Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Raya 'retro' 'Semarak Lebaran'

Program digital WGS, Wadah Seni ganding artis lama, baru dalam imbau kenangan beraya
May 28, 2021 | 05:30 AM



KALAU tidak kerana rancangan digital Wisma Geylang Serai (WGS) dan Wadah Seni Entertainment, Semarak Lebaran, tak 'merasalah' biduanita Kamaliah Latiff peluang menyanyikan lagu Datuk Sharifah Aini, Selamat Hari Lebaran.



Sebagaimana kongsinya dalam satu wawancara Zoom baru-baru ini:



"Sepanjang kerjaya seni lima dekad saya, tak pernah nyanyi lagu Raya Sharifah Aini ni di mana-mana. Kadangkala teringin juga cuba sesuatu yang berbeza daripada genre kebiasaan saya.



"Maklumlah ketika arwah mak (Momo Latiff) masih ada, pantang beliau kalau saya nak nyanyi lagu-lagu yang ada kelembutannya mengikut vokal penyanyi asal. Kata mak menegur, 'Dah...kau jangan nyanyi lagu ni...buat rosak lagu aje!'



"Cara nyanyian saya kasar...jadi mak rasa macam tak sesuai. Apabila saya diminta mendendangkan lagu ini, saya khuatir juga tapi sahut cabaran baru.



"Selepas menyanyi Selamat Hari Lebaran, saya balik rumah dan dengar balik rakaman persembahan saya...masih kasar jugalah. Macam tak pass tapi seronoklah sama-sama jayakan rancangan digital ini bersama barisan bakat muda yang boleh saya anggap seperti cucu sendiri."



Semarak Lebaran yang disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan penampilan khas Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Pengerusi WGS, akan disiarkan di Facebook dan YouTube WGS mulai 8 malam ini.



Selebriti setempat Fiza O dan Gloria Tan tampil sebagai pengacara bersama manakala artis yang menjayakannya pula adalah Rudy Djoe, Maya Rahman, Shahirah Jamaludin, Alias Kadir, Kamaliah Latiff, Kadir Rahman (Kadir Lontong), Rudi Salim dan The Wisma II, Syah Riszuan, Raliff Ismail, Shai Othman, Fairus Adam dan Syakirah Noble.



Jurutari mapan, Na'aim Pani dan kumpulan tari Lenggok Selayang ikut serta mengiringi beberapa persembahan.



Bagi Kamaliah, 69 tahun, kesempatan menjayakan rancangan digital yang jarang-jarang diperolehi merapatkan lagi ukhuwah antara artis veteran era 1970-an sepertinya dan mereka yang baru menempah nama dalam persada hiburan Singapura.



"Kita boleh berkongsi pengalaman dan panduan vokal atau persembahan. Teringat zaman rakam rancangan Raya untuk televisyen dahulu. Meriah dan menghiburkan.



"Saya kagum dengan suara bakat muda seperti Raliff Ismail (finalis Anugerah 2021) dan Syah Riszuan (juara Suara 2.0). Mereka memang miliki vokal yang baik. Pesan saya cuma, jangan takut-takut nak keluarkan suara dan tonjolkan bakat," kongsinya.



Pengurus WGS, Cik Siti Maryam Khan, berkata Semarak Lebaran menyatukan bakat lama dan baru sesuai dengan misi menghibur dan memberi pendidikan tentang warisan seni Melayu.



"Orang lama mungkin kenali Kamaliah Latiff dan Kadir Rahman yang lebih mesra dengan panggilan Kadir Lontong tetapi anak-anak muda mungkin tidak mengetahui biduanita dan biduan veteran ini.



"WGS ingin menjadi jambatan yang menghubung generasi muda dengan sejarah dan khazanah seni kita. Sambil menghiburkan, diharapkan rancangan digital ini juga membawa unsur pendidikan buat anak muda," katanya.



Pengarah kreatif Semarak Lebaran, Rudy Djoe, menjelaskan apabila ditugaskan memikirkan konsep rancangan digital ini, terasnya adalah mengembalikan nostalgia beraya dengan melibatkan bakat muda untuk digandingkan dengan artis veteran.



"Ukhuwah artis lama dan artis baru dititikberatkan. Saya juga lihat komitmen, bakat dan kesungguhan bakat muda yang tidak kekok berinteraksi dengan artis veteran.



"WGS sebagai hab dan nadi masyarakat Melayu tentunya ingin mendekati pelbagai lapisan masyarakat. Kami kembalikan unsur 'retro' dalam pencahayaan dan videografi...biar yang lama dikenang, yang baru disanjung.



"Kami beri cabaran buat penyanyi keluar dari zon selesa mereka termasuk artis veteran seperti Kamaliah yang dikenali sebagai Ratu Muzik Disko dan 'Funk' 1970-an.



"Si anak muda pula diberi lagu Gaya Zakry, Ucap Selamat Hari Raya. Tiga pemenang utama Suara 2.0, Syah, Shai dan Fairus pula ibarat kumpulan The Supremes yang menari ikut irama dan mengiringi persembahan Raliff. Keseronokan dapat dirasakan mengimbau nostalgia," jelas Rudy lagi.



Raliff, 29 tahun, pula menyatakan beliau tidak menduga langsung dipelawa menjayakan Semarak Lebaran kerana baru tamat Anugerah 2021.



"Saya ambil peluang ini bagi mengenali lebih dekat bakat lain dan berbesar hati dapat meraih panduan daripada Abang Rudy yang kebetulan menjadi pengadil undangan Anugerah.



"Kalau ada yang rasa keserasian antara saya dan Syakirah wujud ketika menyanyikan lagu Seru Hari Lebaran, ia adalah kerana saya berusaha 'mengkaji' sedikit sebanyak tentang diri dan warna vokalnya.



"Malah, saya tanya kepadanya boleh tak kita kongsi kenderaan untuk ke tempat latihan agar kita boleh berbincang tentang persembahan duet itu.



"Antara yang saya beritahu kepadanya yang tinggi orangnya, jangan gunakan tumit tinggi yang membuatkan saya kelak nampak lebih rendah daripadanya.



"Ia akan membuatkan persembahan kami kelak nampak janggal secara visual dan saya pula rasa tak selesa," kongsi Raliff seraya tertawa.



Mengulas penyesuaian yang dibuat WGS bagi mengalihkan program fizikal ke wadah digital sejak wabak Covid-19 melanda, Profesor Faishal berkata pengalaman setahun memberi ruang buat hab itu perbaiki mutu kandungan yang ingin disajikan khususnya di bulan Ramadan dan Syawal.



"Saya bersyukur WGS dapat menjadi wadah buat penggiat seni terus berkarya dalam tempoh sukar pandemik ini.



"Ada anak seni yang memberitahu saya mereka terjejas dengan keadaan wabak ini kerana banyak projek seni dibatalkan.



"Mereka berterima kasih kepada WGS kerana tidak putus-putus memberikan mereka sokongan melalui wadah seperti program digital yang memastikan kesinambungan kegiatan seni mereka."



Jurucakap WGS, Cik Diana Halil, menjelaskan pihaknya akan terus menjana kandungan digital lebih kreatif sesudah Lebaran dengan kerjasama bersama aplikasi TikTok dan pelantar e-dagang Shopee memberi lebih pendedahan buat bakat tempatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >