Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

EKONOMI RAYA

Tak 'berbelanja sakan', penjualan peniaga terjejas

May 07, 2021 | 05:30 AM



KALAU sudah sampai minggu ketiga Ramadan, biasanya penjualan Cik Aidah Tahir, pemilik Aidah Bridal & Boutique sudah boleh mencecah $50,000 hingga $60,000 dalam tahun-tahun yang sudah.



Tetapi, kurang seminggu sebelum Hari Raya, penjualan peniaga yang menjual baju tradisional di Joo Chiat Complex, belum pun mencecah $10,000.



Seperti peruncit lain, kedai-kedai ini terpaksa berdepan dengan persaingan sengit dari wadah-wadah dalam talian yang menjual pakaian pada harga jauh lebih rendah yang menawarkan pilihan luas.



"Baju cantik-cantik tetapi tidak ramai pelanggan yang hendak berbelanja dengan banyak. Mereka jalan-jalan untuk tengok-tengok sahaja. Mereka amat berjimat cermat. Pakaian tahun lalu, boleh lagi dipakai. Kalau mereka beli pun, mereka beli yang murah,'' kata Cik Aidah, yang sudah 24 tahun berniaga di sana.



Oleh kerana bajunya amat eksklusif, beliau tidak dapat menurunkan harga kepada harga yang rendah.



Jika melakukan demikian, ia akan menjejas kemampuannya membayar sewa dan kos pekerja.



Pandangan beliau itu mencerminkan pandangan kebanyakan peniaga yang ditemui Berita Harian (BH) yang berniaga di pusat membeli-belah utama yang sering dikunjungi pelanggan Melayu/Islam bagi membeli keperluan Hari Raya.



Suasana di Joo Chiat Complex dan Tanjong Katong Complex (TKC) agak lengang pada dua minggu pertama bulan Ramadan tetapi mulai rancak sejak hujung minggu lalu.



Oleh kerana pengunjung terlalu ramai, peraturan Covid-19 diperketat untuk membendung penularan koronavirus di negara ini.



Tetapi, bilangan yang ramai tidak bermakna penjualan peniaga melambung tinggi.



Mereka akur walaupun perniagaan lebih baik dari tahun lalu ketika Singapura berada dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan.



Tetapi, penjualan belum mencapai paras sebelum Covid-19.



Cik Farida Ngajis, pengurus Anglia di Joo Chiat Complex berkata penjualan sejauh ini jauh dari sasaran ditetapkan.



Pemilik By Harmoni dan Modestly Cik Siti Aisyah Ahmad berkata:



"Orang masih tidak ada 'mood' nak sambut Raya. Mereka belanja tapi tak sebanyak sebelum Covid dulu.''



PELANGGAN TIDAK BERBELANJA SAKAN



Hakikatnya, kuasa membeli pelanggan tidak setinggi dulu. Mereka tidak beraya sakan.



Seperti Cik Anita Yasin, ibu tiga anak, yang memutuskan untuk tidak membeli pakaian baru.



"Pakaian tahun lalu masih baik lagi. Kecuali pakaian anak bongsu saya yang sudah ketat, saya, suami dan dua anak yang lain masih akan memakai baju Raya tahun lalu. Takut nak belanja besar. Gaji suami yang bekerja sebagai penghantar makanan pun tak seberapa,'' kata suri rumah itu.



Wabak Covid-19 yang belum berakhir di dunia masih melemahkan sentimen.



Baru-baru ini, kes Covid-19 dalam masyarakat yang masih tinggi telah menjejas sentimen.



Meskipun ekonomi telah menunjukkan pemulihan dalam suku pertama tahun ini dan ramalan pertumbuhan ekonomi boleh melebihi 6 peratus tahun ini, sentimen pelanggan masih lemah.



SEKATAN COVID-19 MENJEJAS SENTIMEN



Keadaan bertambah buruk setelah pemerintah mengumumkan sekatan bagi perhimpunan sosial yang akan diperketat dari esok hingga 30 Mei.



Hanya lima orang akan dibenar berkumpul secara sosial berbanding lapan orang pada masa ini, dengan sekatan serupa turut dikenakan terhadap isi rumah, yang hanya dibenar menerima lima pengunjung berbeza dalam sehari.



Peraturan itu tentu sekali menjejas semangat hendak beraya.



Pakar ekonomi OCBC Cik Selena Ling berkata perangkaan penjualan runcit bulan ini boleh terjejas setelah Singapura kembali melaksanakan sekatan Fasa Dua.



Pemilik butik Mona J, Cik Maimunah Ali, cukup sedar dengan sentimen pengguna.



Justeru, beliau sanggup menurunkan harga pakaiannya daripada lebih $100 kepada $50 agar dapat menjual stoknya meskipun pendapatannya merosot.



Tahun ini, beliau juga tidak membeli bahan kain baru kerana menggunakan kain yang masih belum terpakai tahun lalu.



"Saya belajar dari tahun lalu. Setelah membelanjakan $20,000 hingga $30,000 tahun lalu, saya terjejas apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan (CB) berlaku. Mujur, saya dapat jual pakaian Julai tahun lalu,'' katanya.



Harapannya agar kes jangkitan Covid-19 di Singapura dapat dikawal dan Singapura tidak akan kembali melaksanakan CB.



"Keadaan sudah sukar ketika ini, harapan saya janganlah ia semakin sukar lagi,'' tambahnya.




"Baju cantik-cantik tetapi tidak ramai pelanggan yang hendak berbelanja dengan banyak. Mereka jalan-jalan untuk tengok-tengok sahaja. Mereka amat berjimat cermat. Pakaian tahun lalu, boleh lagi dipakai. Kalau mereka beli pun, mereka beli yang murah."
- Cik Aidah Tahir, pemilik Aidah Bridal & Boutique.di Joo Chiat Complex.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >