Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura, M'sia setuju mulakan rundingan had sempadan maritim

Jawatankuasa akan dibentuk, rundingan dimulakan dalam masa sebulan
Apr 10, 2019 | 05:30 AM



DARI PUTRAJAYA, MALAYSIA: PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura dan Malaysia akan memulakan rundingan bagi menentukan sempadan kelautan dalam tempoh sebulan, sehari selepas kedua-dua negara bersetuju menggantungkan had pelabuhan bertindih.



Sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi memulakan rundingan itu bagi meredakan keadaan di laut.



Perkembangan itu merupakan antara kemajuan yang dicapai semasa Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia Kesembilan antara PM Lee dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, semalam.



Dua negara itu bersetuju menggantung peluasan had pelabuhan bertindih bagi perairan Johor Bahru berdekatan Tanjong Piai dan Had Pelabuhan Singapura berdekatan Tuas.



Penguasa Pelabuhan Kelautan (MPA) juga mengumumkan tidak ada lagi kapal milik kerajaan Malaysia yang berada di kawasan perairan Singapura itu sejak semalam.



"Dengan pelaksanaan itu, kami akan memulakan rundingan bagi menentukan sempadan kelautan dalam tempoh sebulan,'' ujar Encik Lee dalam sidang akhbar bersama Dr Mahathir selepas mereka mengadakan perbincangan di Perdana Putra.



Pertikaian kelautan itu berlaku selepas Malaysia melanjutkan had pelabuhan Johor Baru dalam perairan Singapura dekat Tuas pada 25 Oktober lalu.



Sebagai respons, Singapura juga meluaskan had pelabuhannya dekat Tuas pada 6 Disember selepas kapal Malaysia menceroboh dalam perairan negara ini selama berminggu.



Langkah menggantungkan had pelabuhan bertindih itu merupakan antara lima saranan sebuah kumpulan kerja dua hala yang dibentuk bagi menyemak pertikaian kelautan itu.



Ditanya mengenai isu air pula, Encik Lee menekankan perjanjian air adalah dokumen asas penting bagi Singapura dan Malaysia, dan kededua negara perlu mematuhi syarat-syarat perjanjian itu.



Dalam sidang akhbar itu, Encik Lee juga ditanya wartawan dari Malaysia mengenai pandangan Singapura mengenai permintaan Malaysia untuk menyemak Perjanjian Air 1962 dan berapakah harga air yang munasabah.



Encik Lee berkata beliau faham ia adalah satu keperluan politik bagi Malaysia untuk bertegas agar harga air di bawah Perjanjian Air 1962 itu disemak.



"Saya faham perspektif Dr Mahathir tetapi saya juga meminta beliau dapat melihat perspektif Singapura dan mengapa kita melihatnya sebagai satu yang suci (sacrosanct) atau tidak boleh dipersoalkan. Kita boleh mencari jalan ke hadapan untuk sama-sama berbincang mengenai isu ini secara konstruktif dan saya berharap membolehkan kita dapat mencapai kemajuan,'' kata PM Lee.



Dalam pada itu, PM Lee menyuarakan dua keprihatinan beliau berhubung pencemaran air di Sungai Johor dan mendapatkan hasil air yang berkekalan dalam jangka panjang dari Sungai Johor.



Ini agar Singapura dapat menerima 250 juta galen air yang termaktub di bawah perjanjian air, ujarnya.



"Salah satu perkara yang perlu kita bincangkan ialah keselamatan bekalan air di Johor, termasuk pencemaran dan pencemaran yang menjejas hasil air agar Singapura dapat menerima galen air sebanyak 250 juta seperti yang termaktub dalam perjanjian air.



"Berdasarkan asas itu, para menteri akan berbincang. Jadi, untuk menanyakan saya harga air yang munasabah ialah untuk menghakimi lebih awal soalan itu,'' kata Encik Lee.



Minggu lalu, kerja-kerja air agensi air negara, PUB, di Kota Tinggi perlu ditutup kerana ia didapati mengandungi tahap amonia yang tinggi. Sumber pencemaran itu adalah dari loji minyak kelapa sawit di Sedenak.



"Jika Sungai Johor alami kejadian seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim baru-baru ini, ia akan menjadi satu bencana bagi kedua negara," kata PM Lee.



Dr Mahathir pula mengalu-alukan kesudian Singapura menimbangkan penundaan projek Projek Sistem Gerak Cepat (RTS).



Dalam satu kenyataan bersama, Singapura telah bersetuju mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menggantung Projek RTS itu selama enam bulan bermula 1 April, sejajar dengan penundaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.



Dalam rahat pertama sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kepimpinan Malaysia pada Mei tahun lalu, PM Lee dan Dr Mahathir juga mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama dan mempunyai hubungan dua hala yang melihat ke hadapan.



"Sebagai jiran yang dekat, Singapura dan Malaysia boleh menjangkakan isu untuk timbul dari masa ke semasa.



"Dengan semangat yang konstruktif, kita dapat huraikan masalah itu dan berusaha ke arah hasil yang baik bagi kedua negara," kata PM Lee.



Dr Mahathir berkata hubungan dua negara adalah baik dan mereka sering berbincang bagi menghuraikan masalah.



"Jika kita ada masalah, kita utarakan masalah itu kadangkala secara awam atau privet. Apa yang kita tidak lakukan ialah kita tidak menyarankan masalah itu dihuraikan melalui tindakan yang mengganas seperti berperang dengan Singapura. Ia merupakan satu pencapaian yang baik memandangkan banyak negara lain menghuraikan masalah mereka dengan cara pengganasan,'' tambah Dr Mahathir.



Sementara itu, bagi memperingati tahun Bicentennial Singapura tahun ini, Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah, telah menerima undangan PM Lee untuk menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos ini bagi memperingati tahun Bicentennial.




ANTARA HASIL RAHAT PEMIMPIN S'PURA-M'SIA



  • Bentuk jawatankuasa mulakan rundingan tentukan sempadan kelautan dalam tempoh sebulan

  • Lakar perjanjian bagi tunda Sistem Gerak Cepat (RTS) Singapura-Johor. Tunda RTS selama enam bulan mulai 1 April lalu.

  • Perkenal instrumen Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di Lapangan Terbang Seletar bagi gantikan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang ditarik balik Singapura. Malaysia juga gantung Kawasan Larangan (RA) di Pasir Gudang

  • Bentuk Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi semak aturan udara Surat Perjanjian Operasi (OLA) ditandatangani pada 1974

  • Peguam Negara kedua negara akan bincang kedudukan berbeza dalam isu harga air di bawah perjanjian air 1962

  • Kenal pasti langkah tingkatkan air di Sungai Johor serta lindungi sekitaran dan mutu air

  • Perkenal Kad Kombi oleh Ezy-Link dan Touch 'n' Go yang boleh digunakan di Singapura dan Malaysia. Kad ATM Nets juga boleh digunakan di Malaysia, manakala kad debit MyDebits dapat digunakan di Singapura

Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >