Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Rapper' Nadya Dean meninggal selepas 11 hari koma, lahirkan anak

Wakil S'pura ke Kejuaraan Karaoke Sedunia 2015 pitam beberapa hari setelah melahirkan bayi pramatang
Nov 02, 2021 | 05:30 AM



SEMANGAT juang penggubah lagu, penyanyi dan 'rapper' Singapura, Nadya Dean, yang tidak mengenal erti penat lelah memang terpahat di ingatan ramai anggota keluarga dan sahabat terdekatnya.



Antara misinya yang pernah dikongsi dengan penulis kali terakhir bersembang menerusi sidang Zoom sekitar April lalu adalah mengetengahkan bakat terpendam di Singapura yang jarang diberi kesempatan tampil ke depan walau memiliki suara emas tetapi dihambat dek rupa dan penampilan.



Keramahannya mempesona. Kata-kata perangsangnya menyejukkan hati.



Kerana itu, ramai anggota keluarga dan aktivis seni yang berat melepaskannya pergi apabila Nadya menghembuskan nafas terakhir tengah hari kelmarin setelah 11 hari tidak sedarkan diri di Hospital Besar Changi (CGH).



Beliau disahkan doktor meninggal dunia kerana eklampsia, yang merupakan serangan koma tiba-tiba pada wanita hamil yang disebabkan tekanan darah terlalu tinggi sehingga mengganggu aktiviti otak.



Awal daripada itu, Allahyarhamha yang berusia 27 tahun melahirkan anak keduanya yang pramatang (dilahirkan setelah dalam kandungan selama tujuh bulan), Muhammad Haqq Nashriq.



Nadya, finalis Suara 2.0 anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) juga mempunyai anak perempuan sulung, Nur Arianna Nasuha, yang berusia setahun enam bulan, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Nashriq Sani, seorang pemuzik.



Sepanjang penglibatan seninya, antara pencapaian yang boleh dibanggakan adalah ketika beliau mewakili Singapura bagi Kejuaraan Karaoke Sedunia (KWC) 2015 di mana beliau bersaing dengan juara adu bakat dari negara Barat.



Ketika dihubungi Berita Harian, bapanya Encik Dean Cassim, 58 tahun, seorang guru silat, berkata:



"Pemergian Nadya memang amat dirasakan sebab beliau anak sulung yang rapat dengan saya. Dia memang lasak. Silat, tinju, seni pertahankan diri campuran (MMA)... semuanya dia sertai.



"Orangnya ceria dan suka membantu sesiapa sahaja khususnya bakat tempatan yang ingin ketengahkan kerja seni dan bakat mereka.



"Nadya tak lokek. Dia akan buat sebaik mungkin dan sejak dari zaman sekolah, akan usahakan agar menjadi yang terbaik dan termampu.



"Cuma kadangkala apa yang membimbangkan saya sewaktu dia lalui kehamilan kedua adalah tekanan yang dihadapi. Saya beritahu kepadanya jangan terlalu beri tekanan pada diri sendiri. Mana nak kerja, mana nak ambil kursus diploma. Jangan abaikan kesihatan. Sebenarnya, Nadya sudah ketahui kondisi kesihatannya awal-awal lagi.



"Doktor nak tahan dia di hospital. Dia nak balik tetapi beberapa hari selepas pulang ke rumah, dia pitam dan selanjutnya koma."



Ibu Nadya, Cik Noraini Yahya, 51 tahun, turut menjadi pendorong kuatnya dalam bidang seni.



Sepupunya, aktivis masyarakat Deanna Manto, menjelaskan Allahyarhamha terlibat dalam acara nyanyian terakhir di Kelab Masyarakat Woodlands sekitar Ogos lalu bagi sambutan Hari Kebangsaan.



"Saya tahu beliau mempunyai cita-cita tinggi dan murni bagi memajukan persada seni tempatan. Kami selalu berkongsi tentang visi ini, malah Nadya sering bercerita tentang niatnya menjana lebih banyak lagu kerohanian dan motivasi.



"Pastinya pemergiannya mengejut. Saya diberitahu beliau pitam di rumah selepas beberapa hari pulang sesudah melahirkan anaknya. Awalnya nampak perkembangan positif apabila dipindahkan dari Unit Jagaan Rapi (ICU) ke Wad Pergantungan Tinggi kerana menampakkan respons. Namun, Allah lebih menyayanginya.



"Di dalam hati kami yang mengingati, Nadya pergi dengan cebisan kata-kata perangsang dan semangat juangnya yang memberi orang lain keyakinan dan kegagahan.



"Beliau amat disayangi. Saya lihat hampir 100 orang melawat jenazahnya di Tampines dan ramai juga yang mengiringinya ke Pusara Abadi," tambah Deanna.



'Rapper' Singapura, Atrez, yang nama sebenarnya Muhammad Nuridris Mohamad Samshuddin, 35 tahun, sudah mengenali Nadya sejak mempelajari silat di Perguruan Silat Pencak Pokolan Bawean di mana ayah Nadya merupakan gurunya.



"Saya lihat Nadya seorang yang berdedikasi, mempunyai semangat yang kuat dan santai atau cakap mudahnya, happy go lucky.



"Kami terputus hubungan selepas saya tidak lagi bersilat dan berkecimpung dalam bidang muzik di Malaysia. Hanya apabila saya kembali ke Singapura tahun lalu menyusuli pandemik Covid-19, saya nampak Nadya masuk Suara 2.0.



"Terkesima saya mendengar suaranya dan menyaksikan bakatnya. Kami kemudian berhubung kembali dan membuat perancangan untuk bekerjasama dalam album saya.



"Nampaknya tak kesampaian. Cuma Alhamdulillah, kami sempat berurusan bagi menghasilkan bersama runut bunyi lagu siri drama Suria, Pesan Izan.



"Saya hargai Nadya sebab beliau suka tolong orang dan sokong kawan, ada nyala rasa dan jujur serta merendah hati dan ceria.



"Ditanya bakat lain yang ingin beliau ketengahkan, jawabnya adiknya, Ad-Deen, dan Danial Baharin," kongsi Atrez.



Danial, 32 tahun, yang sebelum ini akur payah mengemukakan bakat vokalnya kerana pernah dianggap seorang pengadil adu bakat sebagai tidak memiliki penampilan 'mesra televisyen' begitu terkesan dengan pemergian Nadya.



Nadya dan suaminya, Nashriq, telah mencipta lagu kerohanian Demi RahmatMu khusus buat Danial.



Lagu syahdu itu mendapat sambutan baik di corong radio, malah sesudah itu, Danial turut diberi kepercayaan menyanyi bagi peraduan cipta lagu, Projek Lagu.



"Walaupun usia perkenalan kami singkat iaitu setahun sejak memasuki Suara 2.0, kami banyak berkongsi kenangan manis bekerjasama dan sebagai sahabat.



"Beliau adalah sauh atau pengukuh Danial Baharin. Katanya, 'Kejayaan itu akan datang kalau niat kita ikhlas. Kalau kita ikhlas buat lagu, orang akan tahu apabila mendengarnya.



"Beliau teman yang pemurah hati dan akan susah hati juga apabila teman lain berduka. Malah, kalau ada teman meniaga atau ada lagu baru, Nadya orang pertama yang akan 'Like' dan 'Share' di media sosial demi membantu rezeki orang lain," tambah Danial.



Seorang lagi teman Allahyarhamha di pentas Suara 2.0, Amir Mansor, 26 tahun, menjelaskan sahabatnya itu sering memberi peluang buat rakan lain meneroka kebolehan mereka.



"Saya terharu apabila Nadya memberi kepercayaan kepada saya untuk menyusun semula irama Demi RahmatMu walaupun saya masih banyak kekurangan. Beliau dan suami juga mencipta lagu untuk saya dan seorang lagi rakan Suara 2.0, Sarah Adriana.



"Nadya memang sangat baik orangnya. Kami pernah bersembang panjang dengan beliau memberitahu saya keinginannya membantu ramai bakat tempatan lain khususnya yang tidak dikenali ramai menerusi lagu ciptaannya dan suami. Itulah cara Nadya membantu bakat lain mencapai impian mereka sebagai penyanyi.



"Bagi saya, Nadya adalah sebutir permata yang selalu mengulas persembahan teman-teman lain di media sosial sebagai memberi kami perangsang. Kami amat kehilangan teman yang menjadi nadi penggerak kami. Moga beliau ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati," kata Amir.



"Beliau teman yang pemurah hati dan akan susah hati juga apabila teman lain berduka. Malah, kalau ada teman meniaga atau ada lagu baru, Nadya orang pertama yang akan 'Like' dan 'Share' di media sosial demi membantu rezeki orang lain."
- Penyanyi Danial Baharin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >