Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Raikan Ilmu beri inspirasi kepada wanita lebih berjaya

Pelbagai usaha Mendaki bagi perkasa generasi muda wanita dan sediakan peluang bina keyakinan serta keupayaan demi realisasikan impian mereka
Oct 24, 2021 | 05:30 AM



Wanita adalah sumber penting bagi keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, inisiatif untuk mengembangkan potensi dan keupayaan mereka adalah penting. Sehubungan dengan itu, Yayasan Mendaki telah mengatur pelbagai program bukan hanya untuk membangunkan kebolehan, malah sebagai wadah bagi wanita Melayu/Islam mendapatkan inspirasi daripada kaum Hawa yang lain. Sempena bulan Raikan Ilmu, Mendaki sekali lagi telah menyediakan beberapa program khusus bagi wanita. 




2021



IA merupakan tahun bagi meraikan Wanita dan sedang kita semakin ke penghujungnya, kita ingin berhenti sejenak dan berfikir tentang pelbagai liku-liku kehidupan yang telah dilalui golongan wanita Melayu/Islam kita.



Kita berharap bahawa wanita generasi hadapan akan terus mencipta kejayaan baru.



Namun, harapan sedemikian hanya boleh menjadi realiti sekiranya kita membina asas yang kukuh serta sekitaran yang baik bagi mereka untuk berjaya.



Berdasarkan Banci Penduduk 2020, sekitar 50 peratus warga Melayu Singapura merupakan kaum wanita.



Lantas semakin terdapat keperluan untuk menyalurkan mereka kepada peluang-peluang yang membolehkan mereka untuk mengembang dan membangun bagi masa hadapan.



Golongan remaja perempuan kita terus mencapai kemajuan yang baik dalam pendidikan.



Terdapat lebih ramai golongan siswazah wanita (11.7 peratus) berbanding lelaki (8.5 peratus).



Sedang kita meraikan kejayaan mereka di dalam pendidikan dan juga kerjaya kelak, kita juga harapkan lebih banyak lagi kisah-kisah sedemikian kerana mereka mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat dalam banyak perkara.



Persoalannya ialah "bagaimana kita boleh menggalak ahli keluarga kita sendiri terutamanya anak-anak gadis dan juga saudara perempuan kita untuk terus mempunyai aspirasi dan berjaya?"



Untuk mengorak langkah bagi wanita Melayu/Islam kita, masyarakat perlu melaksanakan pelbagai pendekatan.



Kita akur tentang perlunya mengadakan pendekatan upstream atau ke hulu untuk mengubah minda ibu bapa dalam memperkasa anak gadis mereka.



Bengkel-bengkel keibubapaan diadakan untuk mendidik dan mencetuskan kesedaran tentang pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya yang memaparkan karyawan wanita Melayu/Islam dari pelbagai industri berkembang.



Melalui wadah sedemikian, kita berharap ibu bapa dapat meluaskan pemikiran mereka dan berpandangan bahawa terdapat peluang luas terbentang bagi anak-anak mereka, terutama anak-anak gadis mereka, melangkaui peranan tradisional seorang wanita.



Terdapat beberapa wadah yang dapat menganjurkan perkongsian sektor industri secara khusus di mana kita boleh mengundang karyawan wanita Melayu/Islam untuk memberi inspirasi kepada para pelajar agar dapat menerobosi sempadan dan memaksimumkan potensi mereka.



Salah satunya adalah seminar Next Stop anjuran Mendaki.



Karyawan wanita seperti Cik Nur Insyirah Ismail yang memulakan pendidikan di madrasah sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Islam. Beliau berkongsi bagaimana beliau bertukar kerjayanya menjadi Penganalisis Data di Dow Jones.



Beliau menekankan bahawa kemahiran kritikal dan keupayaan yang ada membolehkannya menembusi industri yang lazimnya dipelopori kaum lelaki.



Kisah sedemikian boleh memberi inspirasi kepada pelajar untuk meletakkan matlamat yang lebih tinggi dan meningkatkan kesedaran tentang adanya peluang-peluang pendidikan dan juga laluan kerjaya, melangkaui bidang kelulusan mereka.



Seorang lagi karyawan wanita yang diundang untuk berkongsi kisah beliau di NextStop minggu depan adalah Cik Sabreena Hassan.



Cik Sabreena juga pernah mengongsikan pengalaman beliau di Siri 'Future of…' Mendaki Jun lalu.



Sebagai seorang jurutera eksekutif di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Cik Sabreena mengambil jurusan yang kurang popular dalam kalangan kaum wanita secara amnya.



Beliau lulus dengan ijazah Kejuruteraan Rekaan Mekanikal dan Pengeluaran.



Cik Sabreena telah menimba ilmu dan keupayaannya dalam bidang Seni Bina Data Raya dan Analisis Data Lanjutan untuk kekal relevan dalam kerjayanya di LTA.



Selain bengkel-bengkel khusus sedemikian, keupayaan boleh dibina melalui usaha bimbingan atau mentoring.



Dengan berbuat demikian, ia diharap dapat memberi motivasi kepada para menti dan mempengaruhi generasi muda kita untuk mendakap minda pembelajaran sepanjang hayat dan mendapat inspirasi daripada perkongsian kisah hidup para pembimbing mereka.



Bagi para pembimbing, ia menyediakan peluang untuk menyumbang kepada usaha memartabatkan masyarakat.



Salah satu program mentoring yang ada, memberi tumpuan kepada membimbing pelajar menengah tiga yang berada di peringkat genting pendidikan mereka.



Satu tinjauan yang diadakan tahun lalu menunjukkan bahawa dua sumber utama untuk memilih kerjaya bagi belia Melayu/Islam adalah berdasarkan saranan anggota keluarga dan teman-teman mereka.



Melalui kegiatan mentoring ini, kita boleh menghasilkan pelbagai laluan di hadapan mereka. Ini juga akan memastikan laluan pembelajaran mereka akan berterusan.



Satu lagi program mentoring yang popular di dalam masyarakat Melayu/Islam memberi penekanan kepada golongan pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



Dikenali sebagai Program Permerkasaan, matlamat program ini adalah untuk menggalak pelajar untuk kekal di sekolah agar dapat terus melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.



Melalui program ini, pelajar mempunyai akses kepada sumber dan peluang di mana mereka hanya perlu untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.



Sokongan yang menyeluruh bukan saja diberi kepada pelajar bahkan kaum keluarga mereka.



Untuk membolehkan kita untuk memperhalusi program mentoring yang dapat memenuhi keperluan para pelajar ITE, program khusus bagi golongan wanita juga tersedia.



Program Pemerkasaan bagi Perempuan (EPG) memberi penekanan kepada topik seperti membina sifat positif, keyakinan diri dan hubungan yang sihat.



Lulusan ITE wanita yang telah mengecap kejayaan dalam kerjaya mereka diundang untuk berkongsi kisah bersama para menti agar dapat memberi motivasi kepada mereka untuk menetapkan matlamat lebih tinggi dan mencapai impian yang lebih besar.



EPG mengamalkan falsafah Gift Centred Mentoring yang mengenal pasti kelebihan atau keistimewaan yang ada pada seseorang remaja dan membantu menangani masalah mereka.



Melalui pendekatan ini, para pembimbing berupaya untuk mengenal pasti kekuatan yang ada dalam diri menti mereka dan melihat sebarang adangan yang mungkin menghambat diri mereka.



Adangan-adangan sedemikian boleh berpunca daripada pandangan mereka mengenai dunia, jangkaan keluarga atau pengaruh rakan-rakan.



Justeru, para pembimbing dilatih untuk menangani sebarang masalah yag ada demi merealisasikan potensi sepenuh mereka.



Sebuah konvensyen tahunan bagi belia yang digelar MENDAKI Club Re:Work, bertujuan menghubungkan pelajar, graduan dan karyawan muda dengan dunia pekerjaan yang kian berubah.



Topik-topik dipilih bertujuan untuk membantu para belia mempersiapkan diri dan menempatkan diri dari segi kemahiran dan kecekapan dan memperoleh pengalaman kerjaya yang kritikal.



Melaluinya, pelajar Melayu/Islam turut terdorong untuk memperoleh kemahiran dan kecekapan yang berkaitan dengan industri baru.



Oleh kerana terdapat lebih ramai lulusan wanita Melayu/Islam berbanding lelaki, amat penting bagi belia perempuan Melayu/Islam kita memikirkan masa depan dalam industri berkembang dan dilengkapi dengan kecekapan untuk berjaya dalam kerjaya mereka.



Melihat adanya keperluan untuk memberi perhatian terhadap para siswazah dan lulusan baru wanita Melayu/Muslim, program kepimpinan baru untuk wanita yang dikenali sebagai YWILD (Dialog Wanita Muda dalam Kepimpinan) dilancarkan.



Mereka juga telah menerbitkan buku peringatan bertajuk Unprecedented: To the Beat of Her Own Drum yang memaparkan antologi daripada 20 wanita muda Melayu/Islam mengenai kisah keberanian, iltizam dan daya tahan mereka untuk mengecapi kejayaan.



Kita percaya bahawa penyertaan tenaga kerja wanita Melayu (termasuk sektor berkembang) dapat dipertingkatkan lagi.



Yang menariknya, wanita Melayu memasuki tenaga kerja lebih awal dalam lingkungan usia 15-19 (14 peratus) dan 20-24 tahun (67 peratus) berbanding kaum lain. Pada usia 25-29 tahun, lapan daripada 10 wanita Melayu aktif secara ekonomi.



Oleh kerana kita menyedari kepentingan berdikari dari segi kewangan dan menyumbang kepada keperluan ahli keluarga, kita mendapat gambaran bahawa keinginan untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat itu kuat dalam kalangan belia berusia antara 15-35 tahun.



Berdasarkan tinjauan Yayasan MENDAKI tahun lalu, 91 peratus responden berpendapat bahawa peningkatan kemahiran akan membantu mereka memperoleh pekerjaan yang lebih baik sementara 82 peratus yang ditinjau lebih suka bekerja sambil belajar.



Bagi pelajar yang lebih gemar bekerja sambil belajar, terdapat Program Bekerja dan Belajar SkillsFuture.



Disasarkan kepada lulusan baru politeknik dan ITE, program ini menyediakan latihan di tempat kerja secara berstruktur dan latihan berasaskan institusi.



Dengan mendorong pemuda Melayu/Islam kita untuk mengikuti program ini, mereka bukan saja kekal dalam sistem pendidikan malah juga memastikan keperluan kewangan keluarga mereka kekal stabil.



Terdapat keperluan untuk terus mengukuhkan kesedaran dan kadar penerimaan masyarakat kita terhadap SkillsFuture yang akan memberi mereka peluang untuk mengembangkan dan meningkatkan diri melalui pembelajaran sepanjang hayat di berbagai peringkat kehidupan masing-masing.



Ini sangat relevan bagi wanita kita yang mungkin mengambil cuti rehat kerana membesarkan anak-anak dan mungkin menghadapi cabaran untuk kembali ke pasaran kerja pada masa akan datang disebabkan kemahiran mereka yang tidak lagi relevan.



Bagi wanita yang sebelumnya telah memutuskan untuk berhenti kerja demi menguruskan keluarga mereka, Program Back-To-Work Women (BWW) kelolaan Mendaki Sense boleh dijadikan peluang untuk mereka menyertai semula pasaran kerja.



BWW berusaha memberi peluang kepada wanita yang ingin meningkatkan dan bersedia bekerja melalui tiga pendekatan untuk menilai keperluan, latihan dan bantuan penempatan kerja menerusi proses Step In, Step Up and Step Out.



MENDAKI SENSE melaksanakan ACE IT! - iaitu sebuah Penasihat Kerjaya yang memberi bimbingan kerjaya dan perundingan latihan untuk golongan karyawan, pencari kerja untuk merealisasikan potensi dan mengembangkan kerjaya.



Melalui sokongan yang bersepadu, menyeluruh dan bermutu kepada wanita Melayu/Islam maka mereka dapat mengejar aspirasi masing-masing dan menyumbang kepada ekonomi keluarga dan negara.



Mengambil langkah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif akan membuka pintu bagi masyarakat untuk menjadi lebih inklusif di masa depan dan merealisasikan visi kita sebagai Masyarakat Gemilang.




  • Encik Muhammad Faisal ialah Pengurus Kanan dan Ketua Kumpulan Jabatan Penyelidikan dan Reka Bentuk Mendaki sementara Cik Murshida Mohamed Kadir pula ialah Eksekutif Kanan, Pejabat Mentor Belia Mendaki.


FESTIVAL RAIKAN ILMU



SEMINAR NEXT STOP

Merebut Peluang: Persiap Belia untuk Membangun dan Menyinar

Tarikh: Sabtu, 30 Oktober

Masa: 10.30 pagi - 12.30 tengah hari

Wadah: Zoom

Pautan: https://bit.ly/NextStop2021




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >