Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Suara Hati' bintang 'indie' Filipina tembusi pasaran Melayu

Selepas lagu Tagalog, 'Tila' distrim 5.7 juta kali, Clara Benin terjemah lagu cinta ini ke dalam bahasa Indonesia
Oct 08, 2021 | 05:30 AM



SEKITAR 1978, artis dendang rakyat Filipina, Freddie Aguilar, menggegar industri muzik Nusantara dengan lagu Tagalog Anak yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk serupa.



Lagu balada menyentuh kalbu itu cukup terkenal hingga hari ini dan distrim lebih enam juta kali di gedung digital Spotify kerana ia membawa pesanan bermakna, menggesa si anak agar tidak lupakan jasa ibu bapa yang melahirkannya.



Lebih empat dekad selepas industri muzik Melayu dan Indonesia sepi daripada wujudnya bintang Filipina yang menembusi pasaran muziknya, muncul pula idola muzik 'indie' Clara Benin yang menterjemahkan lagu 'hit' Tagalog, Tila, menjadi Suara Hati.



Tila sudah enam tahun tercipta dan distrim lebih 5.7 juta kali (hampir sebanyak Anak) di Spotify dalam masa yang singkat.



Clara, 27 tahun, yang lahir dalam keluarga seni dengan bapanya, Joey Benin, seorang bekas anggota band Side A, berharap Suara Hati juga akan membawanya mendekati lebih ramai pencinta muzik santai Melayu dan Indonesia.



Ikuti wawancara Zoom Berita Harian bersama Clara, lulusan kursus pengurusan perniagaan muzik daripada Kolej Perniagaan, Kesenian dan Teknologi Antarabangsa (Mint) di Manila. Wawancara ini diselaraskan label rakaman Sony Music.



Clara adalah artis Filipina pertama di bawah label rakaman Asia Tenggara, OFFMUTE, daya usaha baru Sony Music dalam memperjuang kerja seni artis baru lagi meningkat naik di rantau ini ke pasaran antarabangsa.



Soalan (S): Apakah yang mencetuskan idea bagi 'Suara Hati'?



Clara: Tila adalah lagu Tagalog ciptaan saya yang mendapat sambutan sangat menggalakkan serta mengenalkan saya dalam pasaran muzik Filipina termasuk dalam kalangan orang Filipina di mana-mana ceruk dunia. Ia lagu yang menenangkan dengan kehalusan irama dan liriknya.



Apabila saya menyertai label OFFMUTE, saya terfikir lagu apa yang harus saya sajikan buat pasaran serantau.



Timbul idea menterjemahkan Tila kepada bahasa Indonesia kerana saya ingin mendekati lebih ramai pencinta muzik.



Saya juga akur kita (orang Filipina, orang Indonesia dan orang Melayu di Singapura, Malaysia dan Brunei) serumpun bangsa dan bahasa Malayo-Polynesian. Ada beberapa perkataan Tagalog yang sama dengan bahasa Melayu atau Indonesia.



Misalnya, perkataan Melayu 'angin'. Dalam bahasa Tagalog, tambah sahaja 'h' menjadi 'hangin'. Maksudnya tetap sama iaitu bayu yang bertiupan.



Tambahan pula, penerbit saya, The Ringmaster, membesar di Indonesia serta fasih berbahasa Indonesia. Beliau banyak membantu saya dari segi sebutan lirik lagu ini.



Saya ingin pastikan saya benar-benar menyebutnya dengan jelas dan ia kedengaran persis orang Indonesia menyanyi agar 'sampai' ke hati pendengar.



Berto Pah, pemain 'sasando' (seperti alat muzik bertali hapsikod) dari Indonesia, juga membantu saya menjiwai aura asli lagu Indonesia.



S: Apa yang dilakukan Clara bagi memahami 'jiwa' lagu Indonesia?



Clara: Saya mendengar beberapa lagu Indonesia yang diperkenalkan The Ringmaster kepada saya. Tapi tak ingat tajuknya.



Saya tak banyak tahu tentang lagu Indonesia tetapi alangkah sejuknya hati saya mendengar lagu-lagu ini. Dengarnya macam bahasa Tagalog tapi bukan. Cuma ada persamaan perkataan.



Walau tak faham bahasanya, lagu Indonesia ini membawa saya terbang jauh ke alam yang begitu indah penuh cinta dan kasih sayang.



Saya juga tekankan tentang cinta ada di mana-mana dalam diri kita dan sekeliling kita menerusi Suara Hati.



Kalau ada kesempatan, saya ingin hasilkan lebih banyak lagu Indonesia atau lagu Melayu.



S: Bagaimana muzik menjadi sebahagian besar daripada hidup anda? Diketahui bahawa bapa anda pernah mencipta lagu 'Clara's Eyes' buat anda yang ketika itu berusia lima tahun bagi Pesta Muzik Metropop 1999. Lagu itu mendapat tempat ketiga dalam pesta itu.



Clara: Bapa saya pemuzik penuh nyala rasa. Hidupnya tidak semudah mana. Selalu bergelut dengan jerih payah bergelar anak seni. Tapi, beliau selalu menasihati saya agar bersabar dan cekal mengharungi kehidupan sebagai penyanyi.



Kami banyak bersembang tentang muzik dalam perjalanan panjang di kereta. Pesannya agar saya jujur dan berani dengan lagu yang saya cipta.



Namun, apa yang buat saya lebih bersemangat menjadi penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi adalah ketika kami balik kampung ibu atau wilayah desa terpencil Bacolod.



Usia saya ketika itu 13 tahun. Tiada televisyen kabel untuk ditonton. Rangkaian Internetnya tersendat-sendat. Dalam kebosanan, saya ambil gitar bapa saya dan mencipta lagu sendiri.



Saya bikin 'cover' di YouTube, masuk Kem Muzik Elements dan dibimbing beberapa nama besar dalam industri muzik Filipina. Melalui persembahan awam di pusat hiburan dan acara 'indie', bakat saya dikesan.



S: Apakah pencapaian terbesar anda?



Clara: Saya teruja dan merendah hati dapat ke pesta muzik sejauh di Korea Selatan dan berkongsi pentas bersama band antarabangsa yang merupakan 'gergasi' muzik.



S: Apakah lagu orang lain yang membawa inspirasi besar dalam hidup anda?



Clara: If You Really Love Me oleh Stevie Wonder kerana liriknya yang menyejukkan hati.



Breathe oleh Michelle Branch. Beliau idola saya dari segi gaya, caranya mengarang lirik lagu serta teknik nyanyiannya. Lagu ini seronok dinyanyikan walaupun anda seorang diri di bilik tidur.



I Wanna Hold Your Hand oleh The Beatles sebab ia lagu yang indah dan bermakna walaupun dengan bait lirik yang senang difahami.



S: Kemahiran yang anda raih sewaktu pandemik?



Clara: Bermain papan lungsur. Saya mempelajarinya daripada teman lelaki saya. Sebenarnya, saya suka duduk di rumah tetapi sewaktu terkurung di rumah kerana Covid-19, saya rindukan suasana luar dan kegiatan yang saya tak dapat bayangkan akan saya buat! Mulalah saya berpapan lungsur dan dekatkan diri dengan alam menghijau.



S: Pernahkah anda kecewa dengan diri sendiri?



Clara: Saya pernah dibelenggu kemurungan. Orang melihat saya sebagai idola. Ia timbulkan tekanan.



Pada akhirnya, saya belajar untuk bertenang, rehatkan diri daripada media sosial, belajar untuk bersyukur dan positif dengan apa yang kita miliki.




LEGENDA 'PINOY' BERSUARA EMAS



FREDDIE AGUILAR



Nama sebenar: Ferdinand Pascual Aguilar
Nama gelaran di Nusantara: Ka Freddie, Abdul Farid



Usia: 68 tahun



Bermula sebagai penyanyi jalanan selepas mempelajari kejuruteraan elektrikal di Institut Teknologi De Guzman separuh jalan.



Dipengaruhi penyanyi dendang rakyat dan roker Barat seperti Cat Stevens dan James Taylor.



Sebelum dikenali kerana lagu patriotik menentang rejim pemerintahan Presiden Marcos pada 1986, beliau menghasilkan album paling laris bertajuk 'Anak' pada 1978.



Lagu Tagalog 'Anak' yang menekankan kepentingan si anak mengenang jasa besar ibu bapanya dan tidak bersikap derhaka diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.



Ia turut diterjemahkan ke dalam 22 bahasa lain, diterima baik di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Angola, Jepun dan Eropah Barat.



Pernah berada di tangga kedua carta muzik dunia pada 1980-an, lapor 'Billboard'.



FREDO FLYBAITS



Nama sebenar: Alfredo Villenguez Valentino
Nama Islam: Mohd Amani Abdullah
Usia: 70 tahun



Penyanyi utama dan pemain bes kumpulan The Flybaits.



'Kenangan Lalu', ciptaan Datuk M. Nasir, mengangkat nama penyanyi ini di persada hiburan Melayu.



Anak saudara bekas pengarah dan konduktor muzik RTM, Alfonso Soliano, ini juga terkenal kerana lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta', 'Kesan', 'Andai Kata Serai Berbunga' dan 'Kasih Berubah'.



'Mengapa Perpisahan Kau Pinta' sudah distrim hampir 50,000 kali di Spotify.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >