Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Skim tukaran kerjaya manfaatkan lebih 4,700 pekerja

Program bantu individu ceburi bidang pertumbuhan atau peranan kerja yang direka semula
Sep 12, 2021 | 05:30 AM



LEBIH 4,700 individu menukar kerjaya kepada pekerjaan baru dalam bidang pertumbuhan atau peranan kerja yang direka semula melalui Program Penukaran Kerjaya (CCP) tahun lalu, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.



Pemerintah kini sedang bekerjasama dengan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk memperkenalkan lagi program tersebut kepada lebih ramai pekerja, tambah Encik Zaqy.



"Terutama sekali mereka yang ingin memasuki sektor teknologi infokom (ICT), perkhidmatan profesional, bahan kimia dan juga penjagaan kesihatan.



"Saya rasa ini antara sektor-sektor yang kian tumbuh hari ini," kata beliau dalam satu sesi wawancara khas mengenai masa depan pekerjaan bersama Berita Minggu (BM).



CCP merangkumi Program Penukaran Profesional (PCP) dan Program bagi Individu Berpangkat Rendah (RnF).



PCP disasarkan kepada karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), termasuk individu pertengahan kerjaya, untuk mempertingkat kemahiran dan menceburi peranan kerja baru dalam bidang pertumbuhan.



Program RnF pula menyediakan latihan dan sokongan gaji untuk membantu individu menimba kemahiran untuk melakukan peranan kerja baru atau dipertingkat.



Dalam wawancara bersama BM itu, Encik Zaqy menyentuh tentang keperluan bagi pekerja terus mempertingkat kemahiran mereka dan syarikat menjalankan transformasi perniagaan dan reka semula pekerjaan, terutamanya di tengah-tengah trend penggunaan teknologi dan automasi yang berleluasa hari ini.



Ini supaya pekerja mereka berkemahiran lebih tinggi dan dapat membangunkan kerjaya yang lebih baik dan maju sementara operasi syarikat pula menjadi lebih cekap dan produktif dengan penggunaan teknologi dan automasi.



Pelbagai skim disediakan pemerintah untuk membantu syarikat dan pekerja melalui transformasi itu dan hasilnya memberangsangkan.



Antaranya, WSG membantu lebih 6,500 pekerja dan 300 majikan daripada sektor seperti hotel, runcit, pengangkutan udara dan perkhidmatan makanan menerusi pelbagai Program Reka Semula Pekerjaan dan Kemahiran Baru tahun lalu.



Selain itu, pemerintah telah memperuntukkan hampir $10 juta bagi dua tahun mendatang untuk mencipta rangka tindakan bagi transformasi pekerjaan dalam syarikat.



Peta Transformasi Pekerjaan itu menyediakan analisis di peringkat pekerjaan tentang bagaimana pekerjaan dan kemahiran akan diubah oleh teknologi dan kuasa lain, seperti automasi, dalam jangka pertengahan.



Peta itu sudah pun siap bagi sektor sumber manusia, logistik dan khidmat kewangan, dan terdapat rancangan untuk 12 lagi sektor, seperti media infokom dan perdagangan borong, yang akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan mendatang.



Usaha ini adalah penting, lebih-lebih lagi dengan kebanyakan syarikat luar negara yang datang melabur di Singapura dan membangunkan ibu pejabat dan operasi mereka di sini merupakan syarikat teknologi atau syarikat yang operasinya lebih maju dan canggih, kata Encik Zaqy.



"Ini memerlukan pekerja yang lebih berkemahiran. Tetapi saya yakin rakyat Singapura kita telah menunjukkan kita dapat menyesuaikan diri dalam apa pun perkembangan ekonomi kita," tambah beliau.



Laporan lanjut: Pekerja, majikan main peranan untuk terus berdaya saing, kekal relevan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >