LAGU rancak Balut oleh 'rapper' Singapura, Young Khalifa (YK) yang disertakan dengan cabaran dansa sekali gus mencetus rasa teruja pengikutnya dari Singapura dan Malaysia di media sosial.
Dalam tempoh hanya dua bulan dimuatnaikkan, klip video rasminya di YouTube sudah ditonton 106,000 kali.
Siapa sangka ia mengisahkan tentang kuih Melayu tradisional, pulut panggang?
Dalam membina kerjaya seninya yang setahun jagung, ternyata YK yang nama sebenarnya, Muhammad Iskandar Roswira, 25 tahun, merupakan bakat berwawasan.
Beliau yang bernaung di bawah label rakaman MapMusic (Malaysia) dan syarikat pengurusan bakat Singapura, Voz Management, mengambil strategi serampang tiga mata menggabungkan muzik dengan perniagaan dan kerja kemasyarakatan.
Ikuti wawancara bersamanya yang baru-baru ini melancarkan jenama fesyen jalanan Young Kulture dan bakal muncul dengan 'single' Gerek.
Sebahagian hasil jualan produk akan disalurkan kepada rumah kebajikan anak yatim.
Soalan (S): Ceritakan tentang jenama Young Kulture yang baru dilancarkan. Mengapa YK rasa perlu memulakan perniagaan sebegini seiringan dengan kerjaya muzik?
YK: Young Kulture bermaksud budaya muda. Sungguhpun begitu, saya tidak hanya fokus pada pelanggan dalam generasi muda tetapi kepada semua golongan tanpa mengira usia.
Tujuan saya mengusahakan jenama ini adalah kerana saya ingin bina jenama saya dengan berniaga di samping mencari rezeki tambahan mahupun menyalurnya kepada kebajikan.
Saya akan ketepikan sebahagian hasil jualan produk saya ini bagi derma kepada anak yatim.
Sudah lama saya menyimpan impian membuka perniagaan yang juga boleh dijadikan wadah bagi saya dan teman-teman menyumbang kepada masyarakat.
Mudah-mudahan, fesyen jalanan yang saya usahakan ini akan mendapat sambutan baik daripada pelanggan di Singapura dan Malaysia.
S: Apakah tempoh paling mencabar dalam perjalanan seni anda?
YK: Ketika wabak Covid-19 melanda, saya terpaksa batalkan semua persembahan dan kerja promosi lagu sulung saya di Malaysia kerana sekatan kembara yang dikuatkuasakan.
S: Lagu 'Balut' mendapat sambutan dan dicalonkan dalam Carta Dasyat Giler. Apakah pengertian lagu ini buat anda?
YK: Balut menceritakan tentang kuih tradisional Melayu, pulut panggang. Sekali gus, saya ingin generasi muda tahu tentang kuih ini yang masih disukai ramai. Jangan lupa warisan kita.
S: Apakah pandangan anda tentang usaha bakat Singapura bergabung bagi inisiatif Carta Dasyat Giler?
YK: Carta Dasyat Giler sangat baik bagi bakat baru Singapura yang baru menyertai pasaran muzik. Kita boleh saling berkongsi ilmu dan pengalaman.
BIODATA
YK
- Nama sebenar: Muhammad Iskandar Roswira
- Usia: 25 tahun
- Tiga lagu kegemaran:
1. Pulang (dendangan G-Nello, Somean dan MK K-Clique menampilkan AJ) kerana ia mengingatkan tentang kerja keras yang saya laburkan ketika di Malaysia sebelum kembali ke Singapura.
2. I'm Not Afraid (Eminem) yang memberi saya semangat supaya tidak mudah putus asa.
3- 1-800 (Logic) yang memiliki aliran irama rap yang memberi saya motivasi agar usahakan yang lebih baik lagi dalam kerjaya dan kehidupan.
Tiga perkara pelik yang pernah dilakukan:
1. Saya anggap pencapaian ini pelik tetapi benar. Penstriman langsung yang saya buat secara spontan menerusi wadah BigoLive mendapat 3,000 tontonan semalaman!
2. Kalau diberi rentak yang sulit, saya boleh siapkan lirik dengan cepat. Hairannya, kalau rentak mudah, saya ambil masa raih idea segar.
3. Saya kebiasaan memasang fon telinga tetapi terlupa mendengar lagu!