Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Simfoni orkestra cetus cinta, semangat baru Aisyah

Bakat SG cipta lagu 'Euphoria' berdasarkan rakaman London Philharmonic Orchestra serta terlibat dalam konsert 30 tahun Orkestra Melayu Singapura
Dec 11, 2021 | 05:30 AM



BETAPA gahnya muzik orkestra yang mengiringi sang penghibur dalam persembahan, dapat dirasakan penyanyi dan penggubah lagu Singapura, Aisyah Aziz, tatkala bersama Orkestra Melayu Singapura (OMS) suatu ketika dahulu.



Justeru, apabila diberi badan amal, Yayasan Seni dan Perusahaan Sosial (The Foundation), tugas khas mencipta lagu yang diinspirasikan daripada karya simfoni yang dicipta komposer Russia, Vladimir Martynov, buat Singapura serta dirakam London Philharmonic Orchestra (LPO), Aisyah, 27 tahun, pastinya teruja.



Maka, terhasillah lagu Euphoria, yang dicipta Aisyah bersama sahabatnya, penggubah bersama dan penyanyi RHAUN dan diterbitkan Adir Kaisan.



Lagu tentang rasa setinggi-tinggi cinta itu dimuatkan dalam inisiatif UTOPIA Reimagined yang dikendalikan oleh The Foundation.



Turut serta dalam projek ini ialah penyanyi jaz Joanna Dong, artis hip hop ShiGGA Shay dan pemuzik Charlie Lim.



Ia adalah sebahagian daripada gerakan 'One Million Towards UTOPIA' yang menggembleng tenaga anak seni, usahawan dan aktivis masyarakat dalam memikirkan semula apa erti kebahagiaan.



Bagi anak seni seperti Aisyah, daya kreatif dan kerja seni itu sendiri penggerak nadi dan penyebar cinta dan kemanusiaan yang mewujudkan rasa gembira.



Selang dua bulan selepas projek ini diperdengar kepada umum pada Rabu ini pula Aisyah akan melibatkan diri dalam persembahan ulang tahun OMS ke-30, Langkah Gergasi, di Dewan Konsert Victoria.



Beliau, antara lain, akan menyampaikan lagu dendangan asal S. Effendy, Seroja.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Aisyah yang dikendalikan menerusi Zoom, baru-baru ini.



SOALAN (S): Ceritakan mengenai 'Euphoria'. Bagaimana ia tercipta?



AISYAH: Saya diberi karya simfoni 40 minit dan diminta memberi takrifan saya mengenai kerja seni ini menerusi ciptaan lagu yang saya usahakan bersama sahabat baik saya, RHAUN.



Sejurus mendengar simfoni tersebut, yang terlintas di fikiran saya adalah frasa 'love is in the air' atau cinta itu di mana-mana.



Projek 'UTOPIA' itu melambangkan ruang fantasi yang penuh kesempurnaan. Kalau saya berada di ruang ini, apa yang boleh saya bayangkan adalah rasa cinta yang meluap-luap. Tenaganya juga menguasai diri kita sehingga kita rasa terlalu bahagia. Itu gambaran 'euphoria'.



Kita ingin sebarkan kasih sayang. Tema dan takrifan cinta itu luas.



Buat satu masa yang agak panjang, saya berada dalam ruang cinta tetapi keresahannya adalah apakah cinta ini akan berpanjangan. Keprihatinan saya adalah perubahan - bagaimana segalanya berubah dalam sekelip mata dan tiada yang akan kekal lama.



Saya enggan disibukkan memikirkan tentang perkara silam walaupun ketika saya menghasilkan lirik bagi lagu ini, saya masih meneroka ruang cinta itu sendiri dan apa yang berlaku kini.



Dalam tempoh pandemik ini, kita banyak belajar tentang manusia. Kadangkala kita lihat budi baiknya, tetapi kadangkala kita lihat dia tidak sebaik yang kita sangka.



S: Apakah yang Aisyah sibuk lakukan sewaktu pandemik ini?



AISYAH: Saya belajar melukis dan saya ambil kursus jurulatih yoga, bukan untuk mengajar orang, tetapi bagi memahirkan diri saya lebih lagi dalam senaman yoga.



Yoga banyak menenangkan saya dan mengajar saya tentang postur tubuh. Saya sudah mengikuti yoga sejak 2018 dan langkah selanjutnya adalah mengambil kursus jurulatih yang memerlukan saya ambil ujian di penghujungnya.



Alhamdulillah, di sebalik segala ujian pandemik, saya bersyukur masih menerima tugasan menyanyikan lagu buat iklan pemerintah yang mendorong pekerja barisan depan, misalnya.



Projek bersama The Foundation ini juga sesuatu yang saya hargai sebab ia membuka dimensi baru dalam saya mencipta lagu.



Lagu ini mempunyai irama 'groovy'. Ia memberi gambaran tentang kebebasan minda dan jiwa. Saya bebas berkata apa atau melakukan apa yang saya suka.



Mengetahui lagu ini mendapat sambutan yang baik di media sosial iaitu lebih 40,000 strim, merupakan satu hadiah buat saya.



Dalam tempoh pandemik, rasanya saya lebih berani meneroka dalam perihal ciptaan lagu.



Saya terasa ibarat saya kembali sebagai anak remaja berusia 16 tahun yang tidak perlu bebani fikiran dengan bermacam perkara.



Saya jatuh cinta semula dengan kehidupan dan gitar yang selalu menemani saya.



S: Bagaimana Aisyah kekal positif?



AISYAH: Sememangnya sukar kekal positif dalam tempoh mencabar. Walau apa pun, kadang kita terjebak juga dengan rasa resah.



Namun, saya tak 'kan bandingkan diri saya dengan orang lain. Saya tak nak wujudkan tekanan sebegitu kalau kemajuan orang lain kita jadikan perbandingan.



Lebih baik saya bandingkan diri saya dahulu dengan sekarang. Hari ini dan semalam tidak sama. Kalau kita gagal, kita cuba lagi. Banyak bersyukur dan jangan lupa nikmat yang Allah beri setiap hari untuk kita bernafas. Jangan fokus pada benda yang kita tidak miliki.



S: Apa perasaan Aisyah dapat buat persembahan bersama OMS?



AISYAH: Saya bermula dengan OMS sebagai penyanyi latar ketika saya masih remaja.



Saya hargai peluang menjadi penyanyi latar dan bekerjasama dengan penghibur hebat seperti Hetty Koes Endang.



Beliau nampak sahaja garang, tetapi tenaganya yang membuatkan kami semua begitu teruja di pentas.



Sewaktu latihan, Bonda Hetty akan datang dengan penuh semangat. Beliau dengar pada orkestra dan suara latar di samping pastikan kami semua dapat bekerjasama dengan padu.



Tiada sikap 'diva' dalam dirinya. Beliau jujur dan ikhlas dalam persembahannya serta menerima kami, anak muda, dengan tangan terbuka.



Saya juga banyak belajar tentang mengharmonikan vokal daripada penglibatan di OMS. Saya mempunyai sahabat sepanjang hayat daripada kumpulan ini.



Walaupun setakat penyanyi latar dengan suara yang masih belum matang, saya belajar tentang kehadiran pentas di mana setiap orang ada peranan tersendiri.



S: Harapan Aisyah buat 2022?



AISYAH: Saya mahu terapkan rasa cinta pada diri sendiri. Usah biarkan diri terabai. Kalau kita tidak menyayangi diri kita sebaiknya, bagaimana ingin menyayangi orang lain sebaiknya?



Saya juga ingin menghasilkan lebih banyak lagu dan mudah-mudahan dapat kembali meneroka semula pasaran Malaysia memandangkan sempadan sudah dibuka.



Saya hadir dengan satu kelainan. Saya ingin wujudkan Aisyah Aziz yang baru, tidak akan memberi tekanan buat diri sendiri dan santai serta yakin dalam perjalanan hidupnya.



Tiada lagi rasa gentar mengenai apa orang lain nak kata. Anggap diri ini masih banyak lagi nak belajar dalam kehidupan dan muzik.



Sejak akhir-akhir ini pun, saya enggan terlalu ketagih dengan telefon bimbit. Kalau tak, setiap dua saat dah tutup Instagram, asyik nak masuk balik dan tengok-tengok.



Sekarang ni, saya dah tak tengok telefon selalu. Selepas muatnaikkan pos, saya letak semula telefon dan buat perkara lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >