Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Soal barah dikupas dalam video sembang Teater Ekamatra bersama doktor badan barah

Feb 04, 2021 | 05:30 AM



RASA tidak selesa, malu menjalani ujian mamogram dan ujian pap, dan bermacam salah tanggapan bersarang di kepala tentang penyakit kronik dan kematian.



Itulah antara isu yang akan dibincangkan dalam sebuah video sembang penggiat seni Teater Ekamatra bersama doktor di Klinik Persatuan Barah Singapura (SCS)@Bishan, Dr Rauzanah Afandi.



Video itu akan dimuat naik di laman media sosial syarikat seni persembahan itu hari ini, sempena Hari Barah Sedunia.



SCS menganjurkan sambutan hari ini pada 4 Februari setiap tahun di Singapura.



Inisiatif dunia itu merupakan anjuran Kesatuan Kawalan Barah Antarabangsa (UICC) dalam usaha menyelamatkan jutaan nyawa daripada mati akibat barah, dengan mempertingkat kesedaran dan menambah pendidikan mengenai penyakit kronik itu.



Tema tahun ini ialah I Am and I Will (Saya Sedang dan Saya Akan) bagi menanam iltizam memperkasa diri dengan tindakan yang dapat mengurangkan impak barah yang bertambah hari demi hari.



Teater Ekamatra mewakili sektor seni dalam menyahut cabaran SCS bagi mendekati kaum minoriti.



Terdapat 21 sektor (sejajar ulang tahun ke-21 Hari Barah Sedunia) dalam kempen itu, dengan lima kategori - kesihatan diri, berbual tentang barah, mendapat keterangan tentang barah, sokongan buat seorang pesakit barah, dan menjalani ujian pengesanan barah.



Tiga aktivis seni Teater Ekamatra terlibat dalam projek itu ialah pengarah urusannya, Cik Nurul Shaza Ishak; seniman bersekutu, Cik Ruby Jayaseelan; dan pempengaruh sosial serta Duta Kesejahteraan SCS, Cik Munah Bagharib.



Ketika dihubungi melalui Zoom, Cik Shaza berkata: "Pada awalnya kami menghubungi SCS bagi kerjasama mengenai pementasan yang dirancang, Berak, yang menyentuh tentang barah kanak-kanak.



"Apabila projek itu tidak dapat dipentaskan di sini kerana pandemik (Covid-19), mujurlah ada pintu lain yang terbuka bagi kami bekerjasama dengan SCS bagi cabaran Hari Barah Sedunia.



"Kami tahu ramai tidak selesa berbual tentang barah. Ia dianggap sebagai isu larangan. Melalui sesi sembang kami, kami dapat bertanyakan kepada Dr Rauzanah soalan-soalan yang bermain di fikiran wanita muda generasi saya dan Munah.



"Ada banyak soalan tidak terjawab atau kurang jelas tentang ujian sebegini yang perlu diutarakan. Kami tanya tentang prosedurnya, apakah ujian pap boleh mengesan penyakit jangkitan seksual (STD).



"Segala rasa segan yang membelenggu wanita Melayu dan tanggapan mahupun stigma tentang kaitan ujian pap dengan STD atau gaya hidup seksual aktif dapat kami kupas bagi membantu wanita Melayu memahami tuntutan ujian pengesanan awal barah ini."



Selaku duta, Cik Munah akur banyak inisiatif bagi memupuk kesedaran ramai tentang perlunya menjalani pemeriksaan awal bagi mengekang penyakit daripada merebak.



"Kalau kita lihat statistik tinjauan kesihatan, kadar wanita Melayu yang menjalani ujian pengesanan awal ini memang rendah berbanding kaum lain.



"Kami cuba bantu leraikan rasa takut, segan dan tidak selesa apabila doktor bertanyakan tentang soalan peribadi melalui video kami yang diharapkan dapat dijadikan ruang selamat bersembang dan berbincang," katanya.



Cik Shaza menambah: "Satu pengalaman perit ketika menjalani ujian pengesanan barah atau bertemu dengan doktor yang membuat anda rasa tidak selesa tidak harus dijadikan hambatan menjalani ujian susulan.



"Sebagai wakil sektor seni, Teater Ekamatra berbesar hati dapat menjadi wadah perkongsian dan jentera dalam memupuk kesedaran tentang isu kesihatan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >