Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Projek Lagu' ruang ketengah seniman jalanan, muka baru

Nov 09, 2021 | 05:30 AM



Sesiapa sahaja boleh menjuarai peraduan mencipta lagu Mediacorp Suria, Projek Lagu, yang bakal melabuhkan tirainya malam ini. Apakah yang dicapai atau dipelajari finalis sepanjang perjalanan mereka dalam peraduan ini? BERITA HARIAN melaporkan. Demi semarak persada seni, finalis peraduan cipta lagu kongsi rezeki dengan bakat SG



ASAM garam bermula dari sifar sebagai penghibur jalanan di Haji Lane selama tiga tahun banyak mengajar aktivis seni dan finalis Anugerah 2009, Wawan Husen, erti kehidupan dan nilai seni.



Itulah yang membuatnya menyimpan tekad bulat memberi pendedahan buat seniman jalanan lain dalam setiap pusingan peraduan mencipta lagu Projek Lagu yang disertai bersama Fairuz Rahim, juga seorang penghibur jalanan.



Mereka antara finalis yang akan menyajikan kerja seni mereka pada peringkat akhir Projek Lagu di Suria malam ini.



Sebagaimana jelas Wawan, 31 tahun, yang nama sebenarnya Muhammad Safuan Husen, dalam satu wawancara Zoom yang diselaras Mediacorp Suria:



"Golongan 'buskers' atau seniman jalanan ini mutiara tersembunyi yang perlu kita gilap bakat dan potensinya.



"Selain Fairuz, Farhan dan Elsa yang diketengahkan bagi pusingan sebelum ini, dalam peringkat akhir, saya akan perkenalkan Razali pula.



"Mereka memang tiada lagu yang diputar di corong radio, tidak pernah keluar di televisyen. Rata-rata, orang tak kenal pun. Namun, saya bersyukur Suria beri peserta kebebasan memilih penyanyi. Maka, saya sahut cabaran menampilkan seniman jalanan dengan memastikan mereka bersedia untuk persembahan 'live' di pentas televisyen, faham akan kerja penerbitan serta tahu bila sepatutnya mereka berehat sebelum bikin persembahan. Bagi saya, Projek Lagu wadah terbaik untuk memberi seniman jalanan ini peluang dan ruang meraih pengalaman menyanyi untuk televisyen."



Menurutnya, formula menggunakan seniman jalanan juga menguji keupayaannya mencipta lagu yang sesuai buat muka baru ini.



Wawan juga dapat mencorak mereka sebagai penghibur yang boleh berdiri sama tinggi dengan penyanyi yang sudah ada nama dalam persada seni Singapura.



"Tekanan adalah satu formula yang akan membuatkan seseorang itu memperbaiki dirinya dalam masa yang singkat. Saya hargai setiap pengalaman mengamati dan mencedok ilmu daripada peserta lain sepanjang pertandingan ini," tambahnya.



Mengenai bagaimana pengalaman bergelar penghibur jalanan mengubah hidupnya, Wawan menjelaskan:



"Fairuz mengajak saya 'busking'. Saya masih ingat bagaimana saya gigih menyanyi di Haji Lane setiap malam walaupun awalnya memang 'malu gila' sebab terserempak dengan teman yang tidak tahu saya seorang 'busker'. Mereka tahu saya ada tugas pada waktu siang ketika itu. Saya menyanyi untuk mendapat wang tambahan. Selama 10 tahun terlibat dalam bidang seni, macam-macam yang saya buat. Tapi dalam lubuk hati saya, saya teringin pelajari sesuatu yang baru sehingga saya sanggup kembalikan diri saya pada tahap 'sifar'. Saya bersedia lenyapkan segala yang saya ada demi kembali ke jalanan.



"Walaupun jalanan di Singapura tidak sama dengan di Australia, pengalaman menyanyi di Haji Lane tetap mengubah perspektif dan mengajar saya tentang kehidupan. Saya perlu tahu niat saya lebih daripada kraf yang boleh mengalir 24 jam. Nawaitu saya bukan lagi untuk diri saya tetapi apa yang boleh saya sumbangkan buat masa akan datang untuk membantu anak seni lain, dalam hal ini, golongan 'buskers'."



Fairuz, 32 tahun, yang sudah sedekad menjadi penghibur jalanan turut pelajari proses beralih dari menghibur di jalanan ke studio televisyen.



"Di jalanan, ia interaksi antara kita dengan orang yang lintasi jalan untuk menonton kita berdendang. Emosi kita secara bersemuka penting. Di televisyen dan dalam pertandingan pula, kita perlu beri tumpuan, komitmen, kerja keras dan berdisiplin menghibur. Yang penting, kita jangan lupa berseronok dalam setiap persembahan kita," jelasnya yang teruja dapat menghadiri sesi 'masterclass' Projek Lagu untuk pelajari selok-belok mencipta lagu dan menulis lirik.



Konsep berkongsi rezeki dengan penyanyi baru yang belum didedahkan di kaca televisyen turut diamalkan dua lagi finalis Projek Lagu, Mohamed Zulhilmi Mohamed Ya'acob, pegawai penjara dan Nurariff Mohamed, eksekutif media, kedua-duanya 29 tahun.



"Kami mencari bakat baru terpendam yang tidak pernah atau jarang ditonjolkan di kaca televisyen. Singapura ada ramai bakat baru yang perlu diketengahkan. Mereka menanti platform sesuai.



"Saya dan Ariff sendiri pernah lalui tempoh sukar di mana kami cuba hantar lagu kami ke sana sini tetapi tidak diterima. Sedih juga sebab orang macam tak pandang lagu kami.



"Kami akur, orang tak dengar lagu kami sebab mereka tak kenal kami. Kami yakin apabila diberi peluang bagi Projek Lagu, kami perlu berusaha beri peluang dan berkongsi rezeki dengan bakat lain.



"Danial Baharin dan Sarah Adriana adalah dua finalis peraduan Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0, yang kami ketengahkan hasil usaha kami mengamati bakat mereka. Danial memiliki suara besar atau 'suara jantan' dengan nada rendah yang 'menghantui'. Sarah pula adalah anak muda dengan jiwa lama dan suara matang yang unik. Seorang lagi yang kami ketengahkan adalah Mai Dhaniyah. Beliau mempunyai beberapa lagu yang sudah dirakam. Potensinya membuatkan kami senang bekerjasama dengannya," tambah Zulhilmi yang bersyukur 2021 memberi semangat baru setelah beberapa lagu ciptaannya diterima baik pendengar.



Persembahan finalis dinilai juri tetap, Datuk Ramli Sarip, Mayuni Omar dan Daly Filsuf. Juri undangan pula Dr Azmeer dan Habsah Hassan. Peserta dinilai dari segi keaslian dan kreativiti lagu, melodi ciptaan dan lirik serta kesesuaian komersial lagu berkenaan. Sebanyak 70 peratus markah ditentukan pengadil, baki 30 peratus berpandukan undian orang awam.



Juara akan membawa pulang wang tunai $20,000; naib juara meraih $5,000, $3,000 buat pemenang ketiga dan $2,000 buat pemenang keempat.



Projek Lagu disiarkan mulai 8.30 malam ini di Suria dan meWATCH.




"Golongan 'buskers' atau seniman jalanan ini mutiara tersembunyi yang perlu kita gilap bakat dan potensinya... Mereka memang tiada lagu yang diputar di corong radio, tidak pernah keluar di televisyen. Rata-rata, orang tak kenal pun. Namun, saya bersyukur Suria beri peserta kebebasan memilih penyanyi. Maka, saya sahut cabaran menampilkan seniman jalanan dengan memastikan mereka bersedia untuk persembahan 'live' di pentas televisyen..."
- Wawan Husen, finalis 'Projek Lagu'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >