Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Cili, tomato ceri, selasih di luar rumah? Seronok orang muda berkebun...

Dec 03, 2020 | 05:30 AM



Sejajar dengan usaha Singapura untuk mencapai matlamat '30 menjelang 30', iaitu untuk menghasilkan 30 peratus makanan tempatan menjelang 2030, terdapat pelbagai inisiatif termasuk untuk membawa pertanian lebih dekat kepada masyarakat. Bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa, malah terdapat juga kesedaran di kalangan sesetengah generasi muda tentang keselamatan makanan Singapura pada masa depan. Malah, ada yang sudah mula untuk menanam sayur-sayuran mereka secara sendiri, walaupun dengan ruang terhad, untuk dijadikan makanan. BERITA HARIAN mengetengahkan dua individu muda yang gemar bercucuk tanam.



SEWAKTU pemutus litar April lalu, pegawai pentadbiran Siti Aishah Ismail mendapati beliau mempunyai lebih masa apabila bekerja di rumah.



Justeru, beliau mula bercucuk tanam sayur-sayuran di koridor luar rumahnya.



Wanita berusia 28 tahun itu telah menanam sayur-sayuran yang beliau boleh makan seperti tomato ceri, bayam, edamame, bok choy merah, mizuna, daun keledek dan selasih.



Kini, beliau sedang menunggu tanaman cili dan roselle beliau untuk tumbuh sepenuhnya.



Bagi Cik Aishah, tanaman yang ditumbuh di rumah telah menjadi sumber tambahan makanan yang dimasak di dapur.



Namun prosesnya memakan masa dan memerlukan kesabaran di samping penjagaan dan pemantauan yang berterusan.



"Saya gembira menanam makanan saya sendiri kerana ia adalah pengalaman amat memuaskan apabila anda dapat memungut hasil tanaman.



"Juga, saya dapat menyaksikan seluruh proses tumbuhan itu daripada biji kecil ke tumbuhan saiz penuh yang mempunyai buah-buahan, yang memberi saya harapan bahawa walaupun prosesnya mungkin memakan masa di samping penuh cabaran - contohnya tumbuhan boleh dijangkiti penyakit atau perosak - semua yang anda mulakan akan akhirnya mendatangkan ganjaran," katanya yang menjadi relawan di taman masyarakat di bawah program Cangkul Zen yang terletak di 10 Winstedt.



Beliau turut menambah bahawa bercucuk tanam adalah baik untuk kesihatan fizikal dan mental memandangkan ia adalah proses yang amat menenangkan.



Cik Aishah bukan seorang, malah terdapat generasi muda lain yang turut melakukan kegiatan menanam ini.



Sejak usia 16 tahun, Cik Nurin Hasha Jubir sudah berjinak-jinak menanam tumbuh-tumbuhan sendiri sebagai cara untuk beliau menangani tekanan yang dihadapi semasa di maktab rendah.



Menurutnya, alam semula jadi itu sendiri adalah suatu yang "terapeutik".



Dalam pada itu, beliau melihat ibu dan neneknya bercucuk tanam sejak beliau kecil lagi.



Kini berusia 19 tahun, Cik Nurin telah menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk timun, labu, kai lan, betik, mangga, tembikai susu dan cili.



"Saya akan selalunya makan buah-buahan dengan ibu bapa saya sewaktu makan malam dan tertanya-tanya sekiranya saya boleh tumbuh bijinya, kemudian saya akan ke taman untuk menanamnya atau mengkaji bagaimana untuk menumbuhkannya," ujar pelajar itu yang melakukan kegiatan tersebut di koridor rumah.



Memandangkan ruang di koridor terhad, dan penduduk di kawasan rumahnya tidak dibenarkan menanam pokok buah-buahan di padang kecil berdekatan rumahnya, pokok buah-buahan Cik Nurin yang seringkali memerlukan ruang luas tidak menghasilkan buah.



Namun sayur-sayuran seperti daun bawang dapat digunakannya.



Beliau, yang pernah melibatkan diri dalam inisiatif Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk menyumbang saranan bagaimana Singapura boleh meningkatkan permintaan bagi hasil tempatan, berkata kegiatan bercucuk tanam mendorongnya untuk guna semula barangan dan mengelak pembaziran makanan seberapa boleh.



Contohnya, botol jus digunakan sebagai bekas siraman dan kadbod karton telur dijadikan tapak semaian untuk menanam anak benih.



Melihat ke hadapan, beliau ingin cuba perkebunan menegak dan memasang taman menegak sendiri di luar rumah menggunakan alat seperti paip buatan sendiri.



"Saya suka berkebun kerana ia mengajar saya kesabaran... saya dapat melihat nilai dalam perkara itu. Ia mengambil masa untuk tanam-tanaman tumbuh.



"Saya akan menggalakkan (generasi muda) melakukannya kerana kegiatan menanam itu sendiri memberikan banyak ruang untuk keprihatinan, renungan, dan rasa terima kasih... ia juga cara yang baik untuk menenangkan diri daripada tekanan," tambahnya.




TIP BERKEBUN DI RUMAH



1. Sebagai permulaan, cari tempat sesuai dalam rumah anda yang mempunyai cahaya matahari cukup.



2. Kitar semula bekas untuk menanam tumbuh-tumbuhan. Sebagai contoh, guna semula bekas telur untuk menanam anak benih bagi tumbuhan besar seperti tomato dan labu air (winter melon). Ini mengurangkan pembaziran dan membuat proses pemindahan ke dalam pasu lebih mudah.



3. Sayur-sayuran dan herba seperti bayam Brazil, Indian borage, pudina, serai, bawang merah dan selasih boleh ditumbuh di rumah menggunakan lebihan tangkai. Tangkai boleh diletakkan dalam air untuk tumbuh akar, dan kemudian dipindahkan ke dalam pasu yang mempunyai tanah. Letakkan pasu itu di tingkap dengan cahaya matahari langsung atau ditapis selama enam jam dalam sehari.



Maklumat dari Lembaga Taman Negara (NParks), ditukil daripada laporan The Straits Times sebelum ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >