Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Siapa Curi?

Jun 12, 2022 | 08:14 AM



"SAYA bukan pencuri! Percayalah! Demi Allah!"



"Kalau engkau bukan pencuri, siapa lagi? Ada orang lain?"



Pemuda tertuduh terkebil-kebil, berwajah bingung.



Berseloroh dia menjawab, "Abang-Abang Haji bertiga bukan orang?"



Menyirap darah ketiga Abang Haji. Rasa hendak disakal kepala pemuda itu. Mereka mengucap panjang.



"Banyak songeh kau ini. Mengaku sajalah. Senang kerja kami."



Abang Haji bertubuh gempal, berjubah dan berkopiah hijau muda, bersuara keras. Silap pandang sama seperti pohon pisang berdiri tegak.



"Haji Surip, tolong periksa beg galas pemuda ini. Entah-entah dia sempat selit dalam saku-saku beg."



Abang Haji yang dipanggil Haji Surip merentap kasar beg galas. Pemuda tersebut berdebuk dan mengerang kesakitan.



Dia sedih melihat tali beg galas yang digunakan bertahun-tahun, putus. Bagaimana hendak dia beli bag galas baru.



"Senohong gelama ikan duri!" suara Haji Surip bergema, tidak setanding dengan tubuhnya yang kecil, berjubah biru air.



Bertaburan segala isi perut beg galas ke permaidani.



Diselak-selak kertas surat khabar ronyok seribu dan beberapa helai T-shirt buruk.



Haji Surip tidak puas hati. Diseluk setiap saku beg dan ditarik dompet usang.



Hanya ada wang kertas bernilai $2 dan kad pengenalan pemuda yang tertuduh.



"Nama sedap, Khairuddin Bin Ali. Kau tinggal di Kebun Bunga? Kenapa engkau berada di Surau Nur, Kebun Langsat. Jauh sungguh engkau berjalan?"



"Hendak mencurilah tu!" sindir Abang Haji, berjubah putih, bertubuh katik.



Pemuda tertuduh, bernama Khairuddin, menelan air liur, melutut mohon dilepaskan atas segala tuduhan.



Diterangkan kenapa dia berada di Kebun Langsat.



Ada seseorang menjanjikan pekerjaan, namun dibohongi.



Penat dia berjalan kaki berbatu-batu seawal subuh. Tiba waktu malam, dia singgah di Surau Nur dengan niat bersolat dan bermalam.



Esok pagi baru berjalan pulang.



Ketiga-tiga Abang Haji menggeleng kepala. Mereka percaya Khairuddin sengaja mengada-adakan cerita. Siapa yang sanggup berjalan berbatu-batu sedangkan ada kemudahan bas dan teksi.



Haji Surip mengangkat peti tabung besi yang disangkut di sebatang tiang suara. Isi peti tabung besi kosong.



Khairuddin meneliti keadaan peti tabung tersebut bak seorang penyiasat. Dia tersenyum.



"Abang-Abang Haji, saya rasa mungkin ada orang lain yang mencuri. Tidak mungkin saya. Saya tidak ada perkakas untuk memecah mangga itu."



Terbeliak besar mata Abang-Abang Haji. Mereka bergilir-gilir membelek-belek peti tabung besi.



Benar sungguh kata Khairuddin.



Untuk memecahkan mangga yang keras memerlukan tukul, sedangkan, tidak terjumpa sebarang perkakas dalam beg galas Khairuddin.



"Abang-Abang Haji perlu berhati-hati pegang peti itu, nanti Abang-Abang Haji pula yang kena tuduh."



Abang-Abang Haji bertanya kenapa serentak.



"Kalau perkara ini dilaporkan ke pihak polis dan cap jari Abang-Abang Haji terdapat di permukaan peti itu, sudah lain ceritanya...."



Belum habis ayat Khairuddin, peti tabung besi berdenting jatuh.



"Kalau bukan engkau yang mencuri, bagaimana duit tabung hilang?"



Abang Haji berjubah hijau bersuara kuat.



Mereka berempat termenung. Masing-masing memerhati sesama sendiri. Abang Haji berjubah putih melihat sahabat berjubah hijau, dari atas ke bawah.



"Bukankah Haji Harun jurukutip wang derma. Takkan tidak sedar duit tabung hilang?"



"Manalah saya tahu. Saya baru pulang bercuti dari Australia. Awak, Haji Kamil dan Haji Surip yang menjaga surau ini selama saya bercuti."



"Banyak duit Haji sehingga bercuti ke Australia?"



"Anak saya yang bekerja di sana mempelawa saya dan isteri. Nanti... Awak tuduh sayakah?"



"Tidak. Mana ada saya menuduh Abang Haji? Saya hanya cakap banyak duit Abang Haji sehingga dapat ke Australia. Terasakah?"



"Siapa makan cili, rasa pedasnya!" sindir Haji Surip.



"Saya dan isteri pergi ke sana menggunakan duit simpanan kami.



Anak kami ada tokok tambang tiket pergi balik. Haram saya mengambil duit derma. Haram!"



Haji Harun berdegus.



"Yang awak pula Haji Kamil, dengar-dengar beli kereta baru. Banyak duit awak?"



"Itu duit simpan keluarga saya. Kalau nak ambil duit tabung, mana cukup! Jangan pandai-pandai menuding jari!"



Haji Harun tersenyum melihat wajah Haji Kamil merah saga.



Baru rasa bagaimana seseorang dituduh tanpa bukti.



Tidak mungkin Haji Surip sebab Haji Surip terlalu lurus bendul. Dia hanya mengikut arahan saja.



Kalau betul pemuda yang bernama Khairuddin berkata benar, siapa yang berani mencuri wang tabung Surau Nur?



Haji Harun mengambil keputusan untuk melaporkan kepada pihak polis.



"Assalamualaikum. Belum waktu subuh dah ramai?"



Haji Kamil, Haji Surip dan Haji Harun menoleh ke belakang sambil menjawab salam.



Khairuddin turut menjawab sama. Lelaki berpakaian ala-ala hendak ke pejabat, bersalaman mereka berempat.



Dia dimaklumkan ada kecurian duit tabung Surau Nur.



Lelaki tadi tersenyum dan meminta agar mereka semua bawa bertenang dan tidak melaporkan kepada pihak polis.



"Abang-Abang Haji dan kamu, Khairuddin usah risau. Lebih baik kamu semua bersalam-salaman dan mohon maaf. Saya berani mengatakan tidak ada pencuri."



"Apa maksud Tuan Haji Bakri?"



"Abang Haji Harun, sebagai pengutip dan pengira tabung derma, berapa jumlah derma yang ada setiap hari?"



"Adalah kurang lebih $500 gitu, Tuan Haji."



"Kalau turutkan kiraan, malam ini pasti ada beribu sebab sudah lama tidak dikutip dan dikira, betul tidak Abang Haji Harun?"



Haji Harun dan yang lain-lain mengangguk dan khusyuk menghitung jari-jemari.



"Hendak tahu cerita yang sebenar. Walaupun penuh surau ini dengan jemaah, saku mereka kering.



"Mereka hanya memenuhi ruang surau tapi tidak mengisi tabung derma.



"Selama ini wang $500 itu saya yang isi. Setiap kali Abang Haji Harun kutip, kira dan serahkan kepada saya, saya masuk kembali ke dalam tabung. Jadi seolah-olah ada yang menderma selama ini."



"Kenapa Tuan buat begitu?"



"Abang-Abang Haji pun tahu siapa yang membina Suara Nur ini dan apa tujuan beliau.



"Benar dulu para jemaah selalu menderma. Tapi semenjak ekonomi semakin suram, ramai yang tidak berkemampuan.



"Demi kasih sayang akan Surau Nur ini yang mereka sama-sama bina bergotong-royong, mereka tetap hadir berjemaah dan anak-anak mereka tetap hadir kelas bacaan Al-Quran dan Asas Agama tanpa sebarang bayaran.



Saya kitar semula $500 untuk membangkitkan semangat Abang-Abang Haji.



Sepulang dari rumah saudara di seberang, saya hendak ambil semula wang tersebut sebab tidak mahu Abang Haji Harun jadi curiga.



Malangnya anak kunci tabung hilang dan Abang Haji Harun pula bercuti. Sebab itu saya pecahkan mangga."



Khairuddin meloncat bangun dan terus mencium tangan Tuan Haji Bakri.



"Tidak ada kecurian, Tuan?"



"Tidak ada. Kamu bebas pulang selepas kita sama-sama berjemaah subuh nanti.



"Malam nanti kamu mula bertugas menjaga surau ini. Di belakang surau ada sebuah basikal. Kamu ambil buat kenderaan."



Khairuddin senyum lebar dan sujud syukur.



"Abang-Abang Haji semua, saya ucapkan terima kasih atas usaha menjaga kepentingan Surau Nur.



"Usah risau. Jawatan Abang-Abang Haji tetap terjamin. Alhamdulillah saya sudah dapatkan pihak kerajaan dan individu membantu perihal kewangan Surau Nur. Saya tidak perlu lagi kitar wang $500."



Deraian ketawa dan ucapan syukur mengisi ruang Surau Nur.



Peti tabung disimpan di atas rak-rak Al-Quran sebagai kenangan. Haji Surip siap-sedia melaungkan azan subuh.




"Banyak duit Haji sehingga bercuti ke Australia?"

"Anak saya yang bekerja di sana mempelawa saya dan isteri. "Nanti... Awak tuduh sayakah?"

"Tidak. Mana ada saya menuduh Abang Haji? Saya hanya cakap banyak duit Abang Haji sehingga dapat ke Australia. Terasakah?"

"Siapa makan cili, rasa pedasnya!" sindir Haji Surip.

"Saya dan isteri pergi ke sana menggunakan duit simpanan kami.

Anak kami ada tokok tambang tiket pergi balik. Haram saya mengambil duit derma. Haram!"




"Yang awak pula Haji Kamil, dengar-dengar beli kereta baru. Banyak duit awak?"

"Itu duit simpan keluarga saya. Kalau nak ambil duit tabung, mana cukup! Jangan pandai-pandai menuding jari!"




BIODATA PENULIS



PASIDAH Rahmat mula menulis pada awal 1983 dengan cerpen pertama berjudul Salah Sangka yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 20 Februari 1983.



Cerpen bertajuk Yang Sebenarnya... ada dalam himpunan cerpen Terminal Terakhir.



Beliau antara 35 peserta peraduan Mencari Kristal anjuran bersama BH dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang diadakan pada 2016 dan 2019.



Beberapa cerpen tersiar di BH dan ruang FB Cukaria. Antara cerpennya ialah Bang Beca terpilih di dalam antologi Gerimis Di Kota Pelangi anjuran Asas '50.



Sebuah lagi cerpen Nasib si Pengantin ada dalam antologi cerpen Cukaria All Star terbitan FIXI dan baru-baru ini cerpen D.A.I.M dalam antologi cerpen, TRI terbitan JS Adiwarna.



Kini mula menulis sajak, syair dan sonian dan masih belajar menulis haiku.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >