Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Penjualan basikal lipat berlipat kali ganda

Nov 14, 2021 | 05:30 AM



Sejak setahun dua yang lalu, ramai yang telah berkunjung dan memanfaatkan Rangkaian Penghubung Taman (PCN) serta Rangkaian Laluan Berbasikal (CPN) yang tersedia di sini. Dengan laluan yang lebih luas dan panjang, sebilangan besar penduduk di sini mengambil kesempatan menggunakan laluan ini untuk berbasikal sebagai aktiviti riadah mahupun bersenam ringan. Dengan perjalanan yang agak lancar, basikal lipat telah menjadi basikal pilihan. Ikuti laporan BERITA MINGGU untuk memahami lebih lanjut tentang trend basikal lipat ini. Perniagaan melonjak, peniaga buka kedai baru



JIKA dua tahun lalu basikal lipat kurang mendapat perhatian dalam kalangan penggiat sukan berbasikal, kini populariti basikal yang dianggap padat dan mudah dibawa ke mana sahaja itu kian meningkat.



Ia malah menjadi pilihan utama segenap penduduk Singapura yang baru berjinak-jinak dengan sukan itu sebagai kegiatan riadah.



Maka tidak hairanlah apabila penjualan basikal yang juga lebih dikenali sebagai 'foldie' ini amat laris bak 'goreng pisang panas!'.



Permintaan yang amat tinggi ini juga menyebabkan beberapa pengedar dan kedai basikal yang membekalkan basikal lipat ini kehabisan stok dengan pantas.



POPULARITI MENINGKAT



Menurut pemilik syarikat dan kedai basikal lipat yang dihubungi Berita Minggu (BM), trend basikal lipat ini menjadi 'kegilaan' sejak negara ini menguatkuasakan tempoh pemutus litar tahun lalu.



Pengarah urusan syarikat Mobot, Encik Ifrey Lai, berkata beliau mendapati lonjakan ketara dalam penjualan basikal tersebut sekitar pertengahan tahun lalu.



"Syarikat kami mula menjual basikal lipat pada akhir 2019 dan pada waktu itu ia bukanlah basikal yang popular.



"Selalunya pelanggan akan meminta basikal seperti 'road bike' atau 'mountain bike' (MTB).



"Namun selepas tempoh pemutus litar, penjualan basikal lipat kami berganda dan sangat memberangsangkan disebabkan permintaan yang amat tinggi," katanya.



Sejak itu, mereka meraih keuntungan menggalakkan menurut Encik Lai lagi.



Syarikatnya, Mobot merupakan salah satu pengedar basikal lipat terbesar di sini dengan enam cawangan di sekitar Singapura, dengan yang terbaru terletak di JCube.



Selain basikal lipat jenama Royale dan Camp, mereka turut menawarkan basikal elektrik serta alat mobiliti peribadi (PMD).



Keuntungan serupa juga dapat dirasakan pemilik kedai basikal Fazzbike360, Encik Mohamed Fadzli Hayof.



Encik Fadzli, berkata penjualan basikal mereka meningkat antara lima dengan lapan kali ganda berbanding sebelum pandemik ini.



Sebahagian besarnya adalah daripada penjualan basikal lipat, menurut beliau lagi.



"Kalau sebelum Covid-19 kita hanya dapat menjual tiga atau empat basikal lipat dalam masa seminggu, sekarang kami boleh melihat 20 hingga 40 penjualan dalam jangka masa yang sama," kata Encik Fadzli.



Beliau yang menjadikan hobi naik basikal sebagai mata pencarian utamanya adalah antara pengedar dan penjual pertama yang membawa masuk basikal lipat di sini.



Dengan perniagaan yang rancak itu, Encil Fadzli baru-baru ini telah membuka sebuah lagi kedai baru, iaitu CtBike, sempena nama isterinya, Cik Siti Nurhidayu Mohamed, bersebelahan kedainya yang terletak di Crawford Lane.



Mereka mengkhususkan penjualan basikal lipat jenama Pikes dan 3sixty.



"Jadi saya akan kendalikan kedai Fazzbike360, yang juga menawarkan khidmat servis basikal sebelum membantu isteri di kedai baru di sebelah petang," kata Encik Fadzli.



BOLEH BELI DENGAN HARGA BERPATUTAN



Padat, ringan dan tidak memerlukan banyak ruang untuk disimpan.



Itulah antara ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan basikal lipat.



Harga yang ditetapkan bagi basikal sedemikian bergantung kepada pelbagai faktor termasuk faktor jenama.



Antara jenama basikal lipat terkemuka adalah Brompton dan Birdy. Kedua-dua jenama ini boleh menelan harga melebihi $3,000.



Namun bagi Encik Fadzli dan Encik Lai, jenama basikal yang mereka jual hanya berharga satu pertiga berbanding jenama besar dari Eropah itu.



Bagi Encik Fadzli, harga basikal lipat yang ditawarkan kini antara $950 dengan $1,400 sementara Encik Lai pula menawarkan harga antara $850 dengan $1,900.



"Meskipun lebih murah, kami masih tetap memastikan kualiti yang setanding dengan bermutu premium.



"Dalam pada itu, basikal lipat ini juga datang dengan pelbagai ciri dan reka bentuk. Kami mempunyai dua jenis basikal lipat - 'trifold' (lipat tiga bahagian) dan bifold (lipat dua bahagian).



"Di sini, pelanggan boleh memilih jenis basikal lipat yang sesuai dengan kegunaan mereka" jelas Encik Lai.



Tidak seperti basikal biasa lain, basikal lipat memerlukan pengendalian yang berbeza.



Justeru, Encik Fadzli menghasilkan video pengajaran bagi pengetahuan bukan sahaja para pelanggannya, malah pengguna basikal lipat lain.



"Menerusi video itu, saya tunjukkan bagaimana mereka boleh menjaga basikal lipat mereka dengan lebih baik di samping mengajar apa yang boleh dilakukan sekiranya pengguna mengalami masalah basikal yang boleh diselesaikan sendiri.



"Video ini saya kongsikan di platform media sosial dan boleh ditonton sesiapa sahaja," tambah Encik Fadzli.



TARIKAN BASIKAL LIPAT



Selain ciri basikal lipat yang disebut sebelum ini, di antara tarikan lain tentang basikal ini adalah saiznya yang kecil memudahkan ia dibawa ke hulur ke hilir, ke mana sahaja - seperti menolak 'troli pasar'.



"Kerana ia mudah dilipat, ia boleh dibawa masuk ke dalam pengangkutan awam seperti MRT dan bas tanpa banyak masalah.



"Kalau anda memandu, bahagian but kereta mungkin boleh memuatkan sehingga tiga basikal lipat.



"Jadi anda dapat membawa basikal untuk seisi keluarga dan berbasikal di serata Singapura tanpa perlu rasa bimbang," kata Encik Lai.



Bersependapat, Encik Fadzli berkata bahawa beliau juga pernah membawa basikal lipat miliknya ke luar negara ketika bercuti.



Beliau menjelaskan dengan adanya basikal lipat ia boleh menjimat perbelanjaan keluarga dari segi pengangkutan.



"Selepas saya menjual kenderaan sendiri, saya dan keluarga saya sendiri sering menggunakan basikal untuk ke mana sahaja, termasuk ke kedai kami atau menghantar anak ke sekolah," kata beliau.



Menurut Encik Lai, Singapura mempunyai infrastruktur yang baik bagi menggalak amalan berbasikal.



Singapura merancang untuk mempunyai 1,300 kilometer laluan berbasikal menjelang 2030.



Ini bagi meningkatkan kesalinghubungan dalam dan antara bandar, selain memudahkan perjalanan penduduk dan meningkatkan keselamatan laluan.



Sebahagian besar laluan ini dibina melintasi kawasan yang penuh dengan alam semula jadi dengan pemandangan yang indah.



"Kemudahan seperti ini membuat lebih ramai orang tertarik untuk berbasikal dengan keluarga atau rakan-rakan mereka," tambah Encik Lai.



NASIHAT KEPADA PEMBELI DAN PENGGUNA



Diminta memberi nasihat kepada mereka yang ingin mendapatkan basikal lipat sebagai pelaburan mereka seterusnya, kedua-dua Encik Fadzli dan Encik Lai menekankan kepentingan bukan sahaja membeli sekadar mengikut trend.



Aspek keselesaan dan keselamatan perlu diberi keutamaan dan perhatian menurut Encik Fadzli.



"Apa jua basikal yang pelanggan saya beli, saya sering mengingatkan mereka tentang keselamatan, terutama jika mereka terpaksa menunggang basikal di jalan raya dan keselesaan jika mereka ingin kayuh pada jarak yang jauh," ujarnya.



Encik Lai pula berkata: "Jika boleh, anda perlu mencuba basikal yang anda ingin beli terlebih dahulu.



"Pergi ke mana-mana sahaja kedai basikal dan cuba sendiri basikal tersebut, kerana jika anda membeli dari dalam talian, anda tidak akan dapat tahu jika basikal itu sesuai untuk anda atau tidak."




DULU TIGA ATAU EMPAT, SEKARANG JUAL 20 HINGGA 40 BASIKAL SEMINGGU



"Kalau sebelum Covid-19 kita hanya dapat menjual tiga atau empat basikal lipat dalam masa seminggu, sekarang kami boleh melihat 20 hingga 40 penjualan dalam jangka masa yang sama."
- Encik Mohamed Fadzli Hayof.



DEMI KESELAMATAN CUBA DULU BASIKAL SEBELUM BELI



"Jika boleh, anda perlu mencuba basikal yang anda ingin beli terlebih dahulu.

Pergi ke mana-mana sahaja kedai basikal dan cuba sendiri basikal tersebut, kerana jika anda membeli dari dalam talian, anda tidak akan dapat tahu jika basikal itu sesuai untuk anda atau tidak."
- Encik Ifrey Lai.




PANDUAN BERBASIKAL DI S'PURA



Rangkaian Penghubung Taman (PCN) Singapura adalah rangkaian koridor hijau yang menghubungkan taman-taman utama dan kawasan alam semula jadi di seluruh Singapura.



Dengan laluan yang lebih daripada 300 kilometer, PCN menawarkan peluang bagi orang ramai untuk meneroka taman-taman hijau dan ruang alam semula jadi di sini.



Ini adalah beberapa panduan bagi orang ramai yang merancang untuk berbasikal melalui PCN.



1) Aplikasi MyTransport.SG



- Muat turun aplikasi tersebut daripada App Store atau Google Play.

- Pengguna dapat melihat laluan berbasikal terkini yang dapat digunakan.



2) Kumpulan berbasikal di laman Facebook



- SG PCN Cyclist

- Singapore Cycling Community



3) NParks



https://www.nparks.gov.sg/gardens-parks-and-nature/park-connector-network




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >