KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia jatuh ke paras paling rendah dalam masa tiga minggu pada pagi Isnin (14 Disember), sedang sebuah indeks baru China yang menjejaki yuan berbanding sekumpulan mata wang mencetuskan spekulasi kadar tukarannya akan merosot apabila ia beralih daripada dikaitkan dengan dolar Amerika.
Langkah beralih daripada mengaitkan yuan dengan dolar Amerika boleh memberi tekanan ke atas mata wang Asia untuk merosot, sedang penggubal dasar cuba mengekalkan daya saing eksport mereka dengan ekonomi China dengan membenarkan kadar tukaran mereka jatuh, dan mata wang Amerika bertambah kukuh di tengah-tengah ramalan kenaikan kadar faedah Amerika.
Sistem Perdagangan Tukaran Asing China, kendalian bank pusat negara itu, menerbitkan indeks tersebu pada Jumaat. Ia termasuk yuan dan 13 mata wang lain.
Indeks itu dilihat pasaran sebagai langkah Bank Rakyat China untuk membolehkan yuan merosot, sekali gus menjejas beberapa mata wang serantau, kata Encik Andy Ji, seorang ahli strategi Bank Komanwel Australia yang berpangkalan di Singapura.
Ringgit susut 0.7 peratus kepada 4.3230 bagi setiap dolar Amerika pada 10.21 pagi di Kuala Lumpur. Sebelum itu ia merosot ke 4.3325, paling rendah sejak November 20.
Ia juga merosot disebabkan kemerosotan berlarutan minyak mentah Brent.
Ringgit juga lemah berbanding mata wang Singapura, kepada 3.0570 bagi sedolar Singapura pada 10.45 pagi Isnin, berbanding 3.0452 Jumaat lalu. - Bloomberg