Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN

Syarikat seni cari jalan kreatif cari makan

Kumpulan seni yang bergerak secara kecil-kecilan rasa bahang untuk terus bertahan
Nov 17, 2020 | 05:30 AM



Tempias pandemik Covid-19 terhadap program seni, rutin operasi dan peluang pekerjaan yang disediakan kumpulan seni dan budaya Melayu setempat memang tidak dapat dinafikan. Dalam dialog Zoom anjuran Berita Harian yang disertai Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad dan 10 wakil kumpulan seni minggu lalu, pelbagai keprihatinan diluahkan. Antaranya ialah bagaimana kumpulan seni beroperasi sebagai entiti bisnes serta meraih sokongan badan korporat, penakatan program digital yang membanjiri media sosial serta usaha memanfaatkan geran digital pemerintah. Berita Harian melaporkan di halaman ini dan sebelah.




IBARAT terjun botol bagi mendakap segera kemahiran teknologi digital sebagai sandaran alternatif menyajikan kerja seni dalam tempoh pandemik Covid-19.



Inilah rumusan rasa aktivis seni Teater Kami dan Panggung Digital 1.9, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, 41 tahun, ketika menjelaskan tentang kesan koronavirus kepada kegiatan seninya.



Dalam kesibukan membuat pengubahsuaian dan beralih medium dari panggung fizikal ke YouTube, beliau dan rakan seni seiring jalan, M. Fadlin, 41 tahun, dan Cik Dalifah Shahril, 40 tahun, tidak lupa amanah menarik sama aktivis veteran agar susuri alaf digital bersama mereka.



Lantaran itu, dapat dilihat 'orang lama' Encik Nadiputra dan Encik M. Saffri A. Manaf terlibat aktif dalam pentas radio era baru, Panggung Digital 1.9.



Saranan turut diberi agar pengarah, penulis naskhah dan pengasas Teater Kami, Cik Atin Amat, memindahkan pementasan Ngaco dari Taman Warisan Melayu ke format digital antara 19 dengan 21 November ini. Ngaco dipentaskan dengan sokongan Geran Persembahan dan Promosi Majlis Seni Kebangsaan (NAC)



Pengubahsuaian yang perlu dibuat ini adalah antara perkara yang dikongsi Encik Saiful dalam sesi dialog Zoom bersama badan seni dan budaya anjuran Berita Harian, minggu lalu.



Pelbagai keprihatinan dan usulan turut dibentangkan kepada Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang hadir di sesi ini.



BUAT PENYESUAIN



Selain Encik Saiful, wakil daripada Orkestra Melayu Singapura (OMS), Orkestra Sri Temasek, Sri Warisan Performing Arts, Aras Theater, Artistari Gentari, Sriwana, Teater Ekamatra, Variasi Performing Arts dan Ardwinda, mengemukakan sekilas perjalanan seni mereka dalam tempoh pandemik.



"Teater Kami perlu menunda persembahan kanak-kanak kami, Tepuk Amai-Amai Belalang Kupu-Kupu bagi tempoh setahun dari Mac lalu ke Mac depan. Kami rindu melihat ruang teater kembali terisi seperti dahulu dengan suara ceria kanak-kanak. Mujurlah dengan dana yang diperolehi daripada NAC, kami dapat menunda teater kanak-kanak ini dan mengubah Ngaco menjadi teater digital.



"Sebelum tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19, Cik Atin sebenarnya memanfaatkan sebahagian Geran Pingat Budaya yang beliau terima bagi mengendalikan bengkel buat sekumpulan aktivis baru teater Melayu.



"Beliau berkongsi perjalanannya sebagai pengarah pada awal penglibatannya dalam dunia teater. Peserta diminta mempersembahkan sebahagian penerbitan ikonik Teater Kami seperti Wira Bukit dan Salina.



"Selepas bengkel, peserta diminta menulis naskhah pentas dan membuat persembahan Aku & CB yang disokong Geran Persembahan Digital NAC. Namun, semua ini hanya dapat dilakukan selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan kerana kami perlu bertemu di ruang Blackbox Teater Kami.



"Kami juga mengusahakan penerbitan digital pendidikan seni Teater Kami dengan kerjasama Panggung Digital bagi menjana persembahan dengan format layar hijau. Kami bersyukur dapat 'bernafas' sedikit dengan adanya geran NAC ini," jelas Encik Saiful.



Walaupun kelonggaran diberi bagi kumpulan seni membuat persembahan pada skala kecil sejak 1 November lalu, Teater Kami, jelasnya, tidak terburu-buru bahkan merasakan tidak berbaloi secara ekonomi untuk kembali membuat pementasan di panggung kini.



"Kami hanya mampu menjual tiket bagi 25 peratus daripada ruang tampungan panggung. Syarikat kecil seperti kami tak mampu mengendalikannya di ruang teater yang besar lagi mampu menampung 100 penonton.



"Berbeza dengan syarikat teater besar, Wild Rice Singapore dan Singapore Repertory Theatre yang mampu 'buka panggung' kembali sebab mereka miliki ruang teater itu sendiri lantas tidak perlu peruntukkan bajet bagi menyewa panggung," tambahnya.



LIBATKAN VETERAN



Menyentuh tentang perkembangan Panggung Digital 1.9, beliau berkata, ia akan menyajikan Jenaka Bangsawan - Ratu Sanggilagula dengan sokongan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra), Persatuan Rakyat (PA).



"Apa yang saya pelajari sewaktu pandemik ini adalah kita harus libatkan golongan veteran agar tidak ketinggalan dalam melungsuri arus dunia digital. Aktivis seni perlukan satu sama lain. Kita tidak bekerja sendirian. Justeru, kita perlu mengubah suai diri kita dan bersedia mengubah budaya kerja kita. Sejujurnya, kami rindu membuat persembahan tetapi inilah yang terbaik dapat kami lakukan sejauh ini," katanya.



DAKAP TEKNOLOGI



Isu mendakap teknologi baru dengan segera turut menjadi keprihatinan Ketua Orkestra Melayu Singapura (OMS), Encik Ibrahim Hamid.



Menurutnya, kesulitan menyatukan dan mencantumkan persembahan 45 pemuzik dan dendangan penyanyi Malaysia, Aishah, dalam satu klip video Hari Raya buat Wisma Geylang Serai (WGS) adalah yang dihadapi sebelum ini.



Mengambil setiap cabaran dengan semangat positif sekali gus meraih hikmahnya pula menjadi sandaran beberapa kumpulan seni lain



Pengarah Urusan Sri Warisan, Encik Adel Dzulkarnaen Ahmad berusaha memanfaatkan seberapa banyak geran pemerintah bagi memperkasa syarikat seninya dalam mengharungi tempoh mencabar Covid-19.



"Kami manfaatkan Skim Pembangunan Keupayaan bagi Seni (CDSA) yang diselaras NAC. Kakitangan Sri Warisan mengambil pelbagai kursus bagi menambah ilmu termasuk dalam aspek pendidikan prasekolah, pendidikan golongan kurang upaya dan pendigitalan.



"Kami juga meminta bantuan personaliti media sosial, Encik Sujimy Mohamad untuk gunakan studio digital beliau. Dengan menggunakan alat paling mudah dan murah iaitu iPad da iPhone, kami dapat melakukan penstriman langsung.



"Kandungan program pendidikan bangsawan, kompang, angklung, tarian dan wayang kulit kini sudah dirakam secara digital menggunakan geran digital $20,000 yang diraih.



"Kami juga manfaatkan geran Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) bagi sektor niaga seni dan budaya untuk kakitangan kami beli peralatan seperti televisyen dan iPad yang boleh mereka gunakan untuk mengendalikan bengkel Zoom dari rumah," jelas Encik Adel.



Pengarah Artistik Sri Warisan, Cik Marina Yusoff pula menambah, menyesuaikan diri dalam norma baru ini tidak mudah.



Namun, beliau melihat manfaatnya apabila sesetengah kakitangan syarikat tari ini merebut peluang mengambil kursus kemahiran seperti menjahit baju yang boleh digunakan bagi kerja belakang tabir persembahan.



Penggerak Aras Theater, Encik Hidayat Nordin turut mengambil positif kesulitan Covid-19 dengan mengisi masanya bagi menjana lebih banyak kerja seni dalam talian.



Selain menggerakkan aktivis belianya bagi pementasan dalam talian Rumah Sewa, beliau juga mengusahakan siri memberi sentuhan baru pada irama dikir barat dan dokumentari tentang pergerakan dikir barat di Singapura.



"Dalam tempoh pandemik, persembahan dikir barat secara beramai-ramai tidak dapat dilakukan kerana bilangan pendikir dalam satu masa.



"Justeru, ia diubah suai dengan irama dikir barat diberi sentuhan muzik kontemporari tetapi ada pula yang kata ini sudah keluar daripada budaya Melayu dan dikir barat.



"Namun, saya mengambilnya secara positif sebab ini peluang aktivis seni meneroka persembahan digital dan mengarkibkan persembahan seni.



"Cuma, antara keprihatinan saya adalah dengan banyak kandungan sosial membanjiri media sosial, kita menukik kumpulan penonton yang sama. Kebimbangannya adalah kerana terlalu banyak pilihan, sesetengah program dalam talian mungkin kurang mendapat sambutan," katanya.



PENAKATAN



Presiden Orkestra Sri Temasek, Encik Afi Hanafi pula berkongsi tentang kerjasama sumber beberapa kumpulan seni Melayu dalam terus mewarnai persada budaya dalam tempoh pandemik.



"Isu penakatan seni ini dalam tempoh pandemik menjadi keprihatinan. Dengan banyak program dalam talian percuma membanjiri media sosial, kadangkala bimbang ada yang merasakan penggiat seni Melayu seakan-akan terlalu meminta-minta sehingga nilai seni itu menjadi menurun.



"Namun, apa yang perlu kita fikirkan dan pelajari adalah bagaimana kumpulan seni bangsa lain dapat bertahan dengan tajaan yayasan tertentu," jelasnya.



Presiden dan Pengarah Artistik Variasi Performing Arts, Raja Hamzah Raja Zulkifli, pula berharap akan ada tokoh politik Melayu yang dapat dijadikan rujukan dalam perihal penakatan seni kumpulan budaya Melayu.



"Biasanya, kami akan tanya sesama sendiri dalam kalangan penggiat seni bagaimana mendapatkan bantuan tertentu bagi persembahan kami.



"Sungguhpun begitu, saya berharap akan ada tokoh politik Melayu yang dapat kami jadikan rujukan dalam sektor seni dan budaya Melayu," katanya lagi.



Sependapat dengan Raja Hamzah, Presiden Sriwana Cik Fauziah Hanom Yusuf pula menyarankan agar dapat disediakan badan rujukan yang dapat membantu kumpulan seni kecil mendapatkan panduan penakatan dalam tempoh sukar.



"Tidak semua kumpulan seni bertuah mendapat geran pendigitalan. Moga dapat diadakan satu badan rujukan di mana penggiat seni dapat meraih saranan untuk terus bertahan dan tidak bubar," katanya.




Isu penakatan seni ini dalam tempoh pandemik menjadi keprihatinan. Dengan banyak program dalam talian percuma membanjiri media sosial, kadangkala bimbang ada yang merasakan penggiat seni Melayu seakan-akan terlalu meminta-minta sehingga nilai seni itu menjadi menurun. Namun, apa yang perlu kita fikirkan dan pelajari adalah bagaimana kumpulan seni bangsa lain dapat bertahan dengan tajaan yayasan tertentu.
- Encik Afi Hanafi, Presiden Orkestra Sri Temasek.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >