Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

MASJID DARUL MAKMUR

Relawan makmurkan masjid jadi ahli lembaga pentadbir

Mar 25, 2022 | 06:37 AM



Masing-masing mempunyai kemahiran dan pengalaman sendiri yang mereka percaya dapat membantu memakmurkan masjid. Tiga relawan Masjid Darul Makmur, Encik Haikal Putra Iskandar, Encik Samsudin Saman dan Cik Mahmutha Ismathinoon, menyahut panggilan untuk berkhidmat dalam sektor masjid dan menyumbang kembali kepada masyarakat Islam sebagai ahli Lembaga Pentadbir Masjid Darul Makmur bagi penggal ke-15 yang bermula 1 Mac 2022 lalu.



SEBAGAI sebuah tempat ibadah bagi umat Islam, setiap barangan di dalam masjid perlu diambil kira. Ini termasuk kerusi, bangku atau sejadah yang didapati di ruang solat atau dewan serbaguna masjid kerana setiap barangan adalah hasil sumbangan dana masyarakat.



Demikian menurut bendahari Masjid Darul Makmur, Encik Haikal Putra Iskandar, 26 tahun, pelajar jurusan undang-undang di institusi pendidikan setempat, yang pernah membantu menguruskan operasi masjid semasa menjadi ahli Lembaga Pentadbiran Masjid (LPM) ini sejak 2018.



Beliau yang pernah bertugas sebagai eksekutif operasi di sebuah pertubuhan perkhidmatan sosial, turut menekankan peri pentingnya masjid menjamin kebertanggungjawaban bagi setiap dana sumbangan masyarakat, apatah lagi sedang Masjid Darul Makmur kini mengumpul dana bagi kerja peningkatan.



Keupayaan Encik Haikal memantau operasi masjid dan kini menyelia pengurusan kewangan masjid adalah antara dorongan beliau memikul tanggungjawab sebagai ahli LPM supaya beliau dapat membantu menyumbang idea dan memperbaiki khidmat masjid kepada masyarakat. Kini, sebagai generasi pelapis di masjid ini, Encik Haikal juga prihatin terhadap golongan belia dan ingin melihat mereka berasa selesa dan terlibat sama dalam kegiatan masjid.



Selain itu, beliau akur bahawa kemudahan teknologi boleh meningkatkan lagi produktiviti warga kerja masjid dalam melaksanakan beberapa tugasan seperti mendapatkan lulusan bagi sesuatu usul melalui tanda tangan secara online atau melalui sistem video.



"Bapa saya bangsa Cina yang memeluk Islam dan beliau menggalakkan saya selalu ke masjid kerana masjid tempat yang selamat. Jadi, saya berharap Masjid Darul Makmur boleh menjadi tempat, di mana anggota masyarakat lain, tidak kira bangsa dan agama, boleh datang dan mempelajari budaya, agama dan etnik satu sama lain dalam suasana selesa," kata Encik Haikal.



Seorang lagi relawan Masjid Darul Makmur, yang sudah menjadi jemaah masjid ini selama melebihi 20 tahun, menyahut usulan agar menjadi ahli LPM pada tahun ini demi menyumbang pengalaman dan kemahiran beliau dalam sektor masjid.



Encik Samsudin Saman, 55 tahun, yang bertugas dalam bidang perkhidmatan perpaduan, terdorong menjadi ahli LPM di Masjid Darul Makmur kerana beliau percaya beliau boleh membantu masjid melebihkan jangkauan dan menaikkan taraf dalam bidang pengurusan acara dan perancangan, pengurusan operasi dan juga pengurusan khidmat pelanggan dan keramahan.



"Sebagai ahli LPM, saya berharap dapat menjadikan Masjid Darul Makmur sebuah hab agama untuk penduduk Islam di kawasan Yishun dan kawasan terdekat. Saya juga berharap kami boleh menukar persepsi terhadap institusi masjid, bahawa ia bukan sahaja tempat menunaikan ibadah bahkan tempat menjalin silaturahim dengan adanya program yang dianjurkan pihak masjid," kata Encik Samsudin.



Tambahnya, beliau terharu dan tersentuh dapat menjalin silaturahim bersama jemaah semasa keadaan pandemik Covid-19 apabila beliau menghulurkan sumbangan sebagai sukarelawan Safe Entry di masjid.



Menganggap Masjid Darul Makmur sebagai tempat istimewa buat dirinya, ahli keluarganya dan juga penduduk Islam di kawasan Yishun dan berdekatan, kerana ia menawarkan khidmat daripada buaian hingga golongan warga emas, Encik Samsudin berharap masjid ini boleh merealisasikan keupayaannya secara optimum dengan menawarkan khidmat sedia ada.



Sementara itu, Cik Mahmutha Ismathinoon, 43 tahun, pengetua di sebuah pusat pendidikan penjagaan kanak-kanak, sudah tujuh tahun menjadi ahli LPM di Masjid Darul Makmur. Beliau berkata masjid ini turut mempunyai ramai jemaah wanita, terutama sebelum terjadinya pandemik Covid-19.



Suasana masjid meriah dengan kehadiran jemaah wanita yang memenuhi ruang solat wanita semasa solat tarawih dahulu.



Justeru, beliau berkata antara peranannya sebagai ahli LPM adalah menjaga kebajikan jemaah, memberi perhatian terhadap keluarga dan kanak-kanak.



Lantaran itu, beliau berharap, selepas masjid ini menjalani kerja peningkatan, ia akan menyediakan ruang buat kanak-kanak bermain tatkala kaum ibu menunaikan solat berjemaah nanti.



Cik Mahmutha, sebelum ini adalah ahli Persatuan Perkhidmatan Sosial Muslim India (IMSSA). Beliau yang sudah menjadi jemaah Masjid Darul Makmur selama melebihi 30 tahun, membuat keputusan menyertai LPM Masjid ini supaya beliau lebih mengetahui dan terlibat dalam kegiatan masjid.



Mengulas tentang perkembangan Masjid Darul Makmur sepanjang penglibatannya sebagai ahli LPM, Cik Mahmutha berkata:



"Masjid Darul Makmur telah berjaya membina semangat kemasyarakatan, bukan sahaja dalam kalangan jemaah Islam, malah kerap menghulurkan bantuan kepada anggota masyarakat berbilang kaum dan agama.



"Selain itu, masjid ini juga memberi penekanan terhadap pendidikan madrasah dan kanak-kanak dan kami berharap kami dapat mempertingkat lagi mutu pendidikan pelajar kami."




CARA HULUR DERMA



Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:



  • PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Ref: Wakaf/Infaq)

  • Pemindahan bank ke dalam Akaun Semasa: OCBC 581-652138001 (Ref: Wakaf/Infaq)

  • Melalui cek atas nama: 'MASJID DARUL MAKMUR'

    Kirim cek melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099

  • Hadir ke pejabat Masjid Darul Makmur, 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099 (waktu pejabat)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >