WALAUPUN sudah lama berkecimpung dalam bidang seni malah menjadi komposer pilihan sebilangan bakat muda yang baru bertatih dalam dunia hiburan, Yazri Malik belum terfikir memasuki sebarang pertandingan muzik setempat.
Namun, di atas dorongan dua sahabatnya, pasangan suami isteri Idi Hakim, 39 tahun, dan Erma Maulood, 37 tahun, Yazri, 41 tahun, gagahkan semangat menyertai peraduan terkini Mediacorp Suria, Projek Lagu.
Yazri, seorang penyunting video, bersyukur lagu ciptaannya itu terpilih sebagai antara 12 finalis peraduan mencipta lagu itu.
Rancangan yang akan disiarkan setiap Selasa di Suria dan aplikasi meWATCH mulai 8.30 malam ini bertujuan meraikan muzik tempatan dan mengasuh pemuzik setempat.
Ia membolehkan bakat setempat mengetengahkan kerja seni kreatif mereka menerusi berbilang wadah penyiaran Mediacorp.
Ketika dihubungi, Yazri yang merupakan anggota band Merah dan pencipta lagu hit Ryan Sufiyan, Gelap Malam, berkata:
"Sebenarnya, Idi dan Erma yang mendorong Yaz agar sertai Projek Lagu. Seumur hidup Yaz, memang tak pernah terfikir nak masuk sebarang peraduan.
"Bagi Yaz, lagu ini subjektif. Jadi bila kita nak sertakannya dalam peraduan, ia bergantung pada siapa yang mendengar.
"Ada lagu sedap di telinga pendengar A. Ada yang kurang penuhi cita rasa pendengar B. Sedap atau tidak lagu itu, tengoklah apa yang dicari si pendengar.
"Namun, apabila Idi dan Erma mendorong Yaz agar tak salah mencuba demi mengumpul pengalaman baru, Yaz pun usahakan masuk dan cuba demi meraih ilmu sepanjang pertandingan.
"Lagipun, sebab Idi dan Erma ada dalam pertandingan ini, maka lebih bersemangat nak masuk bertanding. Sebab kami sudah bekerjasama selama lapan tahun... dah tahu dan faham cita rasa dan budaya kerja masing-masing. Sinergi sudah sedia ada."
Baginya, cabaran yang dihadapi adalah dari segi pembahagian masa dan komitmen antara pertandingan dan kerja sepenuh masanya.
Yazri yang baru-baru ini bekerjasama dengan bakat baru dari Anugerah 2021, Teeqa RZ, bagi lagu Rindu Dalam Sepi, mencipta lagu tentang cinta terlarang bagi Projek Lagu.
"Yaz rasa ramai yang pernah lalui fasa bercinta tetapi terhalang sama ada kerana kedudukan, keluarga dan keadaan," ujarnya lagi.
Di sebalik sudah banyak juga makan garam dalam bidang muzik, Yazri tetap berasa peraduan itu peluang buatnya belajar daripada komposer muda lain yang sangat berbakat menjana karya sendiri.
Projek Lagu mempunyai tiga pengacara, Fadli Kamsani, Fatin Amira dan Lydia Asyiqin.
Terdapat tema yang perlu peserta ikuti dalam mencipta lagu seperti cinta atau runut bunyi drama.
Penonton juga berpeluang menyaksikan proses kreatif yang dilalui peserta daripada memikirkan konsep lagu dan penerbitan kepada pemilihan penyanyi bagi lagu berkenaan dalam kalangan bakat baru.
Proses bekerjasama dengan pengarah muzik sebelum produk akhir disampaikan di pentas pertandingan juga dapat ditinjau.
Mereka diadili karyawan veteran dalam dunia muzik, Datuk Ramli Sarip, Mayuni Omar dan Daly Filsuf dari segi keaslian dan kreativiti lagu, melodi dan lirik serta kesesuaian komersial.
Sebanyak 70 peratus pemarkahan diserahkan kepada pengadil profesional ini manakala baki 30 peratus pula ditentukan undian penonton.
Sepanjang 10 minggu, peserta akan melalui proses di mana penyingkiran dibuat bagi menentukan empat peserta cemerlang bagi 'Grand Final' pada 9 November.
Juara peraduan akan menerima wang tunai $20,000 disusuli hadiah $5,000 buat naib juara, $3,000 bagi pemenang ketiga dan $2,000 buat peserta tempat keempat.
Seorang lagi komposer yang akan bertanding malam ini adalah Ahmadul Amin Haron, 25 tahun, seorang guru muzik bebas.
Amin adalah sebahagian daripada duo Anak-Anak Haron yang sampai ke peringkat separuh akhir Anugerah 2021.
Beliau menyertai Anugerah 2021 bersama adiknya, Afiqah.
Apabila ditanya apakah yang membuatnya memasuki Projek Lagu, Amin berkata:
"Sebenarnya mak saya yang minta saya sertai peraduan ini. Sejujurnya, saya tak terfikir nak masuk peraduan ini selepas baru tamat Anugerah 2021 awal tahun ini.
"Saya tak berapa yakin dengan kemahiran saya mencipta lagu dan menulis lirik tetapi mak kata, belum cuba belum tahu."
Amin akur antara cabarannya adalah bertanding dengan peserta lebih mapan yang sudah lama aktif dalam dunia muzik Singapura.
"Bagi Projek Lagu, saya hasilkan lagu Definisi Bahagia. Ia mengenai pencarian saya sendiri sebagai anak muda yang kian dewasa dengan pengalaman dalam mencari arah tuju kehidupan.
"Apakah definisi bahagia buat saya? Apakah misi saya sebenarnya? Ternyata, kesimpulan lagu ini adalah definisi bahagia bagi saya masih kabur dengan jawapannya masih lagi dicari-cari," katanya.
Lulusan Maktab Seni Lasalle ini berharap dapat belajar menghasilkan karya yang baik dalam keadaan tertekan.
"Sebelum ini, lagu-lagu saya dihasilkan secara santai tanpa sebarang tarikh akhir menyiapkannya," jelas Amin yang sudah menghasilkan beberapa lagu di Spotify seperti Selamat Malam Sayang, Lelaki Selalu Salah, Baju Raya Hijau dan Lagi Satu Lagu Cinta (dendangan bersama Imran Ajmain).
Dalam pertandingan malam ini, Amin, Yazri, Erma dan Idi bersaing dengan bekas finalis Anugerah 2009, Wawan Husen dan seniman jalanan, Fairuz Rahim serta pelajar dan pereka grafik, Daina Ariffin.
- Projek Lagu disiarkan setiap Selasa, mulai 8.30 malam ini di saluran Suria dan aplikasi meWATCH. Persembahan dan sisipan belakang tabir rancangan ini juga boleh diperolehi di meWATCH, meLISTEN, IGTV Suria dan saluran YouTube Mediacorp's Entertainment.
"Sebenarnya, Idi dan Erma yang mendorong Yaz agar sertai Projek Lagu. Seumur hidup Yaz, memang tak pernah terfikir nak masuk sebarang peraduan.
Bagi Yaz, lagu ini subjektif. Jadi bila kita nak sertakannya dalam peraduan, ia bergantung pada siapa yang mendengar.
Ada lagu sedap di telinga pendengar A. Ada yang kurang penuhi cita rasa pendengar B. Sedap atau tidak lagu itu, tengoklah apa yang dicari si pendengar.
Namun, apabila Idi dan Erma mendorong Yaz agar tak salah mencuba demi mengumpul pengalaman baru, Yaz pun usahakan masuk dan cuba demi meraih ilmu sepanjang pertandingan."
- Yazri Malik, 41 tahun, lagu ciptaannya antara 12 finalis dalam peraduan mencipta lagu, 'Projek Lagu'.