Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:12
Maghrib
7:16
Isyak
8:24

Seni Islam jadi inspirasi artis muda luah kreativiti

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-Z

Seni Islam jadi inspirasi artis muda luah kreativiti

Tania Yasmin gabungkan karya tradisional seperti batik dengan seni kaligrafi Arab
Nov 06, 2021 | 05:30 AM

BELIAU dibesarkan dalam keluarga yang giat dalam bidang seni.

Datuknya seorang pelukis amatur, sementara dua lagi pakciknya turut menceburi bidang lukisan dan karikatur.

Tidak hairan, sejak kecil lagi, Cik Tania Yasmin Mohammed Shaafi, juga berura-ura menceburi seni lukisan apabila dewasa.

Namun beliau hanya menemui bidang seni lukisan yang benar-benar ingin diceburinya sekitar tujuh tahun lalu, semasa menuntut di Sekolah Seni Singapura (Sota).

"Ketika itu saya ingat lagi rakan kelas saya semuanya mempunyai kemahiran masing-masing dalam bidang yang berbeza-beza, contohnya dalam animasi, seni halus atau lukisan.

"Tapi, saya pula masih mencari-cari dan belum menemui bidang seni lukisan yang benar-benar selaras dengan citarasa saya," ujar beliau semasa dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Namun perbualan dengan seorang guru Bahasa Melayu mencetus idea bagi beliau mendalami seni Islam.

"Beliau mendorong saya melakukan sesuatu yang membolehkan saya menggunakan kemahiran saya, iaitu melukis sesuatu yang halus rumit," kata Cik Tania yang kini berusia 25 tahun.

Beliau memilih menghasilkan tulisan kaligrafi Arab dan menggabungkannya dengan seni lukisan batik dan mula membuat kajian sendiri tentang kededua bidang seni itu.

Beliau juga menyertai beberapa kursus berhubung kededua bidang itu, untuk memperhalusi krafnya.

Ini semua dilakukannya semasa memburu ijazah sarjana muda di Universiti Monash di Melbourne, Australia, di mana beliau menceburi jurusan Seni Bina Dalaman.

Hasilnya, ialah karya seni yang menggabungkan corak menarik berunsur Islam yang digabungkan dengan ayat-ayat Al-Quran.

Malah, sebahagian karyanya, yang masing-masing mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan, juga dihiasi dengan kristal Swarovski.

"Menghasilkan kaligrafi arab agak berlainan daripada menulisnya seperti biasa.

"Garisannya harus lurus dan tepat, jadi pada awalnya saya ingat lagi saya disuruh menulis huruf alif lebih 20 kali sebelum saya dapat teruskan dengan huruf-huruf yang lain," katanya lalu tertawa.

"Bagi lukisan batik pula, saya pernah ke Bali untuk mempelajari corak-corak batik yang berbeza dan bagaimana saya dapat menghasilakan corak yang unik.

"Garisan, bunga-bunga dan desain berlainan yang kita sering lihat adalah sesuatu yang saya kini sering gunakan dalam menghasilkan karya saya," katanya lagi.

Dua tahun lalu, Cik Tania memutuskan untuk mengorak langkah berani dan memulakan perniagaannya Tania Yasmin Islamic Art dengan menjual karyanya di dalam talian.

Karyanya kini boleh ditempah menerusi laman web sendiri, dengan harga antara $45 dengan $400, bergantung kepada kerumitan lukisan dan saiz karya yang ditempah.

Malah, baru-baru ini beliau telah memperluas karya yang dijualnya.

Selain menghasilkan lukisan seni Islam, beliau turut menawarkan tasbih eksklusif serta kotak hadiah yang direka khas bagi sambutan acara istimewa seperti hari jadi, hantaran pengantin dan sebagainya.

Namun, beliau tidak sekadar menjual karyanya.

Menurut Cik Tania, beliau juga pernah mendermakan beberapa karya awalnya kepada masjid-masjid setempat, seperti kepada Masjid Al-Falah di Bideford Road, Masjid Al-Islah di Punggol, dan Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road.

Malah, karyanya yang dipamerkan di sebahagian masjid-masjid ini juga telah membantu menarik perhatian pihak awam yang mula mencarinya di wadah dalam talian, di mana beliau aktif berkongsi perjalanan seninya di media sosial

Namun, meskipun beliau menerima sambutan baik daripada masyarakat Melayu Islam bagi karyanya, ada segelintir yang memandang serong terhadapnya kerana menganggap beliau mempergunakan agama bagi keuntungan peribadi.

Malah, ada komen yang dilontar ke arahnya di media sosial yang membuat beliau menitiskan air mata.

"Pada awalnya saya akan menangis kerana mereka tidak dapat menghargai usaha saya," kata beliau, yang berkata beliau kini menganggap semua maklum balas negatif sebagai satu cabaran yang harus diatasi.

Malah, Cik Tania berkata komen-komen tersebut kini mendorongnya untuk terus menyediakan karya seni yang terbaik untuk orang ramai.

"Ia adalah pekerjaan yang merendahkan hati saya dan amat memuaskan apabila saya dapat lihat karya saya dalam rumah pelanggan saya.

"Melalui ini saya berharap kita juga dapat terus memperingati dan meraihkan budaya kita melalui karya-karya seperti ini," katanya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3