Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Rebirth' pulihkan semangat bakat SG, Hana Rosli

Juara Elit Suria hasilkan album pemberi semangat selepas resah enam bulan tanpa kerja sewaktu pandemik
Jul 06, 2021 | 05:30 AM



BAGAIMANA anak seni sepertinya ingin melangkah jauh dalam pandemik Covid-19 yang diibaratkan seperti musim kemarau dunia hiburan tanpa banyak tawaran projek untuk digalas?



Soalan ini bermain di fikiran juara peraduan pencarian bakat mengacara dan lakonan televisyen, Elit Suria, Hana Rosli, 26 tahun, sepanjang wabak koronavirus melanda lebih setahun lamanya.



Lulusan ijazah teater muzikal dengan kepujian daripada Maktab Seni Lasalle ini akur pahit ditelan detik-detik mencabar ketika emosinya pasang surut dek kepayahan mencari pekerjaan tetap selama enam bulan ketika itu.



Lebih menggugat jiwa adalah beliau juga melalui tempoh perit putus cinta yang meremuk redamkan hatinya dan sedikit sebanyak menjejas tumpuannya.



Namun, segala gejolak jiwa ini ditangani melalui semangat baru yang berkobar-kobar ditebar menerusi kelahiran album EP baru berjudul Rebirth, baru-baru ini.



Album Inggeris yang diusahakan dengan bantuan penyanyi dan penggubah lagu setempat, Miss Lou, yang terkenal dengan julukan 'Glamour Vintage Songbird', memuatkan tiga lagu, Lioness, Illusion dan Drop A Line On Me.



Ikuti temu bual bersama Hana.



Soalan (S): Apakah yang membuatkan Hana hasilkan 'Rebirth'?



Hana: Walaupun orang kini mengenali saya lebih sebagai pelakon kerana penglibatan dalam Elit Suria dan projek drama selepas itu, saya tidak merasakan lakonan merupakan kelebihan saya.



Saya malah pernah masuk Anugerah 2017 tetapi terkandas di peringkat uji bakat kerana diberitahu tersilap pilih lagu Bisakah dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.



Rebirth adalah album EP yang saya hasilkan secara serius sebagai anak seni yang ingin bangkitkan semula semangatnya yang goyah dek pandemik Covid-19.



Saya ingin orang ramai tahu saya masih lagi aktif berseni malah mampu melakukan lebih daripada setakat berlakon.



S: Apakah cabaran yang dihadapi Hana dalam menghasilkan 'Rebirth'?



Hana: Saya tidak tahu selok-belok tentang proses rakaman lagu atau studio mana yang boleh saya kunjungi. Saya tiada rangkaian kenalan yang dapat membimbing saya.



Kebetulan rezeki, tahun lalu kumpulan seni Dream Academy, tempat di mana saya pernah bekerja sambil belajar sewaktu di politeknik memanggil saya untuk satu persembahan.



Di sana, saya temui penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi bernama Miss Lou. Beliau menawarkan untuk hantar saya pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, saya bertanya kepadanya tentang selok-belok menghasilkan album.



Beliau beritahu saya tentang jerih payah merakam lagu di Los Angeles. Tak pernah seumur hidup saya, saya temui seorang artis yang tidak lokek ilmu, telus dan ikhlas.



Saya berminat menjadi anak didiknya.



S: Apakah antara kepayahan Hana sepanjang Covid-19?



Hana: Saya pernah cuba jadi penolong kewangan bersama Prudential tetapi menyedari ia bukan tugas sesuai.



Kemudian, saya mohon jadi pramugari Singapore Airlines. Sayangnya setelah diterima, tak dapat pula terbang kerana operasi penerbangan yang terjejas dek Covid-19.



Saya turut mohon tugas sebagai penyanyi dan penari Universal Studios Singapore (USS). Itu pun tiada rezeki.



Saya enggan terbiar menganggur. Saya hanya bergantung pada simpanan bank ketika itu.



Mujurlah, saya kemudian mendapat tugas sebagai tenaga pengajar teater muzikal bagi kanak-kanak antara usia enam hingga 12 tahun di MindChamps Academie of Stars di Marina Square hingga hari ini.



S: Nyatakan pengertian lagu dalam album EP anda.



Hana: Lioness menggambarkan keberanian seseorang untuk jadi diri sendiri di luar takrifan masyarakat atau penilaian orang terhadap diri kita. Saya peka dengan kesan pandemik terhadap kesihatan mental individu sekeliling. Kerana itu, sering tanya khabar teman-teman. Banyak juga dengar kisah orang murung kerana pekerjaan yang terjejas atau hubungan terlerai.



Tempoh sukar putus cinta pula mencorak lagu Illusion. Saya ingin mereka yang kehilangan seseorang atau sesuatu merasakan mereka tidak keseorangan. Yang penting, kita harus berkomunikasi.



Drop A Line On Me pula lagu membina hidup baru dengan merasakan ada penawar di luar sana. Ini dilakukan dengan menyemak aplikasi dating atau melungsur media sosial.




"Rebirth adalah album EP yang saya hasilkan secara serius sebagai anak seni yang ingin bangkitkan semula semangatnya yang goyah dek pandemik Covid-19. Saya ingin orang ramai tahu saya masih lagi aktif berseni malah mampu melakukan lebih daripada setakat berlakon."
- Hana Rosli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >