Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

'Saya harap bapa saya ditangkap'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

MEMPERINGATI 2 DEKAD PENANGKAPAN JI DI S’PURA: YAKIN BAPA ATASI IDEOLOGI SONGSANG

'Saya harap bapa saya ditangkap'

Dec 06, 2021 | 05:30 AM

SELAMA lima hingga enam tahun, beliau terpisah daripada keluarganya dan terpaksa berpindah-randah untuk menumpang bersama saudara-mara serta bertukar sekolah.

Ini selepas bapanya yang terlibat dengan Jemaah Islamiyah (JI) meninggalkan Singapura, diikuti dengan ibu dan adik-beradiknya, semasa beliau masih di sekolah rendah.

Ketika itu, Encik Abdullah (bukan nama sebenar) tidak dapat ikut keluarganya kerana dokumen perjalanannya belum siap.

"Pada waktu itu, saya rasa takut kerana saya tak tahu bila bapa saya akan pulang dan bagaimana kalau dia ditangkap.

"Tapi sepanjang lima hingga enam tahun saya terpisah dengan keluarga, harapan saya adalah agar bapa saya kena tangkap.

"Kalau dia melakukan kesalahan, saya rasa dia harus ditangkap awal, jadi kami dapat menangani isu itu dan membantunya. Saya mahu dia ditangkap pihak berkuasa... supaya saya boleh dapatkan bapa saya semula," ujarnya.

Menurut Encik Abdullah yang kini berusia awal 30-an tahun, beliau tidak tahu apa kesalahan bapanya sehingga beliau takut dan melarikan diri.

Namun selepas mengetahui hal sebenar daripada saudara-mara dan menerusi berita, beliau yang mula bekerja sambilan semasa di menengah satu mula menerima kenyataan.

"Dahulu, rasa marah jugalah apabila saya tengok kawan-kawan ada barang yang saya tak ada seperti kereta Tamiya dan permainan Digimon... tapi marah itu hilang apabila saya teringat apa yang bapa saya telah lakukan pada saya sebelum ini.

"Ini ujiannya dan kita kena hormati. Yang penting, dia nak taubat dan berubah menjadi lebih baik, jadi saya tiada hak untuk rasa marah terhadapnya," ujar Encik Abdullah yang menyifatkan bapanya sebagai seorang yang penyayang.

Apabila bapanya ditangkap di luar negara dan kemudian kembali ke Singapura dan ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), beliau gembira dapat bertemu dengan bapanya lagi menerusi lawatan setiap minggu, lebih-lebih lagi semasa Hari Raya.

"Kali pertama saya berjumpa dengan bapa saya yang berada di dalam penahanan, rasanya janggal. Apabila bapa saya memeluk saya, saya terfikir oh macam ini rasa pelukan seorang ayah.

"Saya berterima kasih masih dapat bersamanya," ujarnya sambil menambah, beliau sering menggalak bapanya fokus pada program pemulihan yang dijalani dan bekerjasama dengan pegawai yang bertanggungjawab supaya dapat cepat dibebaskan dan pulang ke pangkuan keluarga.

Dan apabila ibu dan adik-beradiknya kembali ke tanah air selepas bapanya ditangkap, Encik Abdullah menyifatkannya sebagai hadiah terbesar baginya.

Menurutnya, beliau sekeluarga juga mendapat banyak bantuan daripada badan masyarakat seperti Yayasan Mendaki, AMP Singapura dan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) serta ISD.

"Saya masih ingat selepas Perkhidmatan Negara (NS), saya tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan dan saya meminta bantuan daripada pegawai ISD.

"Mereka membantu saya mendapatkan pinjaman daripada Mendaki untuk membiayai pengajian diploma saya. Saya rasa terhutang budi kepada masyarakat dan oleh itu, saya rasa saya perlu berusaha lebih baik dan... menyumbang semula kepada masyarakat," ujarnya sambil menambah, mereka sekeluarga juga mendapat sokongan emosi dan mental selain kewangan.

Malah, beliau juga rasa berterima kasih kepada ISD dan pemerintah yang terus memberi sokongan kepada bapanya selepas beliau dibebaskan, termasuk mempersiap dirinya untuk kembali bekerja.

Dengan sokongan mereka, Encik Abdullah berkata keluarganya dapat bangkit semula lebih kukuh dan berdikari.

Menganggap penahanan bapanya bukan sebagai hukuman tetapi sebagai peluang kedua, beliau berkata hubungan keluarganya kini lebih erat dan beliau menghargai setiap masa yang mereka luangkan bersama.

Tambahnya, pengalaman ini juga memberinya peluang belajar erti tanggungjawab dan berdikari pada usia yang muda, serta membentuk dirinya hari ini.

"Saya tak mahu melakukan perkara sama yang bapa saya lakukan dahulu dan saya ingin sentiasa berada di sisi anak saya," ujar Encik Abdullah.


"Pada waktu itu, saya rasa takut kerana saya tak tahu bila bapa saya akan pulang dan bagaimana kalau dia ditangkap.
Tapi sepanjang lima hingga enam tahun saya terpisah dengan keluarga, harapan saya adalah agar bapa saya kena tangkap.
Kalau dia melakukan kesalahan, saya rasa dia harus ditangkap awal, jadi kami dapat menangani isu itu dan membantunya. Saya mahu dia ditangkap pihak berkuasa... supaya saya boleh dapatkan bapa saya semula.''

- 'Encik Abdullah' yang ayahnya terlibat dengan Jemaah Islamiyah

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3