Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Susuri 4 fasa perkembangan Bahasa Melayu di S'pura

Zaman gemilang Bahasa Melayu di Singapura termasuk Fasa Berteraskan Penakatan, Kecekapan, Kebolehan dan Nilai
Nov 01, 2021 | 05:30 AM



Siri Kuliah Cendekiawan Lestari kembali lagi dengan pencerahan oleh pakar bahasa Dr Mohamed Aidil Subhan Mohamed Sulor. Berpengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang pendidik di peringkat sekolah rendah, menengah dan juga institusi pengajian tinggi, Dr Aidil menyampaikan kuliah bertajuk 'Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong'. Ikuti Bahagian Pertama kuliah beliau. Lain-lain wacana bahasa juga boleh didapatkan di laman Yayasan Warisan Melayu di www.mhf.org.sg.



DASAR bahasa di Singapura berpaksikan dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perniagaan dan bahasa ilmu, dan Bahasa Ibunda sebagai bahasa warisan dan nilai.



Dasar dwibahasa ini telah mula terancang semenjak 1956 berdasarkan saranan All-Party Report yang mana setiap bahasa masyarakat majmuk Singapura diajar di sekolah termasuk Bahasa Inggeris.



Walaupun tujuan utama All-Party Report tertumpu kepada pelestarian pembelajaran dan penggunaan Bahasa Cina, ia juga telah menekankan dasar kesamarataan yang mana Bahasa Melayu dan juga Bahasa Tamil tidak diketepikan dalam sistem pendidikan Singapura.



Maka dari sinilah mulanya sistem dwibahasa Singapura yang berbeza daripada sistem dwibahasa yang diguna pakai di negara lain.



Ini disebabkan sistem dwibahasa Singapura menekankan Bahasa Inggeris dan satu lagi Bahasa Ibunda iaitu sama ada Bahasa Cina, Bahasa Melayu ataupun Bahasa Tamil.



Setelah lebih 56 tahun dengan sistem dwibahasa yang fungsional sebegini, Bahasa Melayu semakin berkembang penggunaannya terutama sekali dalam konteks pendidikan, iaitu melalui program yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura.



Namun demikian, Banci Penduduk 2020 pula menunjukkan bahawa peratusan penggunaan Bahasa Melayu semakin menurun di rumah Melayu. Mengapakah ini berlaku?



Kertas ini akan menyelongkar isu perancangan Bahasa Melayu di Singapura dan bagaimana perancangan selanjutnya perlu dilakarkan.



Sebagai permulaan, saya akan menjelaskan sejarah perkembangan perancangan Bahasa Melayu di Singapura dari 1965 hingga kini, dan kemudian akan menjelaskan konsep perancangan bahasa dan perkaitannya dengan perancangan Bahasa Melayu, sebelum berakhir dengan perspektif saya bagaimana lakaran perancangan seterusnya menjelang 2065 boleh dilakukan.



SEJARAH PERANCANGAN BAHASA MELAYU DI SINGAPURA



1. Fasa Berteraskan Penakatan (1965 - 1978)



Untuk melihat bagaimana Bahasa Melayu berkembang di Singapura, kita perlu melihatnya dahulu dari konteks Fasa Pendidikan Singapura yang dilalui sejak 1965 apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia.



Oleh kerana Singapura tiada agensi perancangan bahasa yang khusus, MOE menjadi agensi utama dari segi hala tuju perkembangan sesuatu bahasa termasuk Bahasa Melayu.



Terdapat empat Fasa Pendidikan yang dilalui Singapura setakat ini, iaitu Fasa Berteraskan Penakatan (1965 - 1978), Fasa Berteraskan Kecekapan (1979 - 1991), Fasa Berteraskan Kebolehan (1992 - 2003), dan Fasa Berteraskan Nilai (2004 hingga kini).



Fasa ini saya namakan juga sebagai 'Golden Age' atau zaman kegemilangan Bahasa Melayu di Singapura.



Walaupun Singapura sudah berpisah dengan Malaysia, Bahasa Melayu masih lagi memainkan peranan utamanya, iaitu sebagai bahasa perpaduan, bahasa perdagangan, dan juga bahasa pentadbiran (walaupun pada permulaan sahaja).



Pada fasa ini juga berkembangnya sekolah aliran Melayu di peringkat rendah, menengah dan juga prauniversiti.



Sekolah aliran Melayu yang terkenal pada ketika itu adalah Sekolah Rendah Melayu Pasir Panjang, Sekolah Rendah Tanglin Tinggi, Sekolah Melayu Kota Raja, Sekolah Menengah Yusof Ishak, Sekolah Menengah Sang Nila Utama, Sekolah Menengah Monk's Hill, Sekolah Menengah Tun Seri Lanang, Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim, dan sebuah pusat prauniversiti untuk aliran Melayu di Sekolah Menengah Bartley.



Untuk pengetahuan golongan muda, aliran Melayu bermakna semua subjek dipelajari dalam Bahasa Melayu kecuali subjek Bahasa Inggeris. Pelajar dalam aliran Melayu juga mengambil subjek Sastera Melayu.



2. Fasa Berteraskan Kecekapan (1979 - 1996)



Pada 1978, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Keng Swee telah menyemak semula sistem pendidikan Singapura dari aspek penggunaan Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris.



Melalui tinjauan beliau, didapati lulusan sekolah yang memasuki Perkhidmatan Negara tidak menunjukkan kebolehan berbahasa Mandarin yang baik dan Bahasa Inggeris mereka juga masih pada tahap yang belum boleh dibanggakan. Maka beliau memulakan proses menyemak semula sistem pendidikan di Singapura.



Pada tahun tersebut, Laporan Kementerian Pendidikan 1978 atau lebih dikenali sebagai Laporan Goh dikeluarkan dengan beberapa saranan yang merubah sama sekali sistem pendidikan nasional.



Untuk mengatasi masalah kebolehan berbahasa Mandarin dan Inggeris, sistem pengaliran pelajar berdasarkan kemampuan masing-masing diperkenalkan.



Dalam sistem ini, pelajar yang lemah pencapaian akademiknya, disalurkan ke sama ada aliran Lanjutan (Extended) atau Eka bahasa (Monolingual) di sekolah rendah dengan tambahan dua tahun pengajian.



Di sekolah menengah, mereka disalurkan ke aliran Normal (Akademik) atau Normal (Teknikal) dengan tambahan setahun pengajian.



Laporan ini asas kepada Sistem Pendidikan Baru yang dilaksanakan secara keseluruhan pada 1980.



Dalam fasa kedua, iaitu Fasa Berteraskan Kecekapan, penekanan terhadap Bahasa Melayu semakin berkurangan.



Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa luas penggunaan menyedarkan masyarakat Melayu akan kepentingan bahasa tersebut.



Ibu bapa Melayu semakin cenderung menghantar anak mereka ke sekolah aliran Inggeris. Sekolah aliran Melayu semakin kurang disebab kemasukan yang menurun.



Penekanan dalam pendidikan lebih terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dan bahasa ibunda yang lain lebih digunakan sebagai repositori budaya.



Pada 1985, pelajar aliran Melayu diintegrasikan dengan pelajar aliran Inggeris dan dua tahun kemudian, sistem aliran Melayu tidak menjadi sebahagian dari sistem pendidikan di Singapura. Namun, pendidikan Bahasa Melayu dalam sistem baru ini juga memanfaatkan perubahan ini dengan program pengajaran yang berlandaskan kebolehan.



Walaupun pelajar Melayu rata-rata menunjukkan pencapaian tinggi dalam Bahasa Melayu, program aliran berdasarkan kebolehan yang diperkenalkan dapat meningkatkan pencapaian Bahasa Melayu golongan yang mungkin menghadapi masalah mempelajari Bahasa Melayu dan sekali gus memberi motivasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian mereka.



Pada 1986, pembelajaran Bahasa Melayu diperluaskan kepada pelajar bukan Melayu dan tidak mengambil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda melalui program Bahasa Melayu (Khas). Program ini dibuka kepada pelajar pencapaian tinggi sahaja.



Menerusi program ini, dianggarkan bahawa pelajar pencapaian tinggi ini akan lebih memahami Bahasa Melayu dan juga berupaya untuk berurusan dengan jiran Singapura pada masa akan datang.



Sukatan Bahasa Melayu juga dipertingkatkan dengan penubuhan Institut Perkembangan Kurikulum Singapura (CDIS) di mana golongan guru pakar penulis ditempatkan untuk menghasilkan bahan pengajaran Bahasa Melayu yang boleh digunakan bagi setiap program.



Ia juga menghasilkan golongan elit di kalangan tenaga pengajar Bahasa Melayu yang menjadi pemimpin dan penggerak dalam era Sistem Pendidikan Baru.



u3. Fasa Berteraskan Kebolehan (1997 - 2011)



Sistem pengaliran pelajar ini dikemas kini dalam Fasa Berteraskan Kebolehan.



Kebolehan pelajar semakin diperluas dan bukan sahaja tertakluk kepada aspek akademik, malah bidang bukan akademik.



Aspek kesihatan mental dan fizikal diberi tumpuan untuk melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam era globalisasi.



Fasa ini bermula dengan penghasilan Laporan Pembaikan Pendidikan Sekolah Rendah 1991.



Antara sebab reviu ini adalah keperluan penambahan masa untuk pelajar lemah dalam sistem dwibahasa, terutama sekali Bahasa Inggeris - Bahasa Mandarin.



Pelajar yang lemah dalam bahasa dan matematik diberi masa yang lebih untuk mengatasi kelemahan tersebut.



Lebih banyak masa diperuntuk untuk pengajaran Bahasa Inggeris dan nama yang diberi kepada program aliran diperingkat rendah diubah kepada EM1 (Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda pada peringkat bahasa pertama), EM2 (Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda di peringkat bahasa kedua) dan EM3 (Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda diperingkat kebolehan lisan).



Dalam fasa ini juga mulanya konsep Sekolah Berdaya Fikir, Negara Berdaya Saing pada 1997 yang mana pemikiran kritikal dan kreatif dalam konteks pengajaran untuk pemahaman dipentingkan dan bukan sahaja pengajaran untuk pengetahuan. Sistem pendidikan menekankan kepentingan berfikir dan usaha mengajar berfikir menjadi satu teras yang ditekankan bagi setiap subjek.



Dalam kerangka TSLN, inisiatif Kurangkan Pengajaran, Lebihkan Pembelajaran diperkenalkan pada 2005 agar yang dipentingkan bukan sahaja hasil pembelajaran malah juga proses pembelajaran tersebut.



Walaupun sudah tiada lagi sekolah aliran Melayu, penumpuan terhadap Bahasa Melayu semakin meningkat dengan adanya pelbagai inisiatif yang tercetus daripada penubuhan Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu (MLCPRC) pada 2004.



Ini merupakan julung-julung kalinya semakan yang berpusatkan kurikulum dan pedagogi dilaksanakan oleh MOE untuk subjek Bahasa Ibunda.



Sebelum ini, jawatankuasa semakan yang terbentuk bertanggungjawab melihat kesan serta bagaimana mengatasi kelemahan tertentu dari aspek sistem pentadbiran dan perlaksanaan program.



Jawatankuasa semakan ini dimulakan dengan Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Cina (CLCPRC) pada 2004.



Dalam fasa ini juga beberapa perubahan terlaksana terhadap Bahasa Melayu.



Pertama adalah pelaksanaan sebutan baku yang mula diperkenalkan pada 1993 dan diperkukuhkan di setiap peringkat pengajaran dari 1997.



Pembakuan Bahasa Melayu dalam konteks pendidikan di Singapura sebenarnya telah bermula semenjak 1976 apabila MOE menerima penggunaan Sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah dan kemudian menengah dan kemudian institusi pengajian tinggi.



Sebenarnya, kalau hendak difikirkan, pembakuan ini bermula dari 1956 semasa Kongres Bahasa Melayu Ketiga yang diadakan di Singapura. Antara saranan yang diterima kongres adalah peluasan penggunaan tulisan rumi untuk Bahasa Melayu.



Dan kita boleh lihat perkembangan ini dalam Perlembagaan Singapura yang mana Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi adalah yang dalam bentuk rumi.



Saya menyatakan ini kerana pembakuan sesuatu bahasa itu meliputi tulisan, ejaan, tatabahasa, perkamusan dan sebutan.



Selain itu, Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) di Maktab Rendah dan Program Elektif Bahasa Melayu di Sekolah Menengah (EMAS) untuk pelajar yang menunjukkan pencapaian baik dalam Bahasa Melayu dilancarkan pada 2001.



Melalui program ini, pelajar yang terpilih akan diberi pendedahan yang lebih mendalam terhadap sastera dan budaya Melayu di peringkat serantau dan global.



Mereka juga diberi biasiswa tahunan yang akan digunakan untuk bengkel pengayaan dan program serapan ke luar negara.



Dalam fasa ini juga visi dan misi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, iaitu melahirkan insan Arif Budiman direalisasi melalui Laporan MLCPRC 2004.



Arif Budiman - insan yang berilmu dan menyumbang kepada masyarakat, diharap dapat menjadi teras pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam Abad ke-21.



Menerusi visi dan misi ini, diharapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang berlandaskan bahasa, budaya dan sastera akan membina insan yang menyeluruh, iaitu berilmu dan juga menyumbang kembali kepada masyarakatnya dan negara.



u4. Fasa Berteraskan Nilai (2012 - hingga kini)



Pada 2011, Menteri Pendidikan ketika itu, Encik Heng Swee Keat, memperkenalkan fasa baru dalam pendidikan Singapura.



Beliau menamakannya fasa Berpaksikan Pelajar, Berlandaskan Nilai.



Semasa fasa ini, elemen nilai sebagai teras pendidikan ditekankan.



Berlandaskan enam nilai pendidikan dan perwatakan iaitu hormat-menghormati, tanggungjawab, daya bingkas, integriti, sifat penyayang dan harmoni, diharapkan pelajar-pelajar bukan sahaja mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan malah menjadi insan yang prihatin terhadap diri mereka, keluarga, masyarakat dan dunia.



Melalui fasa ini, pengukuhan terhadap program yang sedia ada dilaksanakan.



Antaranya, perluasan program EMAS dan MLEP untuk pelajar yang menunjukkan kemampuan berbahasa yang baik, perluasan kemasukan untuk program M(SP) bagi pelajar bukan Melayu yang berminat mengambil Bahasa Melayu sebagai elektif di peringkat menengah dan subject-based banding yang mana pelajar dikumpul berdasarkan kebolehan berbahasa mereka dan bukan aliran.



Pengukuhan inisiatif ini menunjukkan tekad pemerintah menentukan kelangsungan sistem dwibahasa di Singapura dan mencapai objektif identiti rakyat Singapura yang fasih berbahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda mereka.



Oleh yang demikian, setelah melalui keempat-empat fasa ini, kita dapati bahawa dari segi perancangan Bahasa Melayu dalam pendidikan, banyak yang telah berubah.



Bahasa Melayu dari menjadi bahasa perpaduan dan perantaraan, kini berstatus Bahasa Ibunda dalam kerangka "English-knowing bilingualism" di Singapura.



Namun, banyak inisiatif dan program dilaksanakan oleh pemerintah melalui MOE bagi memupuk perkembangan Bahasa Melayu di kalangan penutur jati dan mereka yang mempunyai minat terhadap Bahasa Melayu.



Konsep utama perancangan bahasa dan kaitan dengan perancangan Bahasa Melayu



Sekarang tiba masanya kita mengetahui dan memahami konsep utama dalam perancangan sesuatu bahasa.



Pertama sekali kita akan mengenal pasti apa yang dimaksudkan dengan perancangan bahasa, kemudian meninjau kepentingan merancang bahasa, dan akhir sekali meneliti perancangan bahasa di Singapura dengan pengkhususan terhadap Bahasa Melayu.



Konsep perancangan bahasa



Perancangan bahasa pada umumnya dinyatakan oleh Cooper (1989) sebagai usaha yang disengajakan untuk mempengaruhi perlakuan individu atau kumpulan dari segi pemerolehan, struktur, atau penentuan fungsi penggunaan sesuatu bahasa.



Kaplan dan Baldauf (1997) bersetuju dengan Cooper, iaitu perancangan bahasa meliputi idea, undang-undang dan peruntukan, kepercayaan serta langkah yang diambil untuk mencapai perubahan yang telah dirancang (atau dirancang untuk diberhentikan) penggunaan bahasa dalam sesebuah masyarakat.



Fishman (1977) pula telah menyatakan dua bahagian penting dalam perancangan bahasa iaitu perancangan status bahasa dan perancangan korpus bahasa.



Beliau menyatakan bahawa perancangan status bahasa melibatkan dasar pemerintah dalam penentuan pilihan bahasa dan fungsi yang diberikan kepada bahasa tersebut.



Ini termasuk juga langkah yang diambil untuk mengimplementasikan dasar bahasa dari segi penguatkuasaan, motivasi dan mempengaruhi penggunaannya.



Perancangan korpus bahasa pula merujuk kepada langkah yang diambil untuk merubah atau memperbaiki bentuk bahasa yang telah dipilih.



Cooper (1989) pula telah mengemas kini dan menambah satu lagi bahagian dalam perancangan bahasa. Bagi Cooper, terdapat tiga bahagian penting dalam perancangan sesuatu bahasa.



Pertama, perancangan status bahasa, kemudian perancangan korpus bahasa, dan yang ketiga perancangan pemerolehan bahasa.



Cooper menjelaskan bahawa perancangan status bahasa adalah domain pemerintah atau golongan berkepentingan, korpus bahasa meliputi beberapa aspek penting dalam binaan bahasa tersebut secara struktural, dan pemerolehan bahasa bahagian perluasan dari segi penggunaan dan strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut.



Kepentingan perancangan bahasa Cooper (1989) menyatakan bahawa perancangan bahasa tidak dilaksanakan atas dasar kepentingan bahasa tersebut, tetapi untuk mencapai objektif nonlinguistik.



Ini bermaksud perancangan bahasa berlaku bukan kerana hendak memperjuangkan atau melestarikan sesuatu bahasa, tetapi atas alasan yang bukan bersifat kebahasaan.



Keperluan perancangan bahasa selalunya dikaitkan dengan elemen kesatuan dan pembangunan sesebuah negara.



Dalam konteks Singapura, sebelum 1965, Bahasa Melayu menjadi bahasa luas penggunaan, bahasa penyatuan dan bahasa ilmu.



Selepas 1965, Bahasa Inggeris mengambil tempat Bahasa Melayu sebagai bahasa luas penggunaan, bahasa penyatuan dan bahasa ilmu.



Secara umumnya, perubahan ini berlaku atas keperluan semasa dan mengambil kira kedudukan Singapura iaitu negara pulau yang tiada sumber alamnya sendiri kecuali sumber manusia.



Untuk keluar daripada kepompong dunia ketiga, pemimpin awal kita mengambil langkah pragmatis dan memilih untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama - bahasa pentadbiran, bahasa pendidikan, bahasa undang-undang dan bahasa luas penggunaan.



Bahasa Melayu walaupun mengekalkan statusnya sebagai Bahasa Kebangsaan (atas sebab sejarah dan geografi) diberi penambahan status sebagai Bahasa Rasmi sama dengan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.



Jika pada tahun 60-an Bahasa Melayu menjadi bahasa penting dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan (DBKK) yang berperanan memajukan dan melestarikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pentadbiran.



Perkara yang sama tidak berlaku pada awal 70-an dengan penutupan DBKK dan gerakan kepada perluasan penggunaan Bahasa Inggeris melalui Sistem Pendidikan Baharu.



Oleh itu, penggunaan Bahasa Inggeris dan dasar dwibahasa menjadi pemangkin kepada kemajuan Singapura dari ekonomi dunia ketiga kepada ekonomi dunia pertama dalam masa 50 tahun.



  • Penulis ialah Pensyarah Kanan, Kurikulum dan Pedagogi di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Bahagian kedua kuliah beliau akan diterbitkan di ruangan Bahasa & Budaya Isnin depan.


 ... melalui keempat-empat fasa ini, kita dapati bahawa dari segi perancangan Bahasa Melayu dalam pendidikan, banyak yang telah berubah.



Bahasa Melayu dari menjadi bahasa perpaduan dan perantaraan, kini berstatus Bahasa Ibunda dalam kerangka "English-knowing bilingualism" di Singapura."
- Dr Mohamed Aidil Subhan Mohamed Sulor. Pensyarah Kanan, Kurikulum dan Pedagogi di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). "




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >