Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bakat remaja Sarah Syazlina tembusi pasaran Indonesia

Mar 31, 2021 | 05:30 AM



APABILA 'single' pertama bintang remaja Singapura, Sarah Syazlina Mohd Darni, Fasa, diterbitkan dua tahun lalu, dia sudah cukup gembira bakatnya dapat ditebarkan selepas tamat adu bakat Juara Mic Junior.



Tidak diduga, kelincahan dan suara mantap Sarah, yang kini berusia 16 tahun, bukan sahaja penglipur lara buat hampir 12,000 pengikutnya di Instagram, tetapi menarik perhatian komposer 'nama besar' di Indonesia, Ilham Baso.



Ilham, yang merupakan enam peserta terbaik Indonesian Idol 2006, merupakan pencipta lagu hit Judika, Bukan Dia Tapi Aku serta lagu Tulang Rusuk dendangan Sammy Simorangkir.



Kerana yakin dengan potensi suara, daya hibur serta keperibadian Sarah yang bersahaja, Ilham mencipta lagu balada cinta Benar Benar Lupa buat gadis kecil molek ini.



Sang komposer juga menjadi bak jambatan yang menghubungkan Sarah, anak sulung tiga beradik, dengan pasaran muzik serta media Indonesia.



Ibu bapa Sarah dihubungkan dengan rangkaian kenalan di Indonesia yang dapat mempromosikan Benar Benar Lupa menerusi wadah digital dan siaran radio.



Ketika dihubungi menerusi Zoom, Sarah akur masih dalam keadaan mimpi apabila bakatnya disunting Ilham hanya di alam maya.



"Sampai ke hari ini, saya pun tak tahu bagaimana Abang Ilham terjumpa saya dan tahu tentang kewujudan akaun Instagram saya.



"Macam tak percaya sebab Abang Ilham pencipta lagu Judika. Judika nama besar dan idola saya. Kemudian, beliau sudi tawarkan saya rakam lagunya pula!" cerita Sarah yang juga pelakon remaja bagi drama terbitan Suria.



Di sebalik segala kesulitan dan cabaran merakamkan lagu Benar Benar Lupa dalam tempoh pandemik Covid-19, segalanya berjalan lancar sebagaimana yang diharapkan.



Video lirik lagu ini malah sudah ditonton 13,000 kali sejak dimuatnaikkan ke YouTube sebulan lalu.



Beberapa pengamat muzik Indonesia juga sempat merakam versi 'cover' lagu ini buat sajian di media sosial, sesuatu yang membangkitkan semangat Sarah, lagunya diterima baik di negara jiran itu.



Menurut Sarah, bahang kehangatan lagu Indonesia, Pura Pura Lupa nyanyian Mahen, diharap dapat berjangkit pada lagunya dengan tajuk yang mirip iaitu Benar Benar Lupa.



"Pura Pura Lupa yang meledak di Indonesia bahkan menjadi sumber ilham Abang Ilham dalam menghasilkan lagu Benar Benar Lupa.



"Proses rakaman lagu ini membuatkan saya teruja tetapi pada masa yang sama bimbang bagi mendapatkan mood dan 'feel'-nya.



"Maklumlah umur saya baru 16 tahun. Bagaimana rasanya orang bercinta dan putus cinta... ia bukan sesuatu yang dapat saya bayangkan sebab tidak pernah melaluinya.



"Justeru, bagi mempersiap diri saya bagi rakaman lagu ini, saya perlu kaji tentang perasaan orang yang patah hati dan putus cinta. Bagaimana sedihnya, kecewanya, 'frust'-nya... semua harus saya sisipkan dalam lagu ini," kongsinya lagi.



Sarah turut menghargai bantuan Ilham yang banyak memberi kata-kata galakan, malah menjadi penghubung buatnya diperkenalkan menerusi wawancara dengan media Indonesia.



Dia akur Indonesia mempunyai ramai bakat dengan pasaran muzik lebih besar dan dinamis. Maka dirinya terharu diberi peluang dan ruang membawa kerja seninya ke sana.



"Inilah kali pertama saya bekerjasama dengan orang di luar Indonesia dan diwawancara media di sana.



"Saya masih lagi belajar selok-belok menyanyi dengan baik, membuat persembahan dan menangani wawancara media. Maka saya selalu minta tunjuk ajar agar saya dapat memperhalusi segala kemahiran saya dalam aspek ini," tambah gadis ceria ini yang turut menjadi antara finalis Suara 2.0 anjuran Wisma Geylang Serai (WGS).



Di ambang Ramadan, Sarah juga teruja dilibatkan dalam dua projek berasingan.



Dia terlibat dalam rakaman rancangan Warna Ramadan di mana dia mengagihkan bubur kepada golongan memerlukan dan mewawancara mereka.



Satu lagi projek adalah rakaman lagu duet Raya bersama teman baiknya, Syah Riszuan.



"Tahun ini memang nak rehat seketika sebab peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'N' tak lama lagi. Tapi ada rezeki dalam bidang seni... saya teruskan sahaja demi pengalaman," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >