Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Sokongan padu masyarakat makmurkan semua kegiatan

Setempat
27
0

MASJID DARUL MAKMUR

Sokongan padu masyarakat makmurkan semua kegiatan

Dec 18, 2020 | 05:30 AM

KEMAKMURAN kegiatan-kegiatan anjuran Masjid Darul Makmur sejak awal penubuhannya hingga tempoh pandemik koronavirus Covid-19 adalah hasil daripada sokongan padu masyarakat.

Menurut Naib Pengerusi Masjid Darul Makmur, Haji Buzari Kayat, 72 tahun, sokongan ini menjadikan Masjid Darul Makmur di kawasan Yishun sebagai masjid buat masyarakat.

Beliau sendiri telah melihat pelbagai jenis sumbangan yang dihulurkan, tidak kira dari segi kewangan, tenaga atau masa, selama beliau menjadi sukarelawan melebihi 30 tahun seawal pembinaan pada 1983, sebelum ia dibuka secara rasmi pada 25 Julai 1987.

Mengimbas pengalaman tatkala masjid baru dibina, beliau berkata bahawa penduduk-penduduk Islam dari kawasan kampung Sembawang seperti Kampong Tanjung Irau dan Kampong Wak Hassan ikhlas memberi sumbangan dana buat pembinaan masjid.

"Penduduk-penduduk kampung sudah menganggap masjid ini sebagai masjid mereka kerana kebanyakannya merancang akan berpindah ke flat HDB di kawasan Yishun apabila kampung mereka dibubarkan.

"Ini mendorong mereka menyumbang dana kepada masjid," kata Haji Buzari.

Apabila Masjid Darul Makmur ditubuhkan, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat bagi acara ceramah dan kelas agama.

"Hampir setiap hari sejak lewat 1980-an, Masjid Darul Makmur ada kegiatan keagamaan dan ramai penceramah serta ulama dalam dan luar negara telah menyampaikan tazkirah buat jemaah masjid.

"Kami juga telah melakukan pelbagai projek mengumpul dana dan pernah mendapatkan khidmat pemain bola sepak Fandi Ahmad dan penyanyi veteran, Rafeah Buang, untuk membantu merancakkan projek pengumpulan dana tersebut," kata Haji Buzari.

Menurut beliau lagi, jabatan belia dan jabatan wanita (kaum Muslimah) masjid itu juga berjaya menarik belia dan kaum Muslimah menyertai dan bergotong-royong dalam semua kegiatan masjid.

Selain itu, Masjid Darul Makmur juga mendekatkan diri dengan jawatankuasa muhibah iaitu jawatankuasa blok yang dibentuk di kawasan-kawasan flat di Yishun dengan tujuan berkongsi dengan penduduk tentang program masjid tatkala masjid dan kawasan perumahan Yishun baru dibangunkan.

Oleh itu, Haji Buzari, bapa lima anak dan enam cucu ini, berasa gembira melihat kemakmuran masjid ini yang mempunyai kakitangan masjid sepenuh masa yang mahir dan menerima ramai jemaah sebelum terjadinya pandemik koronavirus Covid-19.

Kini, Masjid Darul Makmur merancang melakukan kerja-kerja peningkatan seperti meluaskan ruang serbaguna, ruang solat masjid, membina lif dan memperbaiki tandas serta ruang bilik darjah.

Projek peningkatan ini juga akan dapat menampung tambahan anggaran lebih 1,500 jemaah dari ruang yang sedia ada.

"Alhamdulillah, biarpun dalam keadaan Covid-19 ini, kami memohon sokongan masyarakat untuk memberi sumbangan dana secara dalam talian.

"Kami sedar para jemaah mempunyai keinginan untuk datang ke masjid, tetapi kami meminta anda bersabar kerana jumlah jemaah yang boleh hadir ke masjid masih terhad buat masa ini.

"Justeru, kami mengalu-alukan jemaah mengikuti ceramah-ceramah agama yang kami adakan dalam talian," kata Haji Buzari.

Haji Buzari berharap agar Masjid Darul Makmur tetap teguh dengan cogan kata 'Masjid Tanpa Sempadan'.

Ia berharap akan terus menerima sokongan dan sumbangan derma daripada masyarakat termasuk golongan penduduk yang baru menetap di kejiranan Yishun untuk projek peningkatan yang akan dijalankan tidak lama lagi.

Ini agar pihak masjid dapat meneruskan usaha mendekati dan membantu masyarakat melalui wadah program yang mereka usahakan.


“Alhamdulillah, biarpun dalam keadaan Covid-19 ini, kami memohon sokongan masyarakat untuk memberi sumbangan dana secara dalam talian. Kami sedar para jemaah mempunyai keinginan untuk datang ke masjid, tetapi kami meminta anda bersabar kerana jumlah jemaah yang boleh hadir ke masjid masih terhad buat masa ini. Justeru, kami mengalu-alukan jemaah mengikuti ceramah-ceramah agama yang kami adakan dalam talian.’’
– Naib Pengerusi Masjid Darul Makmur, Haji Buzari Kayat .
 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3