Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

TEROKA ALAM KEHIJAUAN SINGAPURA

Kuari Tampines yang unik tersembunyi di balik tumbuhan tebal

Dec 12, 2021 | 05:30 AM



Usaha pemerintah untuk memulihara alam semula jadi membangunkan semula kawasan-kawasan yang kaya dengan flora dan fauna secara tidak langsung telah menarik masyarakat untuk lebih menghargai alam sekitaran. Lebih-lebih lagi dengan keadaan pandemik yang sejak hampir dua tahun menghambat pergerakan rakyat daripada bercuti ke luar Singapura, kian ramai yang kini memberi tumpuan meneroka pelbagai pelosok taman-taman kehijauan seluruh pulau. Kumpulan-kumpulan pendaki atau "hikers", sama ada dalam bentuk kumpulan sosial, sahabat atau anggota keluarga, saban minggu, dengan berpakaian sukan atau kembara, dilihat meredah kawasan hutan Singapura dan meneroka tempat-tempat peninggalan sejarah yang tersembunyi di celah-celah timbunan pokok dan bukit bukau. Kegiatan ini tidak saja dianggap menyeronokkan kerana ia menjadi riadah yang sihat dan merangsang pergerakan fizikal, bahkan memberi perspektif berbeza kepada kehidupan dan sekitaran Singapura. BERITA MINGGU, yang telah menyiarkan siri destinasi alam semulajadi Singapura sejak tiga minggu lalu, kali ini membawakan pengalaman Ustaz Raja Muzaffar Shah Raja Rosli, Penolong Pegawai Eksekutif Perdaus yang juga antara pemimpin grup pengembara Team Jalan Santai, meneroka Kuari Tampines.



RAMAI yang tahu tentang keindahan kawasan kolam di Bedok Reservoir yang sering dikunjungi pelari dan peminat sukan air.



Namun ramai yang mungkin tidak sedari, hanya beberapa batu daripada kolam itu, terdapat 'tasik' unik dan terpencil di sepanjang Tampines Avenue 10, iaitu Kuari Tampines.



Ia hampir tidak dikenali dan didengari kerana dilitupi dedaun tumbuh-tumbuhan yang tebal.



Ustaz Raja Muzaffar Shah Raja Rosli, Penolong Pegawai Eksekutif Perdaus yang menjadikan aktiviti treking sebagai kegiatan mingguannya, telah mengunjungi kuari ini sebanyak empat kali dalam tempoh setahun.



"Tempat ni jarang dikunjungi orang untuk 'hiking'. Boleh gunakan tebing tasik untuk berjalan dan kawasan kuari ini mempunyai pemandangan yang indah, nyaman dan tenang. Ramai yang saya bawa ke sini tidak pernah tahu kuari Tampines ini wujud," ujar ustaz berusia 52 tahun ini.



Menariknya, penghuni liar di tempat ini juga kadang kala menjenguk luar daripada kawasan persembunyiannya.



"Jika anda bernasib baik... jangan sangka air yang tenang tiada penghuninya. Kadang kala memerang timbul di permukaan air," kongsi beliau. Selain memerang, beliau juga pernah terserempak dengan kura-kura, biawak dan ular tedung yang bergerak dalam belukar menuju ke kuari tersebut.



Ustaz Raja Muzafar, yang juga antara pemimpin kumpulan pendaki Team Jalan Santai (TJS) berkata beliau memulakan perjalanan ke kuarai itu dari Tampines Industrial Avenue 3 atau dari tempat letak kereta Bedok Reservoir.



Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, tempat itu kini popular untuk para pemancing, penunggang motor scrambler, mountain bikes, penggemar dron dan juga individu yang gembar kegiatan pendakian.



Berbeza daripada taman biasa, kawasan kuari Tampines ini tidak mempunyai kemudahan awam yang didapati di Bedok Reservoir seperti bangku, tempat perlindungan dan tandas.



"Kelopak air yang bertakung di tanah berlumpur di dalam hutan yang rosak ini mungkin menggalakkan pembiakan nyamuk. Saya dan rakan-rakan yang pernah saya bawa ke sini telah "disambut" nyamuk semasa pendakian," kongsi beliau.



Walaupun pemandangan bangunan dan jalan raya boleh dilihat dari jarak dekat, hutan ini agak sunyi, kecuali bunyi daripada pesawat terbang daripada pangkalan Paya Lebar yang berdekatan.



Selepas melalui hutan yang banyak tanah berlopak, akhirnya beliau sampai ke kuari yang tenang.



"Masya-Allah... sungguh cantik pemandangannya. Cantiknya seolah-olah saya berada di Pulau Ubin.



"Tetapi tidak seperti tasik kuari yang kita kenali seperti di Pulau Ubin atau di Bukit Gombak (Little Guilin), tasik kuari Tampines ini tidak ada bukit granit di sekelilingnya, hanya ada "bukit pasir" yang hampir tidak kelihatan pemandangan latarnya," jelas beliau.



Namun di sebalik keindahan itu, Ustaz Raja Muzaffar berkata beliau agak terganggu dengan sampah sarap yang dibuang serata jalan denai dan semak.



"Kebersihan kuari Tampines harus dijaga. Semasa mengembara di kawasan tasik kuari Tampines ini, saya dapati sisa-sisa buangan seperti bahan plastik, tayar, kanvas dan pelbagai patung yang sudah pecah di buang sana sini.



"Sampah sarap ini membuat tidak sedap dipandang, malah turut mencemarkan persekitaran alam dan air di sekelilingnya.



"Saya berharap semua pengunjung tempat ini akan lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab untuk tidak membuang sampah atau mencemarkan alam sekitar," ujar beliau.



Secara keseluruhannya, beliau akui seronok mengembara di dalam hutan yang membawanya ke tasik kuari Tampines ini kerana mempunyai pemandangan yang indah, nyaman dan tenang.



"Apabila kita mengembara ke tempat-tempat begini dengan rakan-rakan yang mempunyai sama minat dan suka pada alam semula jadi, ia menjadikan keseluruhan pengalaman itu berbaloi dan bermakna''.



Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya pendaki lebih berhati-hati apabila masuk ke kawasan ini selepas hujan.



"Apabila hujan, banyak tanah berlopak dengan takungan air dan air tasik kadangkala naik sehingga anda mungkin perlu menukar haluan.



"Selain itu, turun naik bukit akan lebih mencabar kerana tanah yang licin," kata beliau sambil menambah beliau pernah tergelincir ke air ketika bergambar.



Kepada pendaki yang mahu meneroka kuari Tampines, Ustaz Raja Muzaffar menasihatkan agar mereka jangan mengembara seorang diri. Bawa tongkat kembara hutan dan pastikan menggunakan kasut sesuai untuk treking memandang banyak kawasan berlumpur.



"Bawa bekalan air dan makanan ringan kerana tiada kedai di situ. Pakai seluar panjang dan baju lengan panjang kerana nyamuk berkeliaran," ujar beliau.



Selain kuari Tampines, Ustaz Raja Muzaffar telah mengembara di banyak destinasi mencabar termasuk Gunung Raya di Langkawi, redah hutan di Selangor, hutan di Pahang , Pulau Tioman (berjalan kaki dari hujung pulau ke hujung pulau), mendaki Gunung Pulai, Gunung Berlumut dan Gunung Ledang.



Di Singapura, beliau telah menjelajah 20 laluan hutan dan taman semula jadi termasuk MacRitchie Reservoir, Dairy Farm/Hutan Bukit Timah, Hutan Clementi, Hutan Dover, Taman Semula jadi Thomson, Kolam Air Lower & Upper Peirce, Sungai Buluh, Seah Im Bunker, Mount Faber, Labrador Park, Hutan Kent Ridge/Hutan Zhendher, Koridor Hijau/Rel, Changi dan Pulau Ubin dan beberapa lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >