Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Projek kreatif siswa 'Kelas 1'

Animasi pelajar: Lain generasi, lain tanggapan mengenai seks

Nov 08, 2021 | 05:30 AM



Meskipun masih menuntut di Maktab Seni Lasalle ketika itu, dua siswa ini sudah menggalas amanah besar melaksanakan projek animasi dan filem yang disifatkan mencabar lagi bermutu tinggi. Hasil kegigihan yang ditampilkan, dua projek berkenaan antara faktor yang menempatkan mereka sebagai antara penerima ijazah Sarjana Muda Seni Dengan Kepujian Kelas Pertama, baru-baru ini. BERITA HARIAN melaporkan.



ANIMASI dengan watak comel lagi melucukan sudah menarik perhatian Cik Shahrazad Logan sejak sekolah rendah lagi.



Video juruanimasi amatur ataupun penggemar animasi yang melukis kartun sebagai hobi di YouTube menarik perhatiannya.



Anak sulung dua beradik yang kini berusia 21 tahun itu akur animasi berupaya dijadikan wadah penyebar pesanan sosial.



Lantaran itu, beliau memilih jurusan ijazah seni animasi di Maktab Seni Lasalle setelah tamat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' di Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC).



Antara kenangan manis Cik Shahrazad di Lasalle termasuk menghasilkan animasi 'To Kill The Birds And The Bees' yang memenangi Anugerah Arahan Seni Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Muzik Terbaik pada Anugerah Filem Belia Kebangsaan (NYFA) tahun ini.



NYFA merupakan anjuran badan tidak mengaut untung yang tertumpu kepada usaha membangun bakat dan kepimpinan belia, *SCAPE.



Filem hasil usaha Cik Shahrazad dan teman-temannya itu menyentuh tentang pendidikan seks dan tanggapan generasi berbeza mengenainya.



Ia juga akan ditayangkan di Pesta Filem Antarabangsa Singapura, hujung tahun ini.



Ikuti wawancara Berita Harian (BH) bersama Cik Shahrazad yang tamat pengajian di Lasalle dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama.



Beliau kini guru seni lukisan sambilan buat kanak-kanak dan konsultan sambilan di Lasalle yang memberi panduan buat pelajar animasi.



Bulan ini juga beliau mengusahakan syarikat seni konsep dan animasinya sendiri.



Lebih menarik lagi, Cik Shahrazad meneruskan misi memburu ilmu dengan mengambil pula Diploma Persembahan di Lasalle.



SOALAN (S): Tahniah kerana meraih ijazah Kepujian Kelas Pertama. Apa perasaan anda dan mengapa kursus animasi menjadi pilihan?



CIK SHAHRAZAD (SH): Sejujurnya, saya lega matlamat saya tercapai. Saya adalah seseorang pencapai tinggi dalam apa jua perkara yang diceburi. Lantaran itu, saya enggan mengecewakan sesiapa khususnya diri saya sendiri.



Sejak kecil, saya tahu lukisan adalah salah satu subjek kegemaran saya. Namun, cinta pada animasi pula bermula setelah saya menonton video animasi di YouTube. Ia dihasilkan individu amatur sebaya saya.



Videonya mudah dihadam, melucukan dan menghiburkan. Saya juga dapati siri buku kanak-kanak kegemaran saya juga dijadikan animasi oleh peminat buku itu di YouTube.



Apabila melihat kata-kata dalam buku berubah menjadi kartun, saya terdorong bikin animasi sendiri.



Kadangkala saya gunakan blok Lego bagi menghasilkan animasi asas henti gerak di samping mencuba animasi digital dengan memanfaatkan sofwe percuma seperti Microsoft Paint dan Windows Movie Maker. Semuanya menggunakan tetikus sebab pada masa itu, saya tidak memiliki tablet lukisan.



S: Siapakah juruanimasi pencetus inspirasi buat anda?



SH: Kebiasaannya orang akan memberikan nama juruanimasi terkenal.



Namun, saya lebih terinspirasi dengan juruanimasi YouTube yang benar-benar memberi kesan pada diri saya serta mudah disaksikan kerja seni ringkas mereka.



Lebih peribadi rasanya melihat bagaimana mereka dewasa dalam dunia animasi.



Pencapaian mereka terasa realistik. Ia membuatkan saya rasa, kalau mereka boleh, saya pun boleh.



Salah seorang yang saya kagumi adalah juruanimasi Fernanda Dias dari Brazil. Kerja seni yang dimuatnaikkan tidak banyak, tetapi setiap animasinya mempunyai mutu yang benar-benar digilap.



Cara Fernanda melukis animasinya nampak cantik dan bendalir. Saya nak juga capai mutu animasi sebegitu.



Rekaan watak dan subjeknya juga sejajar dengan minat saya terhadap haiwan fantasi, magis dan comel.



S: Ceritakan pula tentang animasi 'To Kill The Birds And The Bees' yang memenangi banyak anugerah.



SH: Walaupun konteksnya di Singapura, saya berharap pesanan yang cuba disampaikan tentang pendidikan seks dan persepsi generasi berbeza mengenainya adalah sejagat.



Filem ini terbahagi kepada tiga bahagian meliputi kelompok kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Walaupun setiap bahagian memiliki pesanan berbeza, kesemuanya menjurus ke arah kenyataan betapa warga Singapura biasanya mengelak daripada berbincang tentang seks kerana terdapat banyak stigma dan salah takrifan mengenainya.



Animasi santai dengan sisipan komedi ini menangani isu serius. Saya dan teman-teman rasa penting menggunakan komedi yang kadangkala lebih berkesan membuatkan orang ingin ambil tahu berbanding sesuatu yang serius dan persis satu leteran menasihati. Matlamat kami adalah agar filem ini bermakna dan seronok ditonton semua.



Saya adalah pereka watak utama dan juruanimasi projek ini yang memastikan watak utama dan latarnya sesuai ditampilkan dan nampak sepadan dengan sekitaran filem ini.



Saya seronok melukis unsur pergerakan gila-gila dan raut muka watak yang disangka remeh, tetapi menghidupkan watak berkenaan.



Saya juga pembikin boneka tangan seperti dalam 'The Muppet Show' dalam animasi ini. Ia projek mencabar, tetapi menyeronokkan dan dibereskan sewaktu cuti sekolah. Saya gembira memperolehi kemahiran baru.



Segalanya mampu dihasilkan dengan kerjasama dua rakan saya, Calleen Koh dan Wan Yee Teo. Kami saling memahami kekuatan masing-masing dan berkomunikasi.



S: Namakan tiga animasi kegemaran anda.



SH: Kartun Netflix, Shera and the Princess of Power. Walaupun saya bukan lagi si cilik, saya seronok menontonnya sebab ia menceritakan tentang dunia fantasi dengan kerencaman watak, unsur magis dan haiwan fantasi. Nilai seperti menerima diri sendiri dan pertumbuhan peribadi banyak diterapkan.



Saya juga suka animasi gerak henti Wes Anderson, Isle of Dogs. Teknik gerak henti makan masa dan mahal. Keperincian setiap objek ditekankan. Saya paling suka apabila Wes melukis watak haiwan dan raut wajah mereka penuh realistik. Animasi asap berkepulan atau rintik hujan menampakkan pemikiran luar kotaknya.



Akhir sekali, animasi kegemaran saya ialah 'How To Train Your Dragon'. Ia adalah filem di mana naga akhirnya dihargai dan tidak dijadikan watak antagonis. Rekaan watak naga ini kelihatan unik dan menarik kerana ia dipadankan daripada beberapa haiwan sebenar.



Setiap naga ada tarikan dan pergelutan hidup sendiri. Watak-wataknya menyentuh hati. Saya berharap suatu hari nanti saya dapat menghasilkan filem yang menusuk kalbu seperti ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >