Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ANALISIS SENI

Suntik hiburan segar, ubati 'lelah digital'

Sajian digital anak seni harus diteruskan di Fasa 3 sebagai lanjutan kreativiti, corak dunia hiburan baru
Dec 29, 2020 | 05:30 AM



KATA-KATA penuh harapan seperti "Akhirnya, Fasa 3! Tak sabar nak buat persembahan di pentas sekali lagi..." ataupun "Tunggu 2021, kami akan kembali menghiburkan anda..." mengisi ruang siber semalam.



Ia adalah catatan gembira bakat setempat yang sudah lama menggantung mikrofon kerana banyak acara awam yang sepatutnya dijayakan dibatalkan atau ditunda kerana wabak Covid19.



Ya, Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura baru sahaja dimulakan semalam dengan kelonggaran buat sektor seni dari segi bilangan penonton yang boleh menyaksikan persembahan awam.



Ia ditambah hadnya kepada 250 orang bagi sesuatu masa dalam ruang tertutup yang terbahagi kepada lima zon.



Namun di sebalik segala rasa teruja, nampaknya sebilangan bakat Singapura sudah terbiasa dengan menghasilkan rancangan dalam talian mereka sendiri sewaktu tempoh pandemik koronavirus ini.



Cuma sebagaimana yang diluahkan dua penggiat seni, Presiden Orkestra Sri Temasek, Encik Afi Hanafi dan Pengarah Artistik Artistari Gentari, Encik Badarudin Hassan, kebimbangannya adalah timbul pula sindrom yang dipanggil kelelahan digital atau digital fatigue.



Apakah nilai seni itu sendiri akan merosot dan diperlekeh estetikanya kerana di sana sini, dengan mudah kerja seni disajikan dalam format digital yang kadangkala dipertikai mutunya?



"Sudah terlalu banyak rancangan digital di sana sini sampaikan bimbang, apakah orang akan penat menontonnya atau generasi muda yang mesra teknologi maklumat juga akan bosan menyaksikannya?" jelas Encik Badarudin, dalam satu sesi Zoom Berita Harian bersama penggiat seni.



Hasil tinjauan rambang penulis dengan beberapa teman seni menunjukkan antara hikmah yang diraih penggiat seni sewaktu tempoh getir Covid-19 ini adalah keupayaan mengendalikan rancangan digital mereka sendiri.



Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini kerana ramai yang akur tidak begitu mahir dalam hal teknikal dan digital.



Di atas kesediaan ingin belajar, mereka mampu menerbitkannya dengan sambutan peminat juga luar biasa.



Justeru, mereka sebulat suara menyatakan rancangan digital akan menjadi sebahagian dunia hiburan norma baru meskipun persembahan awam dan konsert disambung semula pada 2021.



Penyanyi Hyrul Anuar berkata:



"Saya menyedari perlunya sikap mempelbagaikan bakat dan kemahiran.



"Seni itu sangat luas. Saya masih boleh lagi meningkatkan kemahiran saya dalam menulis skrip atau menjalankan kerja penerbitan.



"Tapi saya juga boleh meneroka dunia digital dengan mencipta pelbagai kandungan agar idea dan kreativiti tetap dapat disalurkan ke wadah perkongsian bersama."



'Lelah Digital' dengan bermacam pilihan program...



Frasa 'kelelahan digital' ini muncul dalam tempoh pandemik apabila ramai yang terperuk di rumah, bekerja, bermesyuarat, bersembang dan berseni menerusi aplikasi Zoom.



Menurut laman Entrepreneur.com, kelelahan digital ini dikenal pasti apabila minda seseorang itu penat dan tidak lagi dapat fokus pada bahan yang disajikan di depan mata.



Terlalu banyak alat atau aplikasi digital dimanfaatkan atau ditonton sehingga timbul kebosanan.



Kadangkala pula, kelelahan digital itu berlaku apabila rancangan yang disiarkan penuh dengan sembang kosong, tiada berarah tuju, terlalu panjang (melepasi tiga jam) dan dirasakan kurang membantu.



Daya menghiburnya menjadi hambar.



Penonton setia rancangan digital yang disajikan bakat setempat, Cik Siti Nasuha Abdul Rahim, 33 tahun, seorang setiausaha, berkata:



"Saya akui terlalu banyak rancangan digital yang dihidangkan bakat Singapura sewaktu Covid-19.



"Ada banyak pilihan daripada 'gig' dalam talian, kisah seram selebriti, dokumentari motivasi, program memasak, bangsawan dalam talian dan macam-macam lagi.



"Sebelum ini, kita bingung memikirkan saluran kabel atau wadah penstriman mana harus kita tonton sampaikan penat dibuatnya kalau rancangannya nampak sama sahaja.



"Bagi saya, kandungan digital harus padat, ada matlamat dan tidak membosankan dengan adanya ruang berinteraksi dengan penonton.



"Kalau pengisi kandungan setakat 'syok sendiri' pun tak boleh. Mereka penerbit. Kami menonton. Nakkan respons baik? Mereka harus pandai memancing perhatian ramai."



Kesan pada kesihatan



Satu rencana majalah Vogue mengenai kelelahan digital menarik perhatian bahawa dalam tempoh ramai terpaut pada program digital, mereka juga mengadu sakit kepala, mata berair dan mengalami ketegangan tengkuk dan bahu.



"Mulalah timbul masalah lain pula. Mood terjejas, daya penghasilan kerja berkurangan dan sistem imun yang mudah dijangkiti penyakit.



"Terlalu banyak membiarkan mata anda menatap skrin telefon atau tablet akan membuatkan anda payah tidur, mudah penat dan kehilangan fokus," ujar pakar aromaterapi dan rawatan muka, Cik Annee de Mamiel dalam rencana tersebut.



Pupuskan rasa jemu



Ada beberapa cara yang boleh dilakukan penyedia kandungan digital bagi mengelakkan kelelahan digital.



Penyanyi dan guru vokal, Nana Karia, antara bakat Singapura yang terawal memulakan sesi nyanyian dalam talian yang dipanggil e-busking.



Beliau menghiburkan peminatnya dengan meminta mereka membuat permintaan lagu mengikut tema mingguan seperti runut bunyi filem ataupun sajian muzik rok.



"Bagi memastikan tiada kelelahan digital buat penonton, saya pastikan ada interaksi langsung dengan mereka. Mereka beri komen spontan, ucap terima kasih, kirim video mereka menari dan menyanyi sama.



"Walau ramai yang terkurung di rumah pada waktu itu, ia meyakinkan saya, peranan saya sebagai penghibur masih boleh diteruskan dari rumah," kata Nana.



Kelelahan digital juga boleh diatasi apabila kisah anak seni atau individu yang dipaparkan boleh mencetus inspirasi dalam tempoh suram.



Program dalam talian yang baik adalah yang memberi galakan dan membakar semangat baru seperti Tabah yang dikendalikan ikon media sosial, Sujimy Mohamad dan isteri, Haslinda Ali.



Unsur eksperimental misalnya yang dikendalikan penggiat muzik tradisional, Encik Md Amin Abdul Rahman, dalam mengubah lagu hit semasa menjadi irama tradisional juga satu lagi usaha menyegarkan.



Lebih istimewa lagi, apabila kerja seni eksperimental beliau ini menggabungkan ramai penggiat seni muzik tradisional, baik muda atau mapan.



Apa yang penting, dalam ramai penggiat seni kita gigih meneroka dunia digital, kesegaran itu mustahak.



Kelelahan digital boleh diatasi asal sahaja kandungan yang mengisi rancangan digital ini adalah yang bervisi dan bermisi menaiktarafkan dunia hiburan Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >