PERSATUAN Bola Sepak Singapura (FAS) telah mengumumkan warga Perancis Richard Tardy sebagai ketua jurulatih pasukan belia nasional.
Tardy, 65 tahun akan bekerjasama dengan pengarah teknikal FAS Michel Sablon - yang dilantik April lalu - bagi menyedia dan menerapkan rancangan pembangunan bola sepak setempat.
Beliau juga akan bekerjasama dengan jurulatih belia di Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) bagi melakar program latihan.
Menurut Tardy, belia ghairah bertugas dengan Sablon yag dianggap sebagai salah seorang pengarah teknikal bola sepak terbaik.
"Saya menghargai peluang yang diberikan oleh Michel dan FAS kepada saya bagi berkongsi pengalaman di negara yang berbeza," katanya.
Tardy ialah pemilik lesen kejurulatihan profesional UEFA dan telah menjadi jurulatih sejak lebih dua dekad lalu. Sebelum ke Singapura, beliau memimpin pasukan bawah 17 tahun Rwanda ke Piala Dunia Bawah 17 tahun. Beliau juga berkhidmat 20 tahun dengan Persekutuan Bola Sepak Perancis dan pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Gerard Houllier, yang memimpin pasukan bawah 20 tahun negara itu memenangi Kejohanan Eropah 1996.
Tardy juga pernah menjadi pengurus di Maghribi, Amiriah Arab Bersatu, Greece dan Lubnan.