Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ramlah Ram kekal relevan dengan sokongan peminat setia

Hasilkan single baru Aku Ubatinya Lagi hasil kolaborasi dengan penggubah Ajai
Jul 10, 2021 | 05:30 AM



RANCANGAN hiburan popular GegarVaganza mungkin wadah yang dinanti-nantikan penyanyi lama untuk membangkitkan semula kerjaya seni yang mula kelam, tetapi tidak bagi penyanyi malar segar, Ramlah Ram - sekurang-kurangnya buat masa sekarang.



Ramlah berkata beliau belum bersedia untuk membuat persiapan bersungguh-sungguh dan bersaing hebat setiap minggu.



Namun ini tidak menghalangnya untuk terus bangkit dengan cara tersendiri, lebih-lebih lagi beliau mempunyai sokongan peminat setia yang kuat.



SOKONGAN PEMINAT SETIA



Bahkan kumpulan peminat yang kuat ini, yang dikenali sebagai Ramlah Ram Group (RRG), yang bersungguh-sungguh mengatur banyak acara persembahan Ramlah sebelum Covid-19 dulu, termasuk mengatur rakaman lagu-lagu baru dan pelancaran album.



Ini termasuk pelancaran album berjudul Aspirasi Hati yang diterbitkan oleh kelab peminat itu pada 2012.



Album itu turut memuatkan lagu Sesaat Kau Datang yang dirakam secara kolaborasi bersama kumpulan Sleeq.



Selain itu, menerusi RRG juga Ramlah merakamkan lagu berjudul 5 Minit yang dinyanyikan secara duet dengan bintang rap, Caprice.



Tahun ini beliau menghasilkan lagu baru, Masal Cinta, diikuti dengan lagu Hari Raya, Kemenangan - juga dengan sokongan kelab peminat itu.



Bahkan, Ramlah terus melangkah gagah, dengan single terbaru, Aku Ubatinya Lagi.



Kali ini single itu diterbitkan penggubah mampan Ajai.



Dalam interviu maya dengan Berita Harian (BH), Ramlah berkata beliau bertahan dan kuat selama ini kerana peminat yang sentiasa menyokong.



"Bila saya cakap sokongan peminat yang kuat, saya tak main-main. Mereka memang setia dan kuat menyokong saya daripada mereka masing-masing masih bujang dan anak dara, sampai dah berkeluarga besar.



"Ketua-ketua kumpulan selalu berhubungan dengan saya menerusi sembang WhatsApp. Mereka serius memastikan kerjaya nyanyian saya terus bergerak, dari dulu sampai sekarang," kata Ramlah, 56 tahun.



GABUNGAN DUA LAGENDA MUZIK



Singleterbarunya, Aku UbatinyaLagi, ditawarkan secara langsung oleh Ajai menerusi isteri dan pengurusnya kepada Ramlah. Mereka sudah berkawan rapat sejak zaman Ajai bersama Exist dan ketika bersama-sama bernaung di bawah BMG Music.



"Saya seronok bekerja dengan Ajai kerana kita kawan sejak 30 tahun lalu. Dulu Ajai dan anggota kumpulan Exist pernah lepak di rumah saya.



"Sebab itu saya rasa selesa. Ajai memang teliti dengan kerjanya dan dia faham dengan cara nyanyian saya," kata Ramlah yang memang bukan calang-calang mencatat pelbagai kejayaan sebagai penyanyi pada era akhir 1980-an dan 1990-an.



KEKAL RELEVAN



Selain memiliki rekod penjualan album terbanyak (500,000 unit yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records menerusi album Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu), pemenang Anugerah Juara Lagu 1988 dan Penyanyi Wanita Popular edisi 1988 & 1989 ABPBH ini juga pernah merangkul gelaran 'Suara Emas' di Asean Golden Vocalist Festival yang berlangsung di Vietnam pada 1996.



Malah pencetus irama dangdut sehingga irama tersebut menguasai pasaran muzik tanah air bermula pada tahun 1994 itu kekal relevan walaupun selepas alaf baru dengan kemenangan lagu Ketentuan sebagai Lagu Terbaik di Hits 1 pada 2008 sehinggalah fenomena lagu Sesaat Kau Datang kolaborasi beliau bersama Sleeq pada 2011 yang turut mempopularkan duo dari Singapura itu di Malaysia



Gandingan Ramlah bersama Caprice menerusi lagu 5 Minit juga membantu mempopularkan rapper muda itu di arena muzik mainstream.



Dengan erti kata lain, beliau masih kekal relevan sehingga kini.



Beliau akui begitu menyukai lirik Aku Ubatinya Lagi yang disifatkannya memberi kekuatan jiwa kepada mereka yang sering mengalami kekecewaan terus kuat semangat dan menerima ketentuan hidup.



BERCERMAT SEMASA SENANG



Ditanya bagaimana beliau bertahan mengharungi sekatan pergerakan di Malaysia sepanjang pandemik Covid-19, Ramlah akui seperti penyanyi lain, pendapatannya terjejas.



Namun selain bergantung dengan simpanan yang mantap yang dikumpul semasa senang, beliau turut menjalankan perniagaan dalam talian seperti menjual minyak wangi.



"Alhamdulillah, sebelum Covid-19 pun, saya dah mula cari sumber rezeki lain selain menyanyi. Penjuaan minyak wangi dapat sambutan baik. Taklah besar sangat pengeluaran produk ini tetapi ia cukup membantu. Peminat saya pun banyak sokong.



"Simpanan tu memang ada, tetapi kalau bukit dikikis setiap hari pun lama-lama boleh jadi rata," ujarnya.



Walaupun terkurung dengan sekatan pergerakan, Ramlah berkata beliau tidak membenarkan dirinya merasa bosan dengan sering menghubungi kawan-kawan yang "sehati sejiwa". Selain itu beliau juga suka memasak dan mencuba pelbagai resepi baru.



Kata Ramlah, beliau berharap gabungannya dengan Ajai menerusi single terbaru itu dapat membuka lebih banyak peluang dan inspirasi untuk merancakkan persada muzik di masa depan.



"Di sebalik pelbagai halangan, macam-macam benda baru boleh muncul. Saya harap single baru ini akan mendapat sambutan dan membuka pintu rezeki yang lebih baik," kata Ramlah.




MENGENAI SOKONGAN KUAT PEMINAT



Bila saya cakap sokongan peminat yang kuat, saya tak main-main. Mereka memang setia dan kuat menyokong saya daripada mereka masing-masing masih bujang dan anak dara, sampai dah berkeluarga besar. Ketua-ketua kumpulan selalu berhubungan dengan saya menerusi sembang WhatsApp. Mereka serius memastikan kerjaya nyanyian saya terus bergerak, dari dulu sampai sekarang.




MENGENAI CABARAN HARUNGI SEKATAN PERGERAKAN DI M'SIA



" Alhamdulillah, sebelum Covid-19 pun, saya dah mula cari sumber rezeki lain selain menyanyi. Penjuaan minyak wangi dapat sambutan baik. Taklah besar sangat pengeluaran produk ini tetapi ia cukup membantu. Peminat saya pun banyak sokong. Simpanan tu memang ada, tetapi kalau bukit dikikis setiap hari pun lama-lama boleh jadi rata.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >