Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Selebriti kembali ke sekolah demi ijazah

Suhaimi Yusof, Fauzie Laily dan Ruby Mohd kini ikuti kursus peringkat sarjana muda Media dan Perhubungan di MDIS
Jan 24, 2021 | 05:30 AM



Menteri Pendidikan Lawrence Wong dalam wawancara bersama akhbar 'The Straits Times' baru-baru ini berkata pemerintah kini giat menggalakkan rakyat Singapura agar terus belajar dan mempertingkat kemahiran sepanjang hidup. Dengan skim SkillsFuture dan pembelajaran sepanjang hayat, terdapat peluang mendapat ijazah atau melanjutkan pendidikan sepanjang tempoh pekerjaan. Terdapat banyak laluannya. Antara yang sudah berkerjaya tetapi mengambil peluang melanjutkan pengajian termasuklah golongan selebiriti. BERITA MINGGU mewawancara beberapa personaliti popular setempat yang kini mengikuti pengajian sepenuh masa bagi mendapatkan ijazah selepas bertahun-tahun meninggalkan bangku sekolah.




SELEPAS meninggalkan alam persekolahan kira-kira 18 tahun lalu, penyanyi dan pelakon Fauzie Laily tidak menyangka akan setuju menerima pelawaan bekas "orang kuat Suria" yang kini pensyarah kanan sebuah institusi pengajian tinggi agar dia melanjutkan pengajian bagi mendapatkan ijazah pertamanya.



Fauzie pada November lalu telah diterima menyertai kursus peringkat sarjana muda Media dan Perhubungan di institusi MDIS sebagai mahasiswa sepenuh masa.



Tetapi yang membuat artis berusia 36 tahun itu lebih terkejut ialah apabila mendapati bahawa salah seorang rakan sekuliahnya adalah personaliti yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang hiburan termasuk sebagai hos, pelawak, pengarah dan penerbit - Suhaimi Yusof.



Lebih menggembirakan, mereka juga mendapat tahu bahawa rakan seni seperjuangan, Ruby Mohd (pelakon siri drama 'Soldadu'), yang kini seorang penulis dan penerbit drama, juga diterima untuk menyertai pengajian serupa di kelas yang sama.



Bayangkan keseronokan menjadi rakan sekelas dengan Fauzie, Suhaimi dan Ruby, ditambah lagi dengan kehadiran pensyarah kanan mereka, Encik Fuadi Rahmat, yang pernah menjadi Timbalan Ketua Suria Mediacorp.



WALAU POPULAR, KELAYAKAN TETAP PENTING



Menurut Encik Fuadi, dengan pengalaman luas dalam bidang media, para pelajar matangnya dimasukkan terus ke pengajian tahun ketiga, yang meliputi lima modul dalam tempoh sembilan bulan.



Fauzie, yang mempunyai Diploma Pengkomputeran Internet dari Politeknik Temasek, memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa dia memang telah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran tetapi sering sibuk bekerja.



"Saya sertai industri tanpa apa-apa pengalaman. Selepas Anugerah 2003, saya ditarik untuk melakukan banyak perkara tanpa latihan asas... sebagai hos, pelakon, penyanyi. Tetapi saya lakukannya bersungguh-sungguh kerana minat yang mendalam," kata pelakon yang turut popular di Channel 5 menerusi siri drama 'Code of Law' dan 'Tanglin'.



"Selepas bercakap dengan pensyarah Fuadi, yang saya kenali sejak dia berada di Suria, saya terfikir... walaupun saya mungkin tak perlukan ijazah ketika ini, kelulusan itu boleh meningkatkan nilai suara saya dalam industri. Saya mahu belajar hal-hal belakang tabir dalam penerbitan rancangan.



"Selain itu, keadaan pandemik sekarang seperti memberi saya kejutan... ia mengingatkan saya agar membuat persiapan untuk langkah selanjutnya," kata Fauzie yang bakal muncul dalam drama Channel 8 tidak lama lagi.



PERNAH TERCICIR



Suhaimi, 51 tahun, yang pernah belajar di Maktab Rendah Tampines, pula mendedahkan dia sebenarnya pernah dua kali "tercicir" pengajian tinggi apabila cuba "balik sekolah" sambil bekerja ketika dia masih bertugas sebagai penyiar dan penerbit radio Warna 942.



"Semasa di radio dulu, saya obses dengan kerja sampai tak boleh beri tumpuan kepada pelajaran," katanya yang meninggalkan tugas di radio pada 2001 untuk meneroka bidang lain dalam media termasuk TV. Dia juga memulakan syarikat penerbitan sendiri.



Ruby, 43 tahun, yang pernah 15 tahun hidup di perantauan mengikut suaminya bekerja, mula- mula di Jerman, kemudian Arab Saudi dan Dubai, berkata dia sentiasa mencari peluang meningkatkan pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kursus di luar negara sambil membesarkan tiga anaknya.



"Apabila saya pulang ke Singapura pada 2018, saya mulanya berazam nak jauhkan diri daripada bidang produksi TV demi anak-anak, tetapi peluang demi peluang datang sehingga sukar saya tolak," kata penulis dan penerbit drama khas Hari Raya tahun lalu, 'Tempahan Eid'.



CABARAN KEMBALI KE SEKOLAH



Apakah cabaran kembali ke sekolah, apatah lagi mereka mempunyai rakan sekolah lain yang jauh lebih muda?



Bagi Fauzie, dia akui perlu memaksa dirinya untuk menerima ilmu baru termasuk perkara asas yang telah lama dia tinggalkan atau tidak pernah lakukan. Ini termasuk belajar menggunakan slaid Power Point dan proses menyunting rakaman.



Suhaimi, bapa tiga anak, pula geli hati mengenangkan betapa sebahagian besar "teman sedarjah"nya berusia lebih muda daripada anaknya.



"Kelebihan saya tentulah pengalaman. Saya perlu susun balik cara pemikiran agar pengajian menjadi menarik. Contohnya, apabila diberi tugasan seperti hasilkan dokumentari, saya tak anggapnya sebagai homework, sebaliknya saya jadikannya sebagai cabaran menghasilkan dokumentari untuk memenangi anugerah," kata Suhaimi.



Dia menjadikan kisah Steven Spielberg yang mendapatkan ijazah Sarjana Muda Kesenian dalam Filem dan Media Elektronik pada usia 56 tahun - dengan menjadikan filem-filem box-officenya sebagai bahan kajian, sebagai inspirasi.



"Dulu saya berpegang bahawa kita harus street smart (bijak menerusi pengalaman hidup). Apa yang dilakukan Steven Spielberg membuktikan, jika kita street smart, dikuatkan lagi dengan paper smart (ada kelulusan), kita akan lebih mantap dan meyakinkan," kata Suhaimi.



DR. KOMEDI



Ruby pula mengakui kehadiran dia, Suhaimi dan Fauzie dalam kelas tersebut menambah nilai pengalaman pembelajaran.



"Pelajar muda mempunyai banyak idea baru dan cukup hebat dalam soal media sosial dan teknikal sementara kami bertiga mempunyai pengalaman. Kami saling membantu dan melengkapi," kata Ruby.



Seperti Ruby, Suhaimi tidak melihat ijazah sebagai pengakhiran perjalanan mereka meningkatkan ilmu pengetahuan. Selagi mampu, Suhaimi berkata dia akan berusaha meneruskan langkah sehingga ke falsafah kedoktoran.



"Apabila tiba satu hari nanti... apabila hos kenalkan saya di pentas... dengan kata-kata seperti... hadirin sekelian, terimalah personaliti yang akan membuat Stand-up Comedy, Dr. Suhaimi Yusof! Aduhai... bila ini terjadi... saya pasti steam kodok!" seloroh Suhami, tetapi tetap dengan riak wajah yang bersungguh-sungguh.




"MDIS menyokong negara dalam usaha mendorong pembelajaran sepanjang hayat. Sebagai institusi tanpa keuntungan yang melembagakan pembelajaran sepanjang hayat itu sendiri dalam visinya, MDIS selalu menanamkan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat untuk mempertahankan kemampuan bekerja, ketahanan kerjaya dan kemajuan seseorang. Kami berasa gembira kerana selebriti/individu seperti Suhaimi, Fauzie dan Ruby telah menyahut cabaran untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran akademik mereka dalam mengikuti program ijazah dengan MDIS, agar tetap relevan dalam persekitaran global yang berkembang pesat. Ini bukan sahaja baik bagi mereka bahkan yang lebih penting, mereka merupakan role model yang sangat baik bagi masyarakat dalam menunjukkan bahawa pembelajaran berterusan bermanfaat pada setiap peringkat tangga kerjaya seseorang. Saya doakan yang terbaik untuk usaha mereka di masa hadapan.
- Dr Ahmad Magad, Pengarah Eksekutif MDIS. Dia sendiri memperolehi sarjana pada usia 40-an tahun dan mendapatkan ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) di United Kingdom pada usia 50-an tahun pada tahun 2003.



"Saya menggalakkan Fauzie Laily dan Suhaimi Yusof meneruskan pengajian kerana memang ada peluang untuk mereka dalam pertengahan kerjaya mendapatkan ijazah yang mungkin mereka belum sempat capai sebelum ini. Dengan pengalaman, lebih memudahkan mereka menerima ilmu baru. Mempunyai pelajar matang seperti mereka meningkatkan nilai pembelajaran kerana pengalaman sebenar yang boleh mereka kongsikan. Sambil mereka timba ilmu baru dengan latihan-latihan yang mereka tidak pernah lalui sebelum ini, saya sebagai pensyarah dan rakan-rakan lain belajar mendapatkan perkembangan terkini mengenai industri media."
- Encik Fuadi Rahmat, Pensyarah Kanan Sekolah Media dan Perhubungan yang telah menyertai MDIS sejak 11 tahun lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >