Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:10
Asar
4:26
Maghrib
7:13
Isyak
8:24

Sriwana rai perjuangan 66 tahun di Zoom

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Sriwana rai perjuangan 66 tahun di Zoom

Acara siber turut kenang bakti mantan aktivis, ikon televisyen
Jul 31, 2021 | 05:30 AM

TIDAK semudah itu bertahan selama 66 tahun dalam persada seni Singapura dek perubahan pesat landskap industri kreatif di sini.

Namun, kebingkasan Sriwana sebagai kumpulan seni dan budaya Melayu yang banyak melahirkan nama-nama besar dalam bidang tarian, lakonan dan kebudayaan, wajar dipuji.

Jika tahun lalu dek sekatan keselamatan pandemik Covid-19 yang melanda, sambutan ulang tahun ke-65 kumpulan ini pada 24 Julai tidak dapat diadakan, meraikan ulang tahun ke-66 secara maya menjadi pilihan, baru-baru ini.

Seramai 65 anggota Sriwana ‘berkampung’ dalam talian Zoom.

Cabutan nombor bertuah dan permainan tetap diadakan seperti kebiasaan acara fizikal pada tempoh sebelum pandemik.

Turut diadakan adalah segmen mengenang bakti mantan Presiden dan Penasihat Sriwana, Allahyarham Sulaiman Jeem.

Ucapan khas daripada penaung Sriwana, Encik Amrin Amin serta mantan aktivis Ponisah Bachik, Samsuri Jamari dan Junainah Jumari yang merupakan nama ikonik di televisyen suatu ketika dahulu turut disajikan dalam talian.

Di penghujung acara, mereka menjamu pulut kuning di kediaman masing-masing dan bergambar sama di Zoom.

Ketika dihubungi, Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusof, berkata:

“Acara tempoh hari cukup emosi khususnya buat saya yang menyifatkan setiap sambutan ulang tahun Sriwana, baik secara fizikal atau di ruang maya, sebagai bermakna dan memberi kepuasan peribadi buat setiap anggota.

“Sedang kita beralih dari satu fasa ke fasa lain, tahun demi tahun, dan menggagahi segala cubaan yang terbentang, saya bersyukur kita dapat bertahan dalam satu era seni baru dek dunia pendigitalan.

“Alhamdulillah, nama Sriwana masih ada lagi. Saya bertekad menggalas amanah ini sebaik mungkin dengan mengeratkan silaturahim sesama ahli yang aktif serta mantan ahli seperti Mak Ponisah, Kak Junainah dan Abang Samsuri yang wajahnya dahulu sering keluar di kaca televisyen.”

Menurutnya, tempoh 66 tahun kegiatan Sriwana diteruskan adalah pencapaian yang cukup membanggakan.

Lantas, Cik Fauziah ingin berterima kasih dengan setiap anggota kerana memainkan peranan penting dalam memasyarakatkan seni di samping menebarkan sayap selama enam dekad hingga ke hari ini.

“Bohonglah kalau saya katakan segalanya indah belaka. Kami lalui jatuh bangun tetapi saya bangga untuk mengatakan kami masih berdiri utuh dengan nilai-nilai dan adab Melayu buat generasi mendatang di samping usaha kekal relevan dalam persada seni yang pesat berubah.

“Kami menggandakan usaha penakatan dengan mengemaskinikan laman Internet kami serta membawa kerja seni tari dan drama kami memasuki arus digital.

“Diharapkan akan wujud pustaka sumber mengandungi bahan seni tari dan drama Sriwana buat rujukan penggiat tarian Melayu sekalian.

“Sebagai badan tidak mengaut untung yang berdepan dengan situasi pandemik, Sriwana perlu mengatur semula kedudukannya bagi memastikan penakatan dan daya tahan. Segala khidmat fizikal beralih ke dunia digital.

“Kami berusaha menyesuaikan diri kami dengan perubahan sekeliling secara selesa dan berkesan.

“Mudah-mudahan, legasi Sriwana dapat diteruskan bagi tahun-tahun mendatang dengan memastikan prestasi, nilai dan jati diri terus dipertingkat dan terpahat dalam jiwa semua anggota Sriwana, baru ataupun lama, sebagaimana yang diinginkan kumpulan perintis kami,” tambahnya.

Apabila keadaan wabak Covid-19 reda kelak, Sriwana ingin mementaskan kerja seni gah dan bermakna persis pementasan pada 2015, Mahkota yang disifatkan sebagai usaha meneruskan legasi berakarkan budaya.


"Bohonglah kalau saya katakan segalanya indah belaka.
Kami lalui jatuh bangun tetapi saya bangga untuk mengatakan kami masih berdiri utuh dengan nilai-nilai dan adab Melayu buat generasi mendatang di samping usaha kekal relevan dalam persada seni yang pesat berubah.
Kami menggandakan usaha penakatan dengan mengemaskinikan laman Internet kami serta membawa kerja seni tari dan drama kami memasuki arus digital.
Diharapkan akan wujud pustaka sumber mengandungi bahan seni tari dan drama Sriwana buat rujukan penggiat tarian Melayu sekalian...
Sriwana perlu mengatur semula kedudukannya bagi memastikan penakatan dan daya tahan. Segala khidmat fizikal beralih ke dunia digital."

- Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusof.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3