The Devil Wears Prada.



Mirren pula membuat ramai terpaku di pawagam dek keberkesanannya menghidupkan watak Ratu Elizabeth II dalam filem The Queen.



Pencapaian mereka malah bak satu inspirasi buat pelakon lebih muda meyakini kerjaya lakonan boleh bertahan lama melepasi usia senja.



Mujurlah, apa yang boleh dibanggakan di Singapura adalah peluang buat pelakon wanita berusia melebihi 40 tahun menyerlah dalam watak utama sebagai ibu, nenek, suri rumah atau wanita berkerjaya yang melalui pasang surut emosi.



Melihat senarai pelakon wanita terbaik dalam watak utama dan pembantu beberapa edisi Pesta Perdana termasuk tahun ini, saya tumpang gembira bakat lakonan golongan ini terus diasah.



Nama-nama seperti Mariana Yati, Ariati Tyeb Papar, Mastura Ahmad, Rilla Melati Bahri, Siti Aishah Ahmad, Seriwahyuni Jaes, Siti Hajar Abdul Gani dan Rahimah Yusoff bermain dalam fikiran.



Rosita Hussin, 45 tahun, membolot dua kategori pelakon wanita terbaik dalam watak utama bagi drama khas/antologi dan siri drama.



Beliau membawa watak ibu cacat pendengaran dalam telefilem Hari Ibu, Mamaku Bibikku, terbitan Poetry In Motion.



Bagi drama Millenia Motion Pictures Tekan Minyak Siri 2 pula, Rosita adalah ibu yang berubah-ubah sikapnya daripada ceria kepada suram menyusuli kematian anaknya.



Rosita yang mempunyai latar belakang teater dan menjayakan monolog Kenang-Kenangan Seorang Wanita, dua tahun lalu, berkata:



"Saya hargai usaha pihak penerbitan Singapura dan saluran Mediacorp Suria menampilkan kami yang sudah berusia matang ini dalam peranan mencabar.



"Bukan sahaja sebagai ibu atau isteri biasa-biasa sahaja yang berada di pinggiran plot tetapi mendukung watak utama dengan tuntutan emosi yang rencam.



"Sejujurnya, saya tidak sangka akan membawa pulang dua anugerah sekali gus dalam kategori watak utama. Sebelum ini, bukan rezeki saya atau belum masanya meskipun saya selalu pesan pada diri, agar beri yang terbaik."



Rosita menghargai peluang mengasah kemahiran dalam bahasa isyarat yang diraih daripada seorang jurulatih profesional.



Baginya, itulah yang diperlukan pelakon mapan yang masih ingin belajar sepertinya.



"Jurulatih saya begitu teliti, melihat setiap gerak-geri saya di set, apakah bahasa isyarat saya tepat atau tidak. Ekspresi muka ibu cacat pendengaran ini juga harus ketara sambil menggerakkan jari-jemari," tambahnya yang melihat Streep sebagai idola kerana mampu membawa penonton selami wataknya.



"Selepas ini, saya menantikan peluang membawa watak bagi kisah riwayat seseorang tokoh dalam telefilem atau drama biopik pula. Seronok rasanya mengupas jiwa orang yang benar-benar wujud di alam nyata," tambah Rosita.



Persada televisyen Singapura juga memberi ruang buat penyanyi menggilap bakat terpendam berlakon dan melenyapkan beberapa stereotaip tentang pembantu rumah ataupun bapa tiri yang selalu dianggap jahat dan pembawa masalah dalam kupasan sosialnya.



Juara Anugerah, Eka Mairina, 42 tahun, yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Watak Pembantu) bagi drama khas Mamaku Bibikku pada Pesta Perdana, secara peribadi merasakan kejayaan itu lebih besar daripada pencapaiannya di pentas vokal.



"Sampai sesak nafas di balik pentas sebab macam tak percaya dan bingung seketika. Awalnya, saya memang menolak peranan sebagai pembantu rumah ini sebab tidak mahu dijadikan kebiasaan atau stereotaip, saya hanya boleh bawa peranan sebegini kerana berasal dari Indonesia.



"Alhamdulillah, selepas penerbit Nusaibah Rahim menjelaskan bahawa ada 'isi' pada watak pembantu rumah ini dengan jalan ceritanya menggambarkan pembantu yang berjasa kepada keluarga orang dan berkorban berjauhan daripada anaknya di Indonesia, sesuatu yang diperlekeh sesetengah anggota masyarakat, barulah saya menerimanya," kata Eka.



Beliau yang masih terasa dirinya anak dagang berjauhan daripada keluarga di Indonesia, menghargai penglibatan dalam industri televisyen Singapura.



"Singapura mempunyai ramai bakat cemerlang yang setara dengan bakat di Malaysia atau Indonesia dan perlu lebih didedahkan.



"Dengan kesempatan belajar kemahiran seperti bahasa isyarat di set drama Singapura, ia sesuatu yang menambah pengalaman saya sebagai anak seni," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >