Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Prinsip 'hustle demi hasil' dalam jiwa milenial

Aug 25, 2019 | 05:30 AM



BERAKIT-RAKIT ke hulu, berenangrenang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang- senang kemudian.



Itulah pesan leluhur kita.



Jika ingin mendapatkan kesenangan di kemudian hari, haruslah kita menempuh keperitan terlebih dahulu.



Namun, adakah pegangan itu masih relevan bagi generasi milenial - lahir antara 1981 dengan 1996 iaitu berumur dalam lingkungan usia 23 hingga 38 tahun.



Leluhur kita pun ingatkan lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang.



Dahulu kita bersampan, namun kini milenial menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD) untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain secara mudah dan pantas.



Pantas. Itulah perkataan yang paling penting dalam dunia milenial.



Pantas sampai ke destinasi, pantas terima pesanan makanan dan pantas juga mencapai kejayaan atau apa yang diidamkan.



Lantaran itulah terhasil slang milenial Melayu - hustle demi hasil.



Kekata ini awalnya muncul dalam lirik lagu #BudakFlat oleh rapper hip hop Malaysia, Aman Ra, pada 2016.



Ia kemudian menjadi begitu sinonim menggambarkan cara pemikiran serta gaya kehidupan generasi milenial.



Malah, ia begitu dekat dengan naluri milenial sehingga tercipta barangan seperti pakaian, topi dan perhiasan dengan perkataan hustle demi hasil. Malah, hashtag #hustledemihasil popular di Instagram.



Justeru, apakah sebenarnya maksud di sebalik kekata alaf baru ini dalam konteks pemikiran generasi milenial?



Apakah maksud gaya kehidupan hustle - yang dalam bahasa Inggerisnya bergerak cepat - yang didakap generasi ini?



Timbalan Ketua Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, berpendapat perkataan itu besar kemungkinan satu 'korupsi' istilah Inggeris hustle and bustle - iaitu secara umumnya bermaksud bergerak cepat, pantas atau melakukan pelbagai perkara pada satu-satu masa.



"Mereka membayangkan usaha itu sebagai satu gerakan bagi memperolehi hasil yang pelbagai," ujar beliau.



Penggunaan perkataan hustle dalam pepatah milenial itu, pada pendapat penulis, menggambarkan dunia sekarang yang bergerak pantas untuk mencapai kemajuan dan sekali gus mencerminkan gaya hidup generasi hari ini yang bukan setakat sibuk, tapi sentiasa mengejar masa.



Milenial hari ini bukan hanya 'sibuk' mengejar impian dan memburu minat, malah mereka juga memikul pelbagai tanggungjawab.



Kami mahu berkeluarga, mahu bekerjaya, mahu 'tubuh' yang sihat dan mahu juga masa untuk bersosial.



Yang membezakan kami daripada generasi sebelumnya ialah kami mahukan ini semua dengan pantas. Kami tidak sanggup 'berakit-rakit ke hulu'.



Apakan tidak. Apabila lihat 'member' sebaya berjaya, kita pun tidak mahu ketinggalan dan ingin juga memburu cita-cita sendiri.



Jika boleh menggenggam segala pencapaian dan kejayaan yang dimahukan pada usia muda, sekarang, mengapa tidak?



Misalnya, pemain bola jaring negara, Siti Nurshawallah Rashid, 26 tahun.



Atlit ini bukan hanya harus mengimbangi jadual latihan dan pekerjaannya sebagai pegawai eksekutif program di sekolah menengah, malah beliau juga seorang ibu kepada dua anak.



Pada Julai lalu, beliau telah menyarung jersi negara di Piala Dunia Bola Jaring di Liverpool, England - hanya lima bulan selepas melahirkan anak bongsunya.



Demi minat kepada sukan bola jaring dan ingin mencapai impian untuk mewakili negara dalam kejohanan bola jaring terulung dunia itu, beliau sanggup 'langgar pantang' dan gigih berlatih untuk kembali ke gelanggang dalam masa yang singkat.



Kisah golongan milenial yang kita baca, yang disiarkan akhbar ini, membuktikan kami adalah generasi yang berorientasikan matlamat dan tidak boleh menerima perkataan bahawa sesuatu itu tidak boleh dilakukan jika kita benar-benar mahukannya.



Biarpun terpaksa bersusah payah dahulu, kami berani berusaha atau hustle untuk memperolehi kejayaan atau 'hasil' yang dicari.



Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), Dr Nazry Bahrawi, pula berpendapat bahawa generasi milenial mempunyai persepsi berbeza mengenai apa yang ingin mereka kejar dalam kehidupan.



Golongan tersebut tidak lagi memburu lima 'C' iaitu wang (cash), kad kredit (credit card), kondominium (condominium), kereta (car) dan keahlian kelab mewah (country club membership), seperti generasi sebelum ini.



"Generasi milenial lebih sensitif kepada isu-isu berciri etika seperti ketidaksamaan dari segi pendapatan dan juga dari segi sosial seperti peranan wanita di dunia. Mereka sudah melewati fikiran secara pragmatis yang mendefinasikan generasi dahulu," ujarnya.



Beliau mengatakan bahawa lima 'C' pada milenial kini lebih berciri idealisme yang memaparkan sifat belas kasihan dan kemasyarakatan.



"Kerana dunia yang mereka diami penuh dengan ketidakpastian seperti perubahan iklim dan ketidakadilan seperti kemiskinan yang senang dilihat dalam talian di telefon pintar mereka, maka ini memberi mereka perangsang untuk membina dunia yang lebih adil dan lebih baik," tambahnya.



Ciri-ciri milenial itu turut didapati dalam tinjauan OCBC mengenai 866 pelajar dan golongan muda yang sudah bekerja berusia 16 hingga 29 tahun di Singapura yang dikeluarkan pada April lalu.



Ia menunjukkan bahawa hanya 49 peratus milenial akan meletakkan pemilikan harta benda sebagai keutamaan mereka, jika mereka mampu membelinya.



Majoriti responden juga melihat kepentingan untuk menyumbang semula kepada masyarakat (77 peratus) dan mempunyai kesedaran mengenai kesan alam sekitar yang disebabkan oleh produk yang dibeli (63 peratus).



Aspek berperikemanusiaan generasi ini, kata Dr Nazry, harus digalakkan.



Cik Mizah Rahman, 32 tahun, pengasas bersama sebuah organisasi reka bentuk tidak mencari keuntungan, Participate in Design, antara golongan milenial berjiwa masyarakat.



Inisiatifnya, yang mula ditubuhkan sejak 2012, membantu kejiranan dan institusi awam mereka bentuk ruang masyarakat agar dapat memanfaatkan masyarakat secara keseluruhan.



Seperti Cik Mizah, milenial kini mahu mencari tujuan dan kepuasan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.



Mereka lebih terbuka dan tidak gentar untuk meneroka pelbagai bidang asalkan mendapat pemerolehan yang besar.



Lantas, 'hasil' dalam konteks generasi milenial boleh merujuk kepada pendapatan yang berbentuk kejayaan fizikal mahupun kepuasan diri yang ingin dikecapi.



Kesimpulannya, mentaliti generasi milenial dan generasi dahulu ada persamaannya.



Kedua-duanya mengutamakan kerja keras untuk mencapai 'hasil' masing-masing.



Apa yang berbeza adalah gaya hidup sekarang yang pantas dan cabaran tambahan yang harus milenial hadapi dalam dunia yang pantas berubah dan tidak menentu, didorong kuasa pengaruh teknologi.



Ramai yang menganggap generasi milenial sebagai 'lemah' kerana lemak dan manja dengan kehidupan tampak selesa lagi mudah sekarang.



Kami mungkin tidak melalui zaman peperangan, ataupun perlu menempuhi era pembangunan, namun milenial berdepan dengan cabaran tersendiri yang memerlukan pemikiran, azam, daya tahan dan kebijaksanaan berbeza.



Pesan saya kepada milenial seperjuangan: Teruskan hustle demi hasil mengorak langkah dan tabah mengharungi cabaran dunia hari ini dan masa depan.



Dan kepada dunia, apa cabaran anda seterusnya kepada kami?




Zulaiqah Abdul Rahim wartawan BM/BH. Baru-baru ini, beliau menghasilkan rencana mengenai isu Alat Mobiliti Peribadi (PMD) dan laporan mengenai 'Orang laut di Singapura - Kembali ke S'pura untuk 'satukan' Orang Laut'.



Instagram: @zulaiqah.bh




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >