Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Seni jadi penawar...

Nov 04, 2021 | 05:30 AM



Seni lukisan menjadi penawar mahupun sumber kebajikan masyarakat buat dua pelukis veteran yang gigih berkongsi unsur kebudayaan Melayu dan Islam dalam kerja seni mereka. Berita Harian melaporkan.



Curahan idea pelukis tentang budaya Melayu



ILHAM berkarya dan menjalankan kerja kebajikan mahupun aktiviti riadah yang bermanfaat mencurah-curah buat pelukis Singapura, Encik Abu Jalal Sarimon.



Pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun lalu malah bagaikan membuka pintu kreativiti lebih luas dan tidak mengurungnya dalam keadaan gelisah atau buntu.



Encik Abu Jalal, 57 tahun, aktif menyiapkan arca tiga dimensi yang sudah 80 peratus siap buat pemaju hartanah swasta terbesar di Singapura, Far East Organization dengan proses tuangan dibuat di China.



Kerana beliau juga menemui hobi baru berbasikal bersama rakannya, Cikgu Karmin Abbas, sudah dirancang di fikiran keinginan berbasikal sambil beramal ke sekeliling Malaysia apabila sempadan dibuka kelak.



Bukan sahaja beliau bertekad mengumpul dana sambil mengayuh basikal tetapi akan berhenti di beberapa tempat untuk mengajar melukis, sementara Cikgu Karmin pula berkongsi panduan menghasilkan puisi dan pantun.



Encik Abu Jalal juga terlibat dalam pameran Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Rewang, yang berlangsung di balai seni Maya Gallery hingga esok.



Yang disajikannya adalah lukisan kanvas nasi ambeng yang dilekapkan pada dulang bulat bertajuk Makan Ambeng Bersama Pengantin Selepas Rewang.



Ketika ditemui di Maya Gallery baru-baru ini, Encik Abu Jalal yang dikenali sebagai pelukis pemikir dengan lukisan menarik berwarna-warni terang, berkata:



"Di sebalik segala ujian pandemik, anak-anak seni tidak harus mudah patah semangat. Jangan resah dan yakinilah rezeki ada di mana-mana asal sahaja kita gigih berusaha dan menebarkan rangkaian kenalan kita.



"Kita harus bakar semangat kita untuk persiapkan diri bagi fasa endemik atau situasi hidup bersama Covid-19 ini. Jangan duduk diam sahaja, terus berkomunikasi dan usahakan sesuatu yang positif bersama sahabat seni lain. Kalau kita saling mendorong dan membantu, segala yang berat menjadi ringan."



Menurutnya, selain menerima tempahan melukis, termasuk daripada orang kenamaan di Brunei, dalam tempoh pandemik ini, beliau turut menitikberatkan kerja amal dan kesihatan.



"Saya dan Cikgu Karmin sudah pun memikirkan tentang rancangan mengayuh sambil beramal di seberang Tambak.



"Alhamdulillah, ada beberapa pihak berminat bekerjasama mengendalikan bengkel lukisan serta puisi dengan kami.



"Projek ini juga menarik minat beberapa rakan bukan sahaja di Malaysia tetapi di Indonesia dan Turkey," jelasnya.



Mengenai penglibatannya dalam pameran Rewang, Encik Abu Jalal terpanggil menyiapkan lukisan nasi ambeng kerana teringatkan zaman bujangnya di kampung menyingsing lengan di majlis kahwin.



Pada ketika itu, sebagai budak remaja yang rewang, beliau dan rakan-rakannya akan dijamu makan nasi ambeng selepas majlis oleh mempelai yang ikut makan sama sebagai penghargaan buat mereka yang menolong di bawah khemah.



"Karya saya ini nostalgik sebab rewang kini menjadi asing dalam budaya kita kerana khidmat katerer dan jamuan bufet tidak lagi memerlukan keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai sama-sama basuh pinggan mangkuk dan gelas.



"Apa yang menarik bagi saya adalah peranan majlis kahwin itu sendiri sebagai ruang untuk individu yang hadir atau rewang sama mencari menantu.



"Mereka akan tinjau budak lelaki ini pemalas atau rajin, budak perempuan ini sopan atau pandai buat kerja rumah, datang rewang cantik dan pulang pun masih rapi ataupun tidak.



"Dalam masa tujuh jam rewang di bawah khemah atau kolong sahaja, sudah timbul hasrat menjodohkan dua individu dan ia sesuatu ke arah kebaikan," katanya.



Kerja seni Encik Abu Jalal yang menunjukkan sajian nasi ambeng pula kelihatan begitu terperinci butiran lauk-pauknya daripada petai, ikan kering, jengkol, begedil, tempe, sambal goreng dan sambal tumis.



"Dulang ini adalah pemberian teman saya, Sani, seorang pemuzik jaz yang sedang belajar melukis daripada saya. Beliau sudah menyimpannya selama 45 tahun dan tidak tahu nak buat apa dengan dulang ini.



"Saya mengolahnya sebagai bahan kerja seni. Seorang pelukis bukan sahaja harus pandai mewarnakan lukisannya tetapi bijak juga mengatur subjek lukisan di mana ikan kering diletak bertentangan dengan ikan goreng agar seimbang.



"Sesuatu yang saya titikberatkan adalah tanggungjawab seorang pelukis. Amanah kami mengkaji tentang sejarah dan budaya, berfikir tentang gagasan dan pengertian lukisan sebelum menyebarnya kepada umum untuk dihadam dan dihayati sebagai satu unsur pendidikan," tambahnya.



Beliau banyak berkongsi tentang perlambangan alam yang diterapkan dalam peribahasa dan budaya Melayu.



Misalnya, mengapa daun sirih yang digunakan dalam perubatan kuno Melayu untuk merawat penyakit seperti cacar air dijadikan bahan penting dalam majlis persandingan serta menjadi lambang mengikat persaudaraan.



"Pengantin akan diberi sirih pinang dan kapur dengan cebisannya untuk digigit. Kalau pengantin perempuan menolak untuk makan, maknanya dia tidak mempersetujui jalinan ini.



"Mengapa ada peribahasa 'kaduk naik junjung' untuk menggambarkan seseorang yang berkedudukan rendah akan sombong apabila berada di atas? Sebab daun sirih adalah daun yang diletak di takhta tertinggi berbanding daun kaduk.



"Pantun 'pisang emas dibawa belayar' pula menggambarkan situasi pisang emas yang akan masak satu persatu membolehkan seseorang memakannya dalam tempoh seminggu pelayaran.



"Ini berbanding pisang berangan yang masak serentak, lantas tidak sesuai dibawa belayar kerana akan busuklah kalau tempoh di laut makan seminggu.



"Ia menampakkan betapa terperinci dan bijaknya orang Melayu dahulu yang kaya bahasa berkias dengan maksud tersirat. Sayangnya kita tak banyak mengarkib lantas banyak ilmu ini yang terhakis begitu sahaja," tambah Encik Abu Jalal.




"Sesuatu yang saya titikberatkan adalah tanggungjawab seorang pelukis. Amanah kami mengkaji tentang sejarah dan budaya, berfikir tentang gagasan dan pengertian lukisan sebelum menyebarnya kepada umum untuk dihadam dan dihayati sebagai satu unsur pendidikan."
- Abu Jalal Sarimon.




Terapi jiwa aktivis seni susuli pemergian isteri, adik



SEPARUH jiwa seni mantan Setiausaha Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Encik Saiman Ismail, bagaikan pergi dan diselubungi kesedihan selepas dua insan penting meninggalkannya.



Satu-satunya adik beliau, Allahyarhamha Kamseh Ismail meninggal dunia sekitar Disember 2019 sebelum badai pandemik Covid-19 melanda.



Lebih setahun selepas itu, pada 15 April lalu, isterinya, Allahyarhamha Latifah Haji Abu Bakar, yang menderita penyakit barah kolorektum yang membawa pada jangkitan hati pula menyusuli.



Sejak dua peristiwa menyayat hati ini dialaminya, Encik Saiman, 69 tahun, terasa kesunyian dan kekosongan yang dikhuatiri membawa pada kemurungan.



Berus lukisannya sudah lama digantung kerana pasang surut emosi yang payah dikawal.



Dalam dirinya yang kini tinggal sendiri sementara anak dan cucu-cucu di kediaman mereka, Encik Saiman gigih mencari penawar buat dirinya kembali teguh.



Tatkala kembali pada zikir dan doa dalam setiap solatnya, beliau meraih kegagahan untuk bangkit semula berkarya dan meneruskan kehidupan kerana enggan tenggelam dalam kemurungan yang membinasakan.



Ketika ditemui di Maya Gallery sempena pameran Rewang, Encik Saiman yang menghasilkan tiga lukisan Terapi Minda 1 hingga 3, berkongsi dengan nada sebak:



"Lukisan saya adalah paparan atau rangkuman perjalanan hidup saya yang perit bak derita dalam tawa.



"Kesukaran hidup, kesempitan wang, berulang-alik ke hospital menjaga isteri, terpaksa lepaskan jawatan Setiausaha Apad untuk tumpukan perhatian pada penjagaan isteri serta situasi tatkala saya diserang penyakit jantung... semuanya adalah asam garam hidup yang saya lukiskan dengan warna-warna murung dan suram pada kanvas.



"Saya jadikan zikir dan doa bagi menguatkan keimanan saya dan membangun minda saya agar saya dapat lalui hidup seorang diri ini dengan cekal dan tidak rasa kesunyian sebab Allah ada bersama saya."



Elemen seperti titik, garis dan ruang serta warna alam mengisi kanvas bagi tiga karyanya.



Ia adalah satu latihan minda ke arah kesejahteraan untuk mengemudi perjalanan hidup semula dengan keyakinan dan secara teratur.



Fungsi mata, daya intelek dan hati itu penting bagi pembangunan.



"Inilah terapi dengan titik, garis dan ruang serta warna alam berinteraksi antara satu sama lain.



"Bagaimana dapat kita menyatukan segalanya dalam keadaan lebih harmoni dan ceria?



"Kalimah dalam bentuk kaligrafi menjadi penenang. Ada sedikit kemurungan pada kerja seni saya ini tetapi ia tidak jelas.



"Apa yang boleh saya katakan, kesejahteraan minda kita ini perlu diisi dengan ilmu yang bermanfaat serta diasah selalu agar ia kekal sihat, jitu dan berharga dari segi nilai. Kalau kita bersedih dan resah, kita kembali pada nilai agama dan kepada-Nya dengan berdoa dan berzikir," tambah Encik Saiman



Beliau menghargai setiap proses perjalanan seninya menjelajah ke Malaysia dan Indonesia bersama mentornya di Apad, Allahyarham Abdul Ghani Abdul Hamid, yang juga pengasas Apad, serta Allahyarham S. Mohdir.



"Mereka banyak memberi saya dorongan dalam berseni dan berpersatuan walau bagaimana payah pun. Sampai ke akhir hayat mereka, nasihat memang tidak putus-putus.



"Saya pula memberi jiwa raga saya pada Apad kadangkala melabur wang sendiri, membeli peralatan melukis dan mengajar anak-anak melukis dalam program Tunas bersama sahabat saya, Encik Abdul Rahman Rais.



"Menguruskan persatuan secara sukarela, baik di Apad atau ketika menjaga kebajikan pemandu teksi sebab itu tugas saya sebelum bersara, adalah kerja yang saya sukai.



"Banyak pengalaman yang saya raih. Ia satu cara saya berbakti kepada masyarakat. Mudah-mudahan selepas ini, saya dapat kuatkan semangat untuk terus berkarya dan berkongsi dengan pelukis generasi muda," tambahnya.




"Lukisan saya adalah paparan atau rangkuman perjalanan hidup saya yang perit bak derita dalam tawa.

Kesukaran hidup, kesempitan wang, berulang-alik ke hospital menjaga isteri, terpaksa lepaskan jawatan Setiausaha Apad untuk tumpukan perhatian pada penjagaan isteri serta situasi tatkala saya diserang penyakit jantung... semuanya adalah asam garam hidup yang saya lukiskan dengan warna-warna murung dan suram pada kanvas.

Saya jadikan zikir dan doa bagi menguatkan keimanan saya dan membangun minda saya agar saya dapat lalui hidup seorang diri ini dengan cekal dan tidak rasa kesunyian sebab Allah ada bersama saya."

- Encik Saiman Ismail.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >