Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sambut Tahun Baru 2021 dengan legenda rok

Irama rok dan bangsawan tidak akan mati selagi ada yang meminati. BERITA HARIAN melaporkan sekitar persiapan konsert rok sempena Tahun Baru dan sajian komedi bangsawan di wadah digital - dua acara yang diadakan sebelum dan sesudah Fasa 3 dilancarkan pada 28 Disember ini.
Dec 17, 2020 | 05:30 AM



BAGAI pucuk dicita ulam mendatang.



Setelah lama tidak beraksi di pentas dek kekangan wabak Covid-19, tawaran membuat persembahan di Dewan Konsert Esplanade pada 1 Januari ini mencetus rasa teruja buat dua legenda rok, Yazid Abu Bakar dan Hanafie Warren.



Turut bersyukur dengan lamaran menggegarkan pentas Esplanade bagi persembahan Tahun Baru 2021 selepas Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura dilancarkan adalah roker pelapis Singapura, Eiss.



Esplanade mempersembahkan konsert tiga serangkai selama sejam setengah, Rock 21, mulai 8 malam, dengan Najip Ali dan Era Farida tampil selaku pengacara yang pastinya menghiburkan.



Ketika dihubungi, Yazid, 50-an tahun, yang merupakan vokalis kumpulan legenda Singapura, Lovehunters, berkata:



"Semuanya datang sekelip mata. Saya pun tak sangka apabila isteri yang merupakan pengurus saya mendapat panggilan telefon mengundang saya membuat persembahan di Esplanade.



"Semasa itu, saya sedang berehat di rumah, bersembang dengan anak dan bermain dengan cucu... tahu-tahu ada rezeki menyanyi lagu-lagu rok bersama rakan seperjuangan, Hanafie Warren dan roker muda yang memang saya puji berjiwa rok 100 peratus, Eiss.



"Alhamdulillah, setelah sekian lama kegiatan seni kami buat tontonan awam terhenti kerana Covid-19, kami kembali menghiburkan peminat dengan irama rok nostalgia."



Menurut Yazid, yang dikenali kerana lagu ikonik Sambutlah Kasih (bersama Lovehunters), meskipun masa sebulan yang diberi agak suntuk dari segi latihan, pengalaman berdekad lamanya dalam arena seni membuatnya yakin konsert ini dapat dijayakan dengan baik.



"Pejam celik, hari konsert dah nak dekat. Seram sejuk juga dibuatnya. Orang akan tertanya-tanya, 'Sebulan sahaja nak berlatih... cukup ke?' Orang lain bikin konsert buat persiapan sekurang-kurangnya tiga bulan.



"Namun, bagi saya sudah menjadi perkara biasa sebab saya pernah diminta menyanyi untuk sesebuah acara dengan hanya diberi masa seminggu untuk pilih lagu dan latih vokal.



"Selagi orang masih ingin dengar suara kita, saya sudah cukup bersyukur dan meminta diberi kesihatan dan kelancaran menghidupkan konsert ini bersama Hanafie dan Eiss," katanya.



Secara kebetulan, Lovehunters juga pernah mengadakan konsert Tahun Baru pada 1 Januari 2011 di Esplanade.



Lagu-lagu seperti Sehari Dalam Hidupku, Ku Ukir Namamu, Ku Tetap Menanti dan Teman adalah antara yang disampaikan pada ketika itu.



Ditanya apakah yang membuatkan irama rok tidak mati dan masih digemari ramai, Yazid menjelaskan asas rok itu adalah irama blues sebagaimana asas irama lagu Melayu tradisional adalah paluan gendang.



"Selagi sentuhan blues masih ada, selagi itu rok tidak akan mati. Hip hop pun ada sisipan blues.



"Blues pula adalah ibu segala jenis muzik. Irama rok ini menceritakan sesuatu perjalanan dan ia malar segar dan pastinya menyentuh jiwa sesiapa yang membesar dengan muzik ini," kongsinya.



Hanafie, 66 tahun, yang merupakan vokalis kumpulan The Unwanted, sebuah lagi band legenda Singapura, masih diingati kerana lagu merdu seperti Terperangkap Dalam Sinaran dan Masih Ada Rindu.



Seperti Yazid, beliau juga terharu dapat dilibatkan dalam Rock 21.



Katanya:



"Saya gembira dan bersyukur dapat kembali membuat persembahan buat orang ramai kerana ini yang amat dirindui ramai anak seni pada pasca tempoh Covid-19.



"Muzik rok mendarah daging dalam diri saya. Kebetulan juga, saya datang daripada keluarga yang menceburi bidang muzik.



" Joe Salim daripada kumpulan Matahari dan Wahib Warren daripada Sweet Charity serta Mansor Warren adalah adik-beradik saya.



"Persembahan pada Tahun Baru ini pastinya akan mengembalikan nostalgia - betapa Singapura dahulu ibarat hab muzik band yang berkembang sampai ke Malaysia, Indonesia dan Brunei."



Hanafie akur ada beberapa lagunya khususnya Terperangkap Dalam Sinaran ciptaan Mohd Noor yang pastinya dirindui peminat dan merupakan lagu 'wajib' di setiap acara yang dijayakan.



"Lagu ini memang istimewa kerana ia bertahan lama sebagai santapan halwa telinga ramai sampai hari ini.



"Mudah-mudahan, Rock 21 ini akan menjadi pembuka jalan buat penggiat seni seperti saya membangun semangat kami kembali pada 2021 untuk terus berkarya selepas tempoh suram Covid-19.



"Saya ada rancangan mengusahakan lagu-lagu yang dirakam di Jakarta dengan sentuhan muzik rok Indonesia. Identiti Hanafie Warren masih ada dengan kesegaran muzik Indonesia," katanya.



Eiss, yang nama sebenarnya Iskandar Ismail, 41 tahun, berkata:



"Sejujurnya, saya terharu sebab dipilih untuk menyanyi bersama dua ikon pujaan saya, Abang Hanafie dan Abang Yazid.



"Saya membesar dengan lagu-lagu mereka yang memang malar segar.



"Apabila mereka menghargai dan menerima saya sebagai penerus legasi irama rok, saya dengan rendah hati bersyukur dapat sama-sama memperjuangkan irama ini.



"Sejak masuk Anugerah dan menerima banyak pendedahan menerusi rancangan televisyen dan persembahan di luar, memang rok adalah naluri saya," katanya.



Eiss juga senangi irama rok yang disifatkan mudah 'melekat' di hati ramai kerana panahan nostalgianya.



"Setiap lagu rok pastinya membawa kenangan buat pendengar tentang sesuatu peristiwa. Sebab itu, ia senang dihadam ramai," jelasnya lagi.



Dalam pada itu, tiga penyanyi ini juga akan membawa anda menyusur jalan kenangan rok di samping membawakan lagu-lagu band ikonik Sweet Charity.



Tiket-tiket $30 bagi Rock 21 sudah dijual menerusi laman Sistic semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >