Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sanisah hargai kasih peminat, reda konsert ditunda

Oct 30, 2021 | 05:30 AM



TANGGAL 29 dan 30 Oktober 2021 iaitu semalam dan hari ini memang sekian lama dinanti-nanti biduanita legenda Sanisah Huri.



Ia hari buatnya mengubati rindu terhadap peminat menerusi satu konsert yang sudah lama dirancang dan tertunda, Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa.



Di kala hampir 80 peratus persiapan konsert sudah dibuat, Sanisah, 69 tahun, dan pasukan penerbitan konsertnya, mendapat berita konsert di Esplanade itu terpaksa ditunda.



Ini diselaraskan dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang lebih ketat yang diumumkan untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.



Mentelah pula, dijangkakan sebilangan penonton yang menghadiri konsertnya terdiri daripada warga emas yang lebih terdedah pada risiko jangkitan yang dikhuatiri memudaratkan dek kondisi kesihatan dan daya ketahanan tubuh mereka.



Ketika dihubungi Berita Harian, Sanisah meminta maaf kepada peminatnya kerana tidak dapat meneruskan konsert itu buat masa ini demi keselamatan ramai.



"Saya reda dengan keadaan sekarang di mana gejala Covid-19 membawa pada kes masyarakat yang bertambah terutama sekali dalam kalangan warga emas seperti saya.



"Langkah yang diambil ini adalah demi keselamatan semua. Insya-Allah jika keadaan mengizinkan, saya akan bertemu dengan peminat yang saya rindui."



Penerbit The Esplanade Co Ltd, Cik Hanie Nadia Hamzah, menjelaskan pihaknya berhubung rapat dengan Sanisah dan pasukannya untuk menetapkan tarikh baru konsert ini dalam bulan-bulan mendatang.



"Kami menantikan masa untuk mempersembahkan konsert ini tidak lama lagi dan akan mengumumkannya kepada peminat Sanisah apabila perancangannya sudah diputuskan," katanya.



Pengarah konsert dan penolong peribadi Sanisah, Cik Rusedah Tawahid, menambah:



"Semuanya sudah diatur Allah. Segalanya pasti ada hikmah. Kami memang sudah siap sedia melaksanakan konsert ini demi peminatnya tetapi apakan daya? Kami perlu akur pada ketetapan keselamatan.



"Kak Nisah seorang legenda yang baik hati dan merendah hati. Beliau layak menerima penghormatan sebegini malah prihatin jika peminatnya kecewa kerana konsert tertunda beberapa kali.



"Pernah beliau kata tak payah teruskan sebab awal tahun, saya pula sakit. Namun, saya beritahu kepadanya ini satu amanah. Walau apa pun, saya berharap dapat mengadakan konsert ini secara sempurna buatnya dan peminatnya.



"Cabarannya hanyalah memastikan jadual pemuzik kami dapat disetarakan dengan tarikh konsert baru. Maklumlah, masing-masing seperti pengarah muzik Din Safari serta rakan-rakan lain, Addy Cradle dan Syawal Kassim, sibuk dengan projek muzik lain.



"Saya mohon peminat doakan kesihatan Kak Nisah agar diberi kekuatan dan apabila sampai hari konsert dengan tarikh baru kelak, beliau dapat menyanyikan 23 lagunya sebagaimana dirancang. Harap peminat tak seriklah memberi sokongan sebab konsert tertunda pun dek situasi Covid-19."



Dalam wawancara bersamanya, Sanisah yang awalnya merupakan penari dan akhirnya menyanyi pada usia 15 tahun setelah dipilih penggubah Kassim Masdor untuk menyanyi dalam filem A-Go-Go '67 (iringan band The Terwellos) keluaran Shaw Brothers/Malay Film Production, berkata:



"Apa yang mencabar untuk menyanyi pada usia kini adalah stamina. Kebiasaannya, paling banyak saya akan mendendangkan empat lagu.



"Namun memikirkan 23 lagu yang perlu saya sajikan, terasa besar cabarannya.



"Kalau orang tanya apa rahsia mampu menyanyi pada usia saya kini, saya kata tiada formula khusus. Saya hanya banyak minum air jarang. Dari dulu memang tak suka air manis."



Banyak lagu Sanisah menjadi siulan anak muda generasinya dahulu dan kekal malar segar hingga ke hari ini.



Ini termasuk Siapa Gerangan, Alam Seni, Si Baju Hijau, Cuti Sekolah, Bersabarlah Sayang, Kisah Tuah dan Tijah, Semenjak Berjauhan, Sejak Ku Bertemu Padamu, Gelisah dan Lagu Peribahasa.



Band yang pernah mengiringinya pula adalah The Hooks, Orkes Dendang Perindu dan band Indonesia, Clique Fantastique.



"Sememangnya banyak kenangan manis saya sepanjang bergelar anak seni. Permulaan saya dalam dunia seni suara pula bak satu rezeki. Pada usia 15 tahun, saya terpilih dalam uji bakat dan langsung masuk filem.



"Banyak lagu yang memberi kenangan manis dan saya bersyukur kerana ada lagu yang masih diputar hingga ke tahun 2021 termasuk lagu-lagu Raya saya. Ada juga Lagu Peribahasa yang kaya dengan lirik pengajaran tentang penggunaan peribahasa," kongsinya.



Sanisah dikenali sebagai seseorang yang menghargai peminatnya yang banyak memberinya semangat malah turut menghadiahkannya cendera hati istimewa.



"Saya ingat kali pertama buat konsert di Stadium Merdeka bersama artis rakaman EMI. Saya tak pernah ke Kuala Lumpur. Itulah kenangan yang payah saya lupakan. Ada yang hadiahkan cincin.



"Setelah sekian lama, Alhamdulillah, baru-baru ini sewaktu pandemik, ada juga seorang peminat...namanya Hashimah dari Terengganu yang hadiahkan saya batik Terengganu dan kerja seni sulaman wajah saya dengan tulisan Kau Bintangku sempena lagu saya Aku Bintangmu.



"Saya tidak pernah bertemu dengannya dan terharu sebab katanya, ini yang dihasilkan semasa belajar teknik sulaman di sebuah sekolah jahit," kongsi Sanisah.




"Saya reda dengan keadaan sekarang di mana gejala Covid-19 membawa pada kes masyarakat yang bertambah terutama sekali dalam kalangan warga emas seperti saya. Langkah yang diambil ini adalah demi keselamatan semua. Insya-Allah jika keadaan mengizinkan, saya akan bertemu dengan peminat yang saya rindui."
- Sanisah Huri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >