Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Raikan Raya Bersama cara Variasi sambut 20 tahun

Lagu Raya ‘norma baru’ banyak dihasilkan dengan pelbagai matlamat, baik bagi merai ulang tahun kolektif seni, sebagai projek keluarga atau secara spontan apabila kehilangan orang tersayang. BERITA HARIAN melaporkan kisah beberapa usaha bakat tempatan menyemarakkan sambutan Hari Raya yang tetap ceria dalam keterbatasan pandemik Covid-19 melalui penghasilan lagu Raya baru.
May 11, 2021 | 05:30 AM



ULANG tahun ke-20 pertubuhan seni setempat Variasi Performing Arts ingin dirai penuh ceria menerusi lagu Raya, Raikan Raya Bersama.



Pengasas dan pengarah artistik badan ini, Raja Hamzah Raja Zulkifli, tidak terlintas akan menulis lirik lagu Raya setelah sekian lama mengarang naskhah teater mahupun menyiapkan kandungan program seni lain.



Penggubah lagu Wawan Husen pula menjadikan lagu Raya ini sebagai wadah penyebar mesej tersirat kesedaran sosial tentang pandemik Covid-19 ini di samping ruang mengetengahkan bakat baru, mapan dan 'underground'.



Lebih istimewa lagi, penasihat Variasi Performing Arts, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dilibatkan sama dengan membaca puisi dalam lagu ini.



Kata Dr Faishal:



"Saya sangat kagum dengan usaha bakat-bakat belia yang menghasilkan karya seni dengan lebih kreatif dan inovatif melalui media digital.



"Lagu Raya ini dapat menceritakan tentang nilai kekeluargaan, persahabatan dan silaturahim bersama dalam menyambut Hari Raya.



"Semangat masyarakat yang dipaparkan sangat luar biasa dan kekalkan sikap keteguhan bersama."



Klip video Raikan Raya Bersama akan ke udara di laman Facebook Variasi Performing Arts pada malam Raya mulai 8 malam esok.



Ketika dihubungi menerusi Zoom, Wawan yang merupakan finalis Anugerah 2009 yang kini berkecimpung dalam penerbitan muzik dan video di syarikat miliknya Elloonia Studio, berkata:



"Saya sudah lima tahun tidak hasilkan lagu Hari Raya. Saya akui lagu Raya baru memang payah tandingi lagu Raya lama yang nostalgik.



"Namun, menghasilkannya adalah satu pencapaian bagi berkongsi kemeriahan berlebaran.



"Kami mematuhi undang-undang jarak selamat dengan mengadakan rakaman video berasingan 50 orang yang diasingkan secara berkumpulan.



"Dengan penglibatan Dr Faishal, kami sisipkan pesanan apa yang patut dan tidak patut dilakukan ketika beraya dalam suasana pandemik Covid-19.



"Besar hati kami dapat bekerjasama dengan pemimpin politik sepertinya yang sentiasa menyokong kegiatan seni."



Wawan yang ditugaskan menjenamakan semula Variasi Performing Arts yang sudah mencecah usia dua dekad ini menekankan penerapan program seni digital.



Beliau mendendangkan lagu ini bersama penyanyi mapan Variasi Performing Arts, Abby Khalid, juara Anugerah 2017, Mohd Shahfiq serta penggiat dikir barat, Kidzer Salim.



"Saya rasa penting libatkan Abby yang tahu tentang pergerakan seni Variasi dalam lagu ini.



"Shahfiq pula anak muda yang masih mencari hala tujunya dalam seni. Kidzer pula banyak idea tetapi mencari wadah mengetengahkannya.



"Saya pula masuk dalam bahagian korus dengan mengetengahkan satu unsur kegelapan dalam keceriaan lagu ini yang mempersoal diri yang mendengar.



"Ia lebih pada pesanan untuk tanya diri, jaga diri dan ingat apa yang diharungi dalam perjuangan hidup," ujar Wawan.



Raja Hamzah pula menyahut cabaran Wawan dalam menghasilkan lirik lagu Raikan Raya Bersama.



"Saya ingin imbas semula pengalaman meraikan Raya tahun lalu yang sangat mencabar, menyentuh jiwa tetapi mampu mengutuhkan semangat kekeluargaan dan silaturahim antara kita dan sahabat.



"Pandemik ini menyedarkan kita yang leka dengan kesibukan kerja atau urusan lain sampai tak sempat nak berbuka bersama keluarga atau luangkan masa buat mereka. Persiapan Raya pun dibuat pada detik-detik akhir.



"Namun, apabila semua orang berada di rumah tahun lalu, usaha mengutuhkan jalinan keluarga dapat digerakkan khususnya sewaktu Lebaran.



"Lagu ini adalah jaminan bahawa kita masih mampu beraya bersama keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dalam apa jua kesulitan. Banyak perkara yang membuat kita sebak beraya dalam pandemik ini," ceritanya mengenai ilham yang diraih bagi lagu ini.



Baginya, lagu ini juga meraikan sumbangan aktivis Variasi Performing Arts, baik yang lama atau baru dalam memperjuangkan serta memasyarakatkan seni.



"Seni bukan sekadar hiburan. Ia adalah penyebar pendidikan dan landasan bagi mendakap pengalaman baru seperti mengusahakan program digital.



"Malah sebelum Covid-19 melanda, kami sudah mula usahakan program digital. Apabila wabak ini tiba, kami tidak begitu kelam-kabut mengalih program kami ke alam maya," ujar Raja Hamzah lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >