Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

'KETAGIHAN' TikTok

Sarat kandungan, bukan sekadar bersuka ria dan joget

Oct 21, 2020 | 05:30 AM



MESKIPUN mengakui bahawa wadah media sosial TikTok boleh mencetuskan 'ketagihan', beberapa Generasi Z yang ditemu bual Berita Harian (BH) akur ia turut mendatangkan manfaat kepada pengguna jika digunakan dengan betul.



Malah, TikTok yang popular lebih-lebih lagi dalam kalangan Generasi Z digunakan untuk mengongsi maklumat, meningkatkan kesedaran dan menjadi wadah untuk memasarkan produk bagi sesetengah pengguna.



Menurut Penolong Professor, Dr Elmie Nekmat dari jabatan Perhubungan dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), TikTok bermula sebagai wadah yang amat popular dalam kalangan anak muda yang bersekolah, dan kini, warga dewasa turut menggunakannya secara harian.



Buat masa ini, golongan yang paling terjejas oleh TikTok adalah remaja berusia antara 16 hingga 24 tahun.



"Ia boleh dianggap sebagai 'pendatang baru' dalam pasaran media sosial sekitar 2016 tetapi keupayaannya untuk membuat video menjadi viral telah melebihi aplikasi media sosial sebelumnya.



"Buat masa ini, TikTok telah menjadi wadah nombor satu untuk mendekati dan menyasarkan sebahagian besar pengguna Generasi Z, diikuti pengguna milenial," ujarnya yang juga Anggota Majlis Celik Media (MLC).



Seorang pengguna tegar TikTok, Cik Fatin Nabilah, 23 tahun, mengakui beliau 'ketagih' pada aplikasi itu dan meluangkan sekitar dua jam di aplikasi tersebut setiap hari.



"Saya rasa apabila saya mula lungsuri TikTok, ia sukar untuk saya berhenti," kata pelajar itu.



"Saya rasa sebahagian besarnya disebabkan gaya aplikasi itu dibentuk. Ia mesra pengguna, interaktif, pantas dan mudah digunakan.



"Terdapat berjuta video yang boleh menghiburkan anda dan anda hanya perlu tatal ke atas jika ingin menonton video seterusnya," ujar pelajar itu.



Mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) jurusan psikologi, Cik Nashua Baledram berkata pada mulanya, beliau 'ketagih' kepada TikTok tetapi kini dapat mengawalnya dengan lebih baik.



Ketika ditanya sama ada TikTok positif atau negatif, Cik Nashua, 20 tahun, berkata ia kedua-keduanya.



Sementara ia membuatkan pengguna untuk tidak rasa keseorangan, ia boleh menjadi negatif sekiranya seseorang menggunakannya terlalu banyak sehingga mengabaikan kegiatan harian yang perlu dilakukan.



"Ia boleh memudaratkan sekiranya anda asyik membandingkan diri anda dengan orang lain... kerana ada (pengguna TikTok) yang kelihatan cantik.



"Tetapi anda perlu mengingatkan diri anda bahawa terdapat penapis TikTok yang digunakan untuk membuat seseorang kelihatan lebih cantik berbanding dengan kehidupan sebenar," tambahnya.



Menurut Dr Elmie, seperti wadah media sosial lain, algoritma digunakan di TikTok untuk mempromosikan kandungan yang relevan bagi pengguna tertentu.



Pengguna perlu sedar bahawa penggunaan mereka dijejaki secara automatik dan dimasukkan ke dalam algoritma itu sebaik sahaja mereka membuka aplikasi untuk menggunakannya.



Bagi Encik Muhammad Syahmi Haniss, 21 tahun, sungguhpun beliau meluangkan masa dalam dua hingga tiga jam sehari menonton Tik Tok, beliau berkata beliau tidak rasa 'ketagih'.



Wadah itu digunakan untuk mengisi masa beliau contohnya apabila berehat ketika belajar, atau sebelum beliau tidur kerana kandungan yang dikeluarkan menerusi TikTok "menghiburkan".



"Saya rasa TikTok menambahkan sentuhan berbeza kerana kandungannya agak pelbagai. Saya pernah melihat Tik Tok yang berunsur pendidikan dan ini bertentangan dengan tanggapan orang ramai bahawa Tik Tok hanya menampilkan mereka yang bersuka ria dan berjoget," ujar mahasiswa NUS dalam jurusan kejuruteraan itu.



Menurut Dr Elmie, seperti wadah media sosial lain, TikTok juga boleh digunakan untuk manfaat dan kebaikan sosial.



"Pertubuhan amal boleh menggunakan TikTok untuk meningkatkan kesedaran tentang sesuatu gerakan sosial dan mengumpul derma.



"TikTok juga boleh digunakan sebagai sebahagian daripada strategi kempen sosial yang lebih menyeluruh untuk mendekati golongan lebih muda dalam masyarakat," tambah beliau.



Bagaimanapun, tidak semua golongan Generasi Z mengikut arus TikTok yang sememangnya popular.



Encik Muhammad Zulikram Awalludin, 21 tahun, yang tidak memiliki aplikasi Tik Tok berkata beliau tidak mempunyai minat terhadap aplikasi itu berdasarkan video yang ditonton menerusi wadah tersebut.



Namun, beliau secara kebetulan akan menyaksikan videonya ketika 'membelek' Facebook atau menonton YouTube, yang seringkali juga menjadi saluran di mana video TikTok dimuat naik.



"Saya tidak akan berkata ia (mendatangkan kesan) positif atau negatif.



"Aplikasi itu tidak mempengaruhi pengguna untuk memiliki tempoh tumpuan yang lebih pendek kerana perkara itu sudah berlaku.



"Ia hanya cukup 'bijak' untuk mempergunakan gelombang 'negatif' itu dan meraih keuntungan," ujarnya lagi, yang menyamakan TikTok dengan satu lagi aplikasi media sosial Vine.




"Saya rasa TikTok menambahkan sentuhan berbeza kerana kandungannya agak pelbagai. Saya pernah melihat TikTok yang berunsur pendidikan dan ini bertentangan dengan tanggapan orang ramai bahawa TikTok hanya menampilkan mereka yang bersuka ria dan berjoget."
​- Encik Muhammad Syahmi Haniss, 21 tahun, mahasiswa NUS.



"Saya rasa apabila saya mula lungsuri TikTok, ia sukar untuk saya berhenti... Saya rasa sebahagian besarnya disebabkan gaya aplikasi itu dibentuk. Ia mesra pengguna, interaktif, pantas dan mudah digunakan."
- Pengguna tegar TikTok, Cik Fatin Nabilah, 23 tahun.



"Buat masa ini, TikTok telah menjadi wadah nombor satu untuk mendekati dan menyasarkan sebahagian besar pengguna Generasi Z, diikuti pengguna milenial."
- Penolong Professor, Dr Elmie Nekmat dari jabatan Perhubungan dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS) yang juga Anggota Majlis Celik Media (MLC).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >