Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rewang anak seni demi 'jiwa' teater Melayu

Aktivis pentas guna Geran Individu Bekerja Sendiri bagi program kongsi ilmu seni, 'PertamaSG'
Oct 21, 2021 | 05:30 AM



Tiada keluhan atau rungutan meskipun beberapa acara seni dan pementasan ditunda atau dibatalkan. Sebaliknya, beberapa penggiat seni Singapura memanfaatkan masa terluang sewaktu pandemik ini bagi menimba ilmu penakatan, membangun program dan inisiatif baru melalui permohonan geran yang relevan. BERITA HARIAN melaporkan.



PASANG surut hidup sebagai penggiat seni bebas yang bekerja sendiri sudah diharungi penuh ketabahan.



Dengan pandemik Covid-19 melanda tahun lalu, mereka antara golongan yang terkena tempias wabak yang menjejas sumber pencarian apabila beberapa pementasan terpaksa ditunda atau dibatal.



Namun, aktivis teater Saiful Amri Ahmad Elahi, Dalifah Shahril, Anwar Hadi Ramli dan Suhaili Safari, tidak mengeluh, berlengah atau berpeluk tubuh.



Di sebalik setiap seorang daripada mereka mempunyai pengalaman teater profesional antara 16 dengan 23 tahun, mereka masih dahagakan ilmu dan kemahiran seni agar kekal relevan dalam norma baru.



Selain ingin menyegarkan kembali pengetahuan tentang seni persembahan, mereka juga teruja berkongsi ilmu dengan penggiat teater muda agar dapat 'menggali' lebih naluri generasi pelapis ini sebagai aktivis teater Melayu.



Mereka memohon Geran Individu Bekerja Sendiri (SEP) yang diselaras Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi membangun rangkaian penggiat teater Melayu yang dipanggil PertamaSG.



SEP adalah antara tawaran Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya (ACRP) yang disediakan sewaktu pandemik bagi menangani keperluan segera meliputi peluang pekerjaan dan pemerkasaan kemahiran aktivis seni dan budaya yang bekerja sendiri.



Setelah permohonan geran itu diluluskan sekitar Ogos, PertamaSG mula menggerakkan sesi perkongsian aktivis teater dalam mempelajari semula serta meneroka perkara baru mengenai lakonan teater.



Antara topik yang telah atau bakal dibincangkan termasuk alat pemasaran buat pelakon, ekspresi fizikal dan lontar bebas suara serta identiti, bercerita buat kanak-kanak, menganalisa skrip Melayu, boneka dalam persembahan dan teater masyarakat Melayu.



Mereka yang diundang mencurah ilmu bukan calang-calang - antaranya, ikon teater Melayu, Atin Amat dan Nadiputra, serta legenda teater Inggeris di Singapura, Haresh Sharma (The Necessary Stage) dan R Chandran (Act 3 Theatrics).



Ketika dihubungi Berita Harian melalui Zoom baru-baru ini, Saiful, 43 tahun, berkata:



"Kami berusaha mengumpulkan beberapa penggiat seni bebas Melayu yang bekerja sendiri untuk gerakkan bersama PertamaSG.



"Mereka boleh berkongsi pengalaman dalam bidang tukikan masing-masing. Sambil melatih aktivis lain, mereka boleh raih pendapatan melalui peruntukan geran yang tersedia.



"Misi PertamaSG bukan mengajar atau mendidik tetapi ia adalah wadah mempelajari semula keperluan menggerakkan, menyegarkan dan mewarnai teater Melayu ke tempoh pascapandemik kelak.



"Sebagai penerbit teater, saya dapati kian payah mencari pelakon Melayu dengan jiwa Melayu. Ada ramai pelakon Melayu di Singapura tetapi susah nak dapat golongan dengan naluri kemelayuan yang peka akan identiti mereka sebagai anak pentas Melayu.



"Keperluan ini terasa mendesak, lebih-lebih lagi apabila kumpulan teater bukan Melayu kian mengusahakan pementasan dengan watak Melayu dan isu sosialnya sekali gus."



Suhaili, 35 tahun, pula menambah:



"Naluri Melayu melebihi kefasihan berbahasa Melayu. Bukanlah bermaksud kalau mereka payah berbahasa Melayu, mereka kurang Melayu atau dianggap kecil sebagai pelakon.



"Sebaliknya, mereka harus keluarkan jiwa atau naluri Melayu yang terbenam. Kami ingin bantu menggali naluri yang terkubur ini.



"Misalnya, kalau mereka bersandarkan naskhah Inggeris tetapi membawa watak Melayu... jiwa Melayu mereka itu harus dapat dipapar jelas dan dirasakan penonton melalui tutur kata, gerak geri dan pemahaman terhadap tuntutan watak mereka."



Dalifah, 41 tahun, pula menjelaskan adat dan adab Melayu harus diserap dalam diri sang pelakon bagi benar-benar menghadam naluri Melayu yang dimaksudkan.



"Tiada yang perlu dimalukan untuk bergelar pelakon Melayu. Sebaliknya, kita harus bangga dengan identiti bangsa kita. Ciri-ciri kemelayuan, memahami adab dan adat itulah yang akan mencorak penggiat seni Melayu menjadi insan lebih peka lagi tentang sekitaran seni, penerimaan dan jangkaan penonton," kongsinya.



Menurut Saiful lagi, PertamaSG turut memupuk budaya inklusif dan ingin belajar daripada aktivis seni bukan Melayu.



"Kita mempunyai pakar teater berbilang kaum dengan khazanah ilmu yang boleh kita cungkil dalam mereka memajukan seni pementasan di Singapura," jelasnya.



Dalifah sendiri sudah mula berkongsi pengalamannya menghadiri Pesta Kanak-Kanak Antarabangsa Edinburgh di Scotland secara fizikal pada 2019 dan maya tahun ini.



"Saya kagum dengan cara teater interaktif dihasilkan beberapa kumpulan teater dunia. Bagaimana memancing penonton muda agar meraih pengalaman seni bermakna?



"Malah, antara angan-angan saya adalah mengusulkan untuk membawa kumpulan teater cilik ini ke Singapura selepas pandemik reda. Banyak yang boleh kita pelajari daripada mereka," katanya.



Ditanya mengenai harapannya buat PertamaSG, Anwar, 41 tahun, berkata:



"Saya mengharapkan kesinambungan pada sesi perkasa ilmu dan kemahiran yang diusahakan.



"Dalam situasi pandemik kini, saya tidak cerewet apabila sesetengah pementasan masih dibuat secara hibrid, dalam talian dan di pentas fizikal.



"Asal kita masih mampu berseni, saya bersyukur. Tahun lalu, banyak acara dibatal. Ditunda lebih baik daripada dibatal 100 peratus.



"Moga teater Melayu kita akan terus menghasilkan naskhah dengan identiti Melayu yang hanya kita sahaja mampu pentaskan."



Suhaili turut meraih hikmah daripada pandemik ini apabila berpeluang manfaatkan teknologi dan ceburi cabang seni lain.



"Walau ada projek teater dibatalkan, saya dapat rezeki bikin lagu dan video ringkas semasa pandemik ini. Saya dapat perkembangkan bakat saya di luar skop teater mengikut tuntutan industri seni.



"Daripada mengeluh kerana rasa tertindas oleh pandemik ini, lebih baik kita bersyukur sebab masih ada peluang buat kita yang dahaga mencari rezeki teroka cabang seni lain, anjur program sendiri dan belajar kemahiran baru," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >